Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Penganjuran Festival Teater UNIQSAAS: Seni dalam Dakwah berjaya menghimpunkan bakat muda dalam usaha memartabatkan teater sebagai medium penyampaian mesej Islam yang kreatif, berkesan dan berhemah.
Festival yang berlangsung di Auditorium Tuanku Canselor, Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (UNIQSAAS) ini merupakan anjuran Kelab Aspirasi Suara dan Sayap Remaja Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) UNIQSAAS dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang 2026.
Program ini bertujuan untuk memperkenalkan konsep seni teater sebagai wahana dakwah melalui pementasan yang berteraskan hikmah, memperkukuh peranan seni sebagai penyampai mesej Islam, serta mengangkat UNIQSAAS sebagai institusi pengajian tinggi yang aktif mengembangkan seni berlandaskan syariah.
Menurut Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Nurul Julia Alani Henri, pemilihan Festival Teater UNIQSAAS sebagai antara pengisian utama Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang membuktikan seni persembahan mampu menjadi platform memperkukuh budaya ilmu dan bahasa kebangsaan.

Tambah beliau, DBP yang dipertanggungjawabkan menerajui agenda Dekad Membaca Kebangsaan turut membawa misi memperkasakan penggunaan bahasa Melayu yang bermutu dalam setiap aspek kehidupan.
”Saya berharap generasi muda, khususnya Gen Z dapat menjadikan bahasa Melayu yang baik sebagai bahasa komunikasi harian.
”Elakkan penggunaan bahasa slanga dan bahasa pasar dalam dialog teater mahupun dalam kehidupan seharian kerana bahasa yang indah melahirkan pemikiran yang berkualiti,” katanya.
Setiap pasukan yang menyertai festival ini dikehendaki mengadaptasi kisah rakyat seperti Raja Bersiong, Pak Pandir dan Mahsuri dengan olahan baharu yang menepati prinsip syariah.
Lebih istimewa, setiap skrip diwajibkan melalui proses penelitian dan kelulusan Unit Pengawasan Syariah UNIQSAAS sebelum dipentaskan bagi memastikan kandungannya selaras dengan nilai Islam.
Kumpulan Mayang Nirmala telah muncul sebagai johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM200 menerusi pementasan Dosa Putih Dosa Hitam hasil nukilan Suriani, yang turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Skrip Terbaik.

Tempat kedua pula dimenangi kumpulan Citra Kencana menerusi pementasan Di Sebalik Pak Selamba, karya Nur Aina Batrisya. Turut mengambil bahagian ialah kumpulan Adiratna Bidasari yang memperoleh tempat ketiga dan hadiah saguhati oleh kumpulan Arjuna.
Festival ini bukan sahaja menyerlahkan bakat mahasiswa dalam bidang seni persembahan, malah memperlihatkan bahawa teater mampu berkembang sebagai medium dakwah kontemporari yang mendidik, menyampaikan nilai murni dan memperkukuh identiti budaya Melayu berteraskan syariah.