Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sambutan kebudayaan ikonik negara, Citrawarna 2026 bakal kembali memeriahkan Dataran Merdeka pada 24 Julai hingga 26 Julai 2026.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Tourism Malaysia, sambutan ini menghimpunkan persembahan budaya dari seluruh negara dalam pertunjukan penuh warna-warni yang menampilkan kepelbagaian tradisi, seni dan warisan Malaysia.
“Bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), edisi pada kali ini membawa tema “Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa” yang sekali gus mengangkat Kuala Lumpur sebagai pentas utama meraikan identiti dan kepelbagaian budaya Malaysia,” katanya.
Tourism Malaysia berkata, pengunjung bakal disajikan dengan empat segmen utama, iaitu Citra Perarakan, Citra Rasa, Citra Budaya dan Citra Seni yang menawarkan pengalaman menyeluruh melalui persembahan kebudayaan, hidangan tradisi, pameran seni serta pelbagai aktiviti budaya interaktif.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1999, Citrawarna atau Colours of Malaysia telah menjadi platform penting untuk mempromosikan seni, budaya, warisan dan keindahan alam semula jadi Malaysia kepada dunia.
Tambahnya, penganjuran Citrawarna 2026 oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama Yes Travel & Holidays Sdn. Bhd. serta sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Warisan Kuala Lumpur mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia.
“Inisiatif ini turut menyokong pertumbuhan pelancongan inklusif, memperkasa komuniti tempatan, meningkatkan daya tahan industri serta memacu pembangunan ekonomi yang mampan,” ujarnya.
Menurut Tourism Malaysia, Citrawarna kekal sebagai salah satu produk pelancongan budaya utama negara yang memainkan peranan penting untuk memupuk penghargaan lebih mendalam terhadap kepelbagaian identiti budaya negara, di samping mengeratkan perpaduan masyarakat dari seluruh pelosok tanah air.
Maklumnya, sambutan ini akan digerakkan menerusi empat komponen utama yang menjadi nadi kepada Citrawarna 2026, iaitu Citra Perarakan, Citra Rasa, Citra Budaya dan Citra Seni.
Citra Perarakan akan menampilkan perarakan budaya yang menakjubkan melalui gabungan muzik, tarian dan penceritaan oleh kontinjen dari seluruh Malaysia.
Citra Rasa pula meraikan warisan kulinari Malaysia yang kaya dengan hidangan tradisional serta pengalaman gastronomi asli.
Sementara itu, Citra Budaya akan mempamerkan persembahan tradisional, aktiviti bersifat kemasyarakatan dan ekspresi budaya yang mencerminkan kepelbagaian rakyat, manakala Citra Seni pula akan mempamerkan kraf tangan tempatan dan demonstrasi seni secara langsung oleh penggiat industri kreatif tempatan.
“Acara kemuncak Citrawarna 2026 ialah Citra Perarakan yang dijadualkan berlangsung pada 25 Julai 2026, iaitu menghimpunkan penghibur dari seluruh negara dalam persembahan besar yang menonjolkan elemen perpaduan, kreativiti dan identiti kebangsaan,” katanya.
Tambahnya, persembahan ini bakal mengubah Dataran Merdeka menjadi pentas penuh warna-warni yang meraikan kekayaan warisan budaya Malaysia melalui muzik, tarian dan penceritaan yang mempesonakan.
Selain memperkukuh warisan budaya negara, Citrawarna 2026 juga dijangka memberikan impak ekonomi yang positif melalui peningkatan kehadiran pelawat domestik dan antarabangsa.
Maklumnya, kehadiran ini mampu membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada pengusaha hotel, pengendali pelancongan serta peniaga tempatan, sekali gus merangsang aktiviti ekonomi setempat.
Bersempena dengan penganjuran ini, Tourism Malaysia mengalu-alukan penyertaan hotel dan penginapan untuk menawarkan kadar bilik istimewa, pakej promosi serta tawaran menarik kepada para pengunjung sepanjang acara berlangsung.
Tambahnya, inisiatif ini bukan sahaja dapat memperkaya pengalaman pelawat, malah berpotensi menggalakkan tempoh penginapan yang lebih lama serta meningkatkan limpahan ekonomi pelancongan di Kuala Lumpur.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan penuh warna-warni ini dan menjadi sebahagian daripada perayaan budaya, kreativiti dan perpaduan yang menjadi kebanggaan Malaysia.
Maklumat lanjut tentang pengisian program dan sorotan acara akan diumumkan dari semasa ke semasa.