Diterbitkan pada 30 Jun 2026, 11:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Perlis memperkenalkan 83 buah gua baharu di sepanjang Banjaran Nakawan sebagai produk ekopelancongan dan destinasi ekspedisi terbaharu negeri itu dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan domestik serta antarabangsa.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penemuan signifikan oleh Jabatan Perhutanan Perlis itu membuka lembaran peluang yang luas kepada pakar pengkaji serta peminat aktiviti lasak, sama ada dari dalam mahupun luar negara untuk mengadakan siri ekspedisi speleologi (kajian gua).

Titah baginda, selain keunikan penerokaan gua, landskap alam semula jadi Perlis yang murni turut berpotensi besar untuk diangkat sebagai “gimnasium semula jadi” bagi penganjuran kejuaraan mendaki pada peringkat antarabangsa.

Antara magnet tarikan utama sukan rekreasi ini termasuklah keindahan fenomena “awan karpet” pada waktu subuh di puncak Wang Kelian, di samping beberapa lokasi pendakian ikonik yang lain.

Baginda bertitah demikian dalam majlis pelancaran Promosi Masakan Perlis yang berlangsung di Cove 55 Hotel, Santubong, semalam.

Program berkenaan dianjurkan oleh Cove 55 Hotel dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Smart Leisure Travels (SLT).

Dalam majlis yang sama, turut ditampilkan variasi hidangan tradisional negeri Perlis yang mencerminkan keunikan cita rasa serta warisan kulinari negeri, dengan sekali lagi mengangkat Kurma Daging Perlis sebagai hidangan istimewa (signature dish).

Sajian istimewa ini dihasilkan berasaskan resipi tradisi yang diwarisi turun-temurun, diadun bersama gabungan rempah-ratus terpilih bagi melahirkan rasa yang kaya, seimbang dan autentik.

 

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama dengan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil  semasa memberikan perhatian penuh kepada kandungan booklet berwarna kuning bertajuk Perlis Food.

Penganjuran majlis ini dilaksanakan bersempena dengan kempen jalinan Tahun Melawat Perlis 2024–2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 berfungsi sebagai platform untuk mengeratkan  hubungan silaturahim antara rakyat Perlis dengan Sarawak, di samping memperkukuh kerjasama strategik demi mempromosikan warisan budaya, pelancongan dan gastronomi Malaysia ke pentas global.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda, YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail disambut mesra oleh Pengurus Besar hotel, Christoph Leonhard; Ketua Eksekutif, Mario Kesemeyer dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat MyUS, YBhg. Datuk Nellsen Young.

Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran  Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, YBhg. Datuk Gerald Rentap Jabu bersama-sama isteri, Datin Rosemarie Wong; Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), YB Datuk Dennis Ngau; Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Puan Rubiah Tul’Adwiyah Haji Md. Yusof dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Encik Mu’azamir Haji Jili.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi