30 Oktober 2022, 17:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertandingan Koir Perpaduan Keluarga Malaysia: Piala Menteri Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dengan tema “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” telah berlangsung pada 30 Oktober 2022 (Ahad) pada pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang di Hall 7, New Wing, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Barisan tetamu kehormat dan panel juri pertandingan koir.

Majlis anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat (YB) Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Menurut YB Datuk Halimah, pertandingan koir pada tahun ini mempunyai matlamat menjunjung aspirasi Keluarga Malaysia untuk terus memupuk semangat kebersamaan dan penghayatan terhadap identiti nasional dalam kalangan seluruh masyarakat Keluarga Malaysia.

“Pelaksanaan program-program perpaduan seperti ini akan dapat memupuk penghayatan perpaduan dan patriotisme dalam kalangan masyarakat. Bahkan, pertandingan yang mengutamakan penglibatan pelbagai kaum sebagai syarat utama, selain usaha kementerian menyemai semangat mencintai bahasa dan menyemarakkan ukhuwah Keluarga Malaysia sangat dialu-alukan demi merealisasikan agenda perpaduan negara,” ujar YB Datuk Halimah.

YB Datuk Halimah Mohamed Sadique sedang berucap dan merasmikan Pertandingan Koir Perpaduan Keluarga Malaysia: Piala Menteri Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2022.

YB Datuk Halimah turut berkata, kerjasama strategik antara KPN dan DBP perlu diperbanyak dan dipergiat supaya usaha memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan Keluarga Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya dapat terus dipertingkatkan serta disemarakkan.

Tambah beliau lagi, usaha-usaha penghayatan perpaduan perlu dilaksanakan pada segenap peringkat demi melahirkan semangat kebersamaan untuk dihayati dan dirasai oleh semua masyarakat melalui seni muzik.

“Seni muzik dan koir seperti ini berperanan dalam mengekalkan dan memperkukuh identiti sesebuah negara serta masyarakatnya yang berbilang bangsa. Selain itu, seni kata dan lirik lagu yang bersandarkan kepada semangat perpaduan dan patriotisme turut dapat menyentuh sanubari setiap individu yang mendengarnya. Bahkan, sesiapa yang turut bersama-sama menyanyi dan mendendangkan melodinya yang cukup indah dapat menanam perasaan cinta dan patriotik kepada tanah air,” jelas YB Datuk Halimah.

Di samping itu, sebanyak 16 kumpulan daripada 130 penyertaan dari seluruh negeri telah terpilih menyertai Pertandingan Koir Perpaduan Keluarga Malaysia: Piala Menteri Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaaan Tahun 2022 ini.

The North Harmony dari Sabah muncul sebagai johan pertandingan koir.

Dalam pertandingan koir tersebut, kumpulan koir The North Harmony dari Sabah muncul sebagai johan pertandingan koir dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10 000, Piala Menteri Perpaduan Negara, sijil dan hadiah iringan tajaan DBP.

Anak Seni Warisan Kenyalang dari Sarawak selaku naib johan pertandingan koir.

Naib johan pula dirangkul oleh kumpulan koir Anak Seni Warisan Kenyalang dari Sarawak, manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh M.I.A Ensemble dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

M.I.A Ensemble dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pemenang tempat ketiga pertandingan koir.

Kedua-dua pasukan tersebut masing-masing berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM8000 dan RM6000 beserta piala, sijil dan hadiah iringan tajaan DBP.

Manakala kumpulan koir Church Blessed Sacramant Labuan (CBSL) dari Sabah dan kumpulan koir Gema Maya dari Perlis menerima hadiah sagu hati, wang tunai sebanyak RM2000 beserta sijil dan hadiah iringan tajaan DBP.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (Perancangan dan Dasar), Dr. Kang Tong Hum; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Dato’ Hajah Norison Ramli dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Datuk Paduka Mohamed.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.