Diterbitkan pada 30 Mei 2026, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Adaptasi karya sastera kepada filem atau drama dilihat sebagai usaha penting untuk memastikan karya tempatan terus hidup dan dikenali oleh generasi baharu.

Wacana “Buku ke Skrin: Transformasi Karya Sastera” yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 membicarakan bahawa karya sastera yang diadaptasi kepada medium visual mampu menarik minat khalayak baharu untuk mengenali dan membaca karya asal.

Dr. Siti Raihani Mohd Said menjelaskan karya sastera yang pernah diangkat ke layar perak dalam Wacana “Buku ke Skrin: Transformasi Karya Sastera.”

Penyelidik karya Tan Sri P. Ramlee, Dr. Siti Raihani Mohd Said berkata, kebanyakan karya klasik Melayu masih kekal dalam ingatan masyarakat kerana pernah diangkat ke layar perak dan televisyen.

Sebagai contoh, beliau menjelaskan bahawa filem seperti Hang Tuah membantu memperkenalkan semula hikayat dan cerita rakyat kepada masyarakat moden.

Adaptasi menjadikan karya sastera terus hidup walaupun zaman berubah.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem Akademi Seni Warisan dan Budaya Kebangsaan (ASWARA), Encik Azrie Izham Hamzah, berpandangan bahawa budaya membaca dan menonton tidak seharusnya dilihat sebagai dua perkara yang berasingan.

Encik Wan Afzam Wan Daud pernah mengarah dan menerbitkan karya sastera ke layar perak seperti Ayahanda.

Menurut beliau, banyak penonton mula mencari novel atau karya asal selepas menonton filem dan drama yang diadaptasi daripada buku.

“Kadangkala orang mengenali karya melalui skrin terlebih dahulu sebelum membaca buku asalnya,” katanya.

Beliau turut berharap agar lebih banyak kerjasama dapat diwujudkan antara penulis dengan pembikin filem supaya karya tempatan terus berkembang melalui pelbagai medium.

Wacana yang berlangsung selama satu jam ini menyimpulkan bahawa transformasi karya sastera kepada medium visual bukan bermaksud sastera semakin dilupakan, sebaliknya sedang melalui perubahan bentuk mengikut perkembangan zaman.

Timbalan Dekan, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem ASWARA, Encik Azrie Izham Hamzah antara panelis dalam Wacana “Buku ke Skrin: Transformasi Karya Sastera” anjuran Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP.

Selain itu, pihak DBP turut berkongsi beberapa karya terbitannya yang berjaya diadaptasi ke drama televisyen menerusi kerjasama dengan stesen penyiaran tempatan.

Wacana yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn ini turut dihadiri oleh mantan Presiden Karyawan, YBhg. Dato’ Freddie Fernandez; Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Yunus dan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi