Oleh Mubarak Ismail
3 Oktober 2022, 18:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Georgetown – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi anakanda-anakanda baginda berdua, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah dan YAM Sharifah Farah Adriana berkenan menghadiri Penang Exchange 2022: Dondang Sayang Soireé yang diadakan di Pinang Peranakan Mansion, Georgetown, Pulau Pinang.

Dalam majlis tersebut, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda mengurniakan anugerah berupa trofi dan sijil kepada tujuh orang pengiat kraf di Pulau Pinang. Mereka ialah Haja Mohidien Mohd Sharif (songkok), Tong Poh Keng @ Madam Lilian Tong (kasut manik), Anuar Sha’ari (replika feri), Dr. Shamsu Mohamad (pasu hiasan dan bekas lilin), Khairiyah Ghazali (kebaya nyonya dan sarung bantal), Lee Tiek Chye (ukiran papan tanda tradisional) dan Che Mat Jusoh (pembuat/pemain alat muzik).

Para tetamu wanita hadir dengan memakai busana tradisional masyarakat peranakan. Majlis dimulakan dengan persembahan pembukaan menerusi tarian Dondang Sayang. Di samping itu, para tetamu dihiburkan dengan persembahan daripada selebriti Arja Lee dan Farhan Azizan serta pengacara dan pelawak popular kelahiran Perlis, iaitu Dee.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama penerima anugerah.

Pertunjukan fesyen istimewa “Koleksi Khatreena” oleh YAM Sharifah Khatreena Nuraniah di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2022 baru-baru ini turut diperagakan dalam majlis tersebut.

Pertubuhan Kraf Malaysia (MCC) selaku penganjur program Penang Exchange 2022 menyasarkan golongan artisan yang terkesan akibat pandemik global COVID-19 serta merancang untuk mengembangkan lagi program tersebut ke peringkat antarabangsa.

“Sambutan masyarakat terhadap Kelantan Exchange 2020 & 2021 yang memberangsangkan pada dua tahun yang lalu menyakinkan pihaknya untuk menjadikan program ini sebagai satu produk tahunan eksklusif MCC yang mengetengahkan para artisan untuk terus berkarya dan mempromosikan hasil kraf serta seni kebudayaan ke peringkat antarabangsa dengan pakej yang lebih inklusif,” ujar Presiden MCC, Nik Faiz Nik M. Amin.

Beliau turut berkata, konsep tersebut diharap akan dapat memberi nafas baharu dan sokongan padu kepada golongan artisan untuk terus memperkasa, memelihara dan mengetengahkan khazanah seni, kraf dan budaya negara ke persada dunia.

Turut hadir bagi memeriahkan majlis ialah Pengarah Tourism Malaysia (Wilayah Utara), Shahrul Amal Sabil Ahmad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.