Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kelab Perempuan Membaca (KPM) yang diluncurkan menerusi program Wawancara Bersama Menteri Pendidikan “Perempuan Membaca: Memberi Akses, Menyedia Ruang, Mencipta Masa Depan Negara” bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada tengah hari tadi bakal menjadi wadah baharu bagi memperkukuh budaya membaca serta menyemarakkan pembudayaan ilmu dalam kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan di negara ini.

Program anjuran Perbadanan Kota Buku dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Dewan Industri Buku Malaysia dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia tersebut mengundang Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Yang Berusaha (YBrs.) Puan Adibah Omar selaku moderator untuk berkongsi perspektif terhadap pemupukan budaya membaca khususnya dalam kalangan wanita.
Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, penubuhan kelab berkenaan didorong oleh hasrat untuk menghimpunkan sebanyak mungkin wanita yang menjadikan budaya membaca sebagai sebahagian daripada gaya hidup mereka, merangkumi golongan ibu, gadis muda dan kanak-kanak perempuan yang mempunyai minat mendalam terhadap buku serta bahan bacaan yang berkualiti.
“Niatnya kudus. Tiada yang lain, melainkan mahu menghimpunkan seramai mungkin wanita pembaca, para ibu yang membaca, gadis muda yang cerdas membaca dan kanak-kanak perempuan yang suka membaca,” ujar beliau.
Menurut beliau, KPM bukan sekadar sebuah komuniti pembaca, malah berperanan sebagai platform yang mampu memperluas akses terhadap bahan bacaan dan menggalakkan perkongsian ilmu secara berterusan bagi melahirkan masyarakat yang lebih berpengetahuan, berfikiran kritis dan menghargai nilai pendidikan sepanjang hayat.
Jelas beliau,
Paling utama, KPM merupakan ruang penting untuk memastikan akses terhadap bahan bacaan tidak akan putus walau apa-apa jua rempuhan dan tribulasi yang melanda.
Terdahulu menerusi perkongsian di Facebook miliknya, YB Fadhlina menyifatkan penubuhan KPM sebagai satu inisiatif yang lahir daripada niat murni untuk menyatukan pembaca wanita daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia, termasuk ibu yang menjadikan budaya membaca sebagai amalan keluarga, gadis muda yang aktif menimba ilmu serta kanak-kanak perempuan yang membesar dengan kecintaan terhadap buku.
Tambah beliau lagi, aspek paling utama yang ingin dicapai melalui penubuhan KPM adalah untuk memastikan akses terhadap bahan bacaan sentiasa tersedia dan tidak terputus walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran serta perubahan yang berlaku dalam masyarakat, sekali gus menjamin kelangsungan budaya membaca sebagai asas pembinaan tamadun yang maju dan berdaya saing.
Pada masa yang sama, beliau turut mengajak masyarakat untuk bersama-sama menyokong dan memeriahkan KPM sebagai satu usaha meraikan buku, memperluas budaya membaca dan menggerakkan aspirasi Kota Baca yang memberikan penekanan terhadap pembentukan masyarakat berilmu melalui penghayatan budaya literasi yang lebih menyeluruh.
YB Fadhlina Sidek turut menyatakan keyakinan bahawa KPM mampu menjadi medium yang menyatukan komuniti wanita pencinta ilmu serta menggalakkan lebih banyak program dan aktiviti yang berteraskan pembacaan, sekali gus membuka ruang terhadap perkembangan intelektual, pembinaan karakter dan pengukuhan nilai kemanusiaan dalam kalangan ahlinya.
Dengan slogan “Kelab Perempuan Membaca, citra wanita cerdas akal dan budi”, inisiatif tersebut diharapkan dapat menjadi pemangkin bagi usaha memperkasakan literasi, meningkatkan minat membaca dan melahirkan generasi wanita yang berpengetahuan, berwawasan serta mampu menyumbang secara bermakna terhadap pembangunan masyarakat dan negara.