Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Janudin
Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Encorp Berhad (ENCORP) telah melancarkan sudut bacaan bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK).
Sudut bacaan tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah DBP YBrs. Dr. Hazami Jahari dan Pengerusi Encorp Berhad, Encik Yusmadi Yusoff. DBP telah menyumbangkan lebih 30 judul bahan bacaan terbitannya seperti buku umum, buku bahasa, buku kanak-kanak, siri hikayat dan majalah.

Pada majlis tersebut juga DBP telah bekerjasama dengan Syarikat Kalam Ariff Holdings Sdn. Bhd. menganjurkan bicara Memoir Seorang Guru bersempena dengan tayangan filem Memoir Seorang Guru yang diadaptasi daripada novel Memoir Seorang Guru karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah yang merupakan penerima S.E.A Write Award 1988.

Sesi bicara dimudahcarakan oleh Perancang Bahasa, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Encik Mohd Hafizi Ahmad dan ahli panel terdiri daripada Pengarah Urusan Kumpulan Kalam Ariff Holdings Sdn. Bhd., YBhg. Datuk Arifful Ahmadi Ab Rahman, Encik Nazli Jaafar selaku penulis skrip dan Encik Hairul Hamzah selaku pengarah filem Memoir Seorang Guru. Penonton kemudian dihiburkan dengan persembahan puisi oleh Yang Mulia Raja Ahmad Aminollah Raja Abdullah (Pak Engku).

Sementara itu, tayangan filem Memoir Seorang Guru pula diadakan di Strand Mall, Kota Damansara pada malam tersebut.