Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sketsa komedi pentas Panggung Suria Antara Dua Darjat yang dipentaskan oleh stesen radio popular tanah air, Suria FM di Balai Tun Syed Nasir, Wisma DBP, malam semalam mendapat sambutan hangat penonton.
Pengarah Pementasan Panggung Suria, Encik Shahimi Ismail meluahkan rasa bangga atas pencapaian tersebut, memandangkan sketsa ini merupakan siri pertama dalam program Panggung Suria.
“Program ini diperkenalkan sebagai platform fizikal untuk Suria FM membawa suara rakyat dan isu semasa ke atas pentas,” katanya.

Mengulas tentang sinopsis pementasan, beliau menjelaskan bahawa sketsa Antara Dua Darjat menyentuh isu kemasyarakatan yang menilai kedudukan seseorang berdasarkan nilai kebendaan.
“Kisah ini menceritakan tentang darjat seseorang yang diukur melalui harta benda, kekayaan dan jawatan.
“Itulah realiti kehidupan yang berlaku sekarang, dan kami memaparkan kisah tersebut dalam sketsa pentas dalam Panggung Suria,” tambahnya.
Tambah beliau, babak yang paling mencabar dan dapat menyentuh emosi penonton ialah babak yang memaparkan Ajak dan ayahnya dihina akibat kemiskinan.
Program anjuran Suria FM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan ini menampilkan barisan penyampai Radio Suria FM seperti Ajak Shiro, Elly Ariffin, Kai Hassan, Elly Ariffin, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) dan Muhammad Fadzlie Mohd Nizam (Fad Bochey).
Yang turut hadir dalam pementasan sketsa tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Encik Abang Haliman Abang Julai; dan Pengurus Kandungan Suria FM, Encik Borhanuddin Abdullah.