Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Wacana Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul menyemarakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan warga Istana Budaya.
Wacana tersebut dianjurkan oleh Istana Budaya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2024.
Wacana tersebut bertujuan untuk memupuk semangat cintakan bahasa kebangsaan dalam kalangan warga Istana Budaya.
Editor Kanan Bahagian Buku Sekolah DBP, Encik Zaidi Ismail yang bertindak sebagai pembicara menegaskan, “Kita perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam urusan rasmi, baik dalam lisan mahupun tulisan seperti dalam surat rasmi.”
“Penggunaan bahasa yang baik dan betul ini amat penting dalam situasi rasmi agar maklumat yang disampaikan dapat difahami secara jelas dan tepat,” ujarnya di Lambang Sari, Istana Budaya, semalam.
Dalam wacana tersebut, khalayak yang hadir juga boleh lebih mengenali, menghayati dan menikmati kemajuan bahasa kebangsaan serta menjadikan bahasa kebangsaan sebagai elemen pengukuhan identiti dan jati diri bangsa.
Turut hadir dalam wacana tersebut ialah Ketua Pengarah Istana Budaya, Puan Zubaidah Mukhtar, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Encik Johan Cruyff@Mohd Johari Md Nordin serta warga Istana Budaya.