Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pementasan Panggung Seni Tradisional (PST) 2026 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) diteruskan malam ini menerusi hari kedua persembahan genre tarian tradisional bertajuk “Gerayu: Merentas Tradisi, Menyulam Kreasi” di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.
Pementasan yang bermula semalam merupakan siri pembuka tirai PST 2026 yang menghimpunkan empat siri persembahan sepanjang tahun ini hasil kerjasama JKKN dengan persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan seni budaya dalam usaha memperkasakan serta melestarikan seni persembahan tradisional negara.
“Gerayu: Merentas Tradisi, Menyulam Kreasi” dipersembahkan oleh Dansa Fusion Kuala Lumpur yang mengetengahkan gabungan elemen tarian tradisional, etnik dan kontemporari dalam sebuah persembahan yang dinamik tanpa mengabaikan nilai, identiti dan falsafah asal warisan budaya tempatan.
Menurut satu kenyataan JKKN, karya tersebut dipentaskan berasaskan pendekatan baharu berteraskan tradisi dengan memberi penekanan terhadap pemeliharaan struktur, motif gerak dan identiti seni tarian tempatan yang relevan dengan perkembangan seni persembahan masa kini. Persembahan itu menghimpunkan pelbagai karya tarian yang berakar daripada tradisi Melayu, Sabah dan Sarawak, diolah secara kreatif dan beretika tanpa menghilangkan keaslian seni warisan.
Berkonsepkan edukatif, persembahan dibahagikan kepada tiga segmen utama, iaitu Segmen Pembukaan yang menampilkan Tari Silat Gelanggang Pusaka, Segmen Tradisional yang mempersembahkan Tarian Inang, Tarian Zapin Padang Sari, Tarian Melayu Asli, Tari Rakyat Tempurung, Tarian Alang Sinsiron dan Ajat Naku, serta Segmen Kreasi yang menampilkan Tarian Zapin Pecah Lapan, Tarian Joget Kelit Menyisi, Tarian Inang Serong, Tarian Langgie Nganap, Alai Bergandang dan Tarian Mogiad Do Tombolog.
Pementasan yang diterajui koreografer dan pengarah artistik, Muhamad Zakwan Hafizie Zakaria serta Pengarah Produksi, Ealbie Breandent itu turut diserikan dengan persembahan jemputan daripada Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail II menerusi Tari Rakyat “Tempurung” dan Kumpulan Legasi Seni melalui persembahan “Langgie Pimaasau”.
Selepas berakhirnya siri pertama ini, PST 2026 akan diteruskan dengan tiga lagi persembahan yang menampilkan kepelbagaian genre seni tradisional negara.
Siri kedua dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Jun depan menerusi karya “Ramayanam: The Eternal Victory of Dharma” oleh Vehaara Arts yang mengetengahkan genre tarian klasik India.
Sementara itu, siri ketiga akan dipentaskan pada 25 dan 26 September menerusi karya “Maargam: Natya, Raaga, Rasa” oleh Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Warisan Malaysia dalam genre muzikal tradisional India.
PST 2026 akan melabuhkan tirainya menerusi siri keempat pada 2 dan 3 Oktober menerusi karya “Sri Gemalai: Fragmen Rakyat Johor”, sebuah muzikal tari hasil kerjasama Persatuan Seni Budaya Tari Aliff Johor Bahru bersama Sekolah Seni Malaysia Johor.
Penganjuran PST yang memasuki tahun ke-13 ini terus menjadi platform penting dalam mengetengahkan karya seni tradisional berkualiti, dan membuka ruang kepada penggiat seni untuk mempersembahkan interpretasi kreatif berasaskan warisan budaya pelbagai kaum di Malaysia kepada khalayak yang lebih luas.