Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Komuniti penerbitan dunia melakar komitmen bersama menerusi Deklarasi Kuala Lumpur yang menggariskan lapan prinsip utama bagi memperkukuh masa hadapan industri penerbitan global dengan menekankan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika, kebebasan menerbitkan karya, peningkatan literasi, keterangkuman serta kerjasama rentas sempadan.
Deklarasi tersebut dibentangkan pada majlis penutupan Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-35 yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur pada Selasa lalu yang dibentangkan oleh Naib Presiden Kanan Elsevier, Michiel Kolman bersama-sama dengan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Sheikh Faisal Sheikh Mansoor.
Menurut Sheikh Faisal, Deklarasi Kuala Lumpur menegaskan semula komitmen komuniti penerbitan dunia terhadap peranan penerbitan sebagai tunjang pembinaan ilmu, pertukaran pengetahuan, budaya dan demokrasi.
Jelas beliau, deklarasi itu dirangka berdasarkan perbincangan sepanjang dua hari kongres bagi menangani peluang dan cabaran yang sedang dihadapi oleh industri penerbitan global.
Mengulas prinsip pertama, Michiel berkata bahawa industri penerbitan perlu mengamalkan ketelusan dalam penggunaan AI dengan mengekalkan integriti editorial, di samping menggesa pembangun AI dan platform teknologi menghormati hak cipta, serta bekerjasama membanteras penyebaran maklumat palsu dan salah.
Deklarasi itu turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara, membaca dan menerbitkan karya merupakan prinsip yang tidak boleh dikompromi.
Sheikh Faisal berkata, komuniti penerbit antarabangsa berikrar menentang penapisan, menyokong penerbit yang berdepan tekanan serta memperkukuh solidariti global untuk mempertahankan kebebasan penerbitan.
Selain itu, deklarasi berkenaan mengiktiraf krisis literasi global sebagai cabaran utama yang memerlukan kerjasama erat antara penerbit, pendidik, kerajaan dan masyarakat sivil.
Michiel pula menegaskan bahawa literasi merupakan asas kepada pendidikan, kemanusiaan dan mobiliti sosial, justeru usaha menutup jurang literasi tidak boleh dipikul oleh industri penerbitan secara bersendirian.
Dalam aspek pendidikan, deklarasi itu menyeru kerajaan dan institusi di seluruh dunia melibatkan komuniti penerbitan dalam penggubalan dasar pendidikan bagi memperkukuh ekosistem penerbitan pendidikan dengan menghormati hak harta intelek demi mencapai hasil pendidikan yang mampan.
Deklarasi Kuala Lumpur turut mengangkat agenda keterangkuman, kepelbagaian dan rasa kebersamaan dalam industri penerbitan.
Tambah Michiel, penerbit digesa menghasilkan penerbitan yang mencerminkan kepelbagaian budaya, bahasa dan demografi, selain memperkasakan karya daripada bahasa orang asal serta bahasa yang kurang mendapat perhatian agar pengalaman manusia dapat diwakili secara lebih menyeluruh.
Pada masa yang sama, industri penerbitan perlu memperluas penerbitan yang mudah diakses dengan memanfaatkan teknologi baharu supaya semua pembaca, termasuklah individu kurang upaya pelihatan dapat menikmati bahan bacaan secara saksama.
Deklarasi itu juga menegaskan sokongan penuh terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuklah usaha menangani perubahan iklim menerusi amalan perniagaan yang lebih lestari, serta tindakan kolektif bersama-sama pelbagai pihak.
Mengakhiri pembentangan deklarasi, Sheikh Faisal menegaskan bahawa kerjasama sektor, negara, serantau dan antarabangsa merupakan asas utama bagi merealisasikan semua prinsip yang dipersetujui.
“Kita perlu menegaskan semula peranan penerbitan sebagai jambatan yang dipercayai antara ilmu dengan masyarakat. Komuniti penerbit perlu membina kerjasama nasional, serantau dan antarabangsa, menggalakkan inovasi yang berintegriti, memperkukuh kolaborasi rentas sempadan serta memikul tanggungjawab bersama untuk membentuk masa depan yang lebih berpengetahuan, inklusif dan lestari kepada semua pembaca di seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, José Borghino dalam ucapan penutup menyifatkan Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-35 ini sebagai kejayaan besar hasil komitmen penganjur, jawatankuasa program dan semua delegasi dari seluruh dunia.
Beliau berkata kejayaan kongres di Kuala Lumpur akan menjadi asas penting kepada penganjuran Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-36 yang dijadualkan berlangsung pada 2028.