Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerasmian acara sukan tersohor dunia, Sukan Olimpik, telah berlangsung dengan gemilang di Kota Paris baru-baru ini. Dunia memberikan tumpuan kepada acara sukan ini kerana di sinilah atlet bertaraf dunia bersaing bagi merebut pelbagai gelaran dan pencapaian serta sumbangan terpenting untuk negara masing-masing.
Sukan Olimpik yang bermula sejak abad sebelum Masihi ini merupakan warisan kebudayaan manusia yang paling unggul diwarisi hingga abad milenium ini. Pergerakan tubuh manusia yang unik serta memiliki daya tangkas yang dapat diukur dan diuji telah menyebabkan timbul kecenderungan untuk menguji keupayaan dan kebolehan antara individu dengan individu yang lain dan dipertandingkan serta ditunjukkan kepada umum.
Olahraga merupakan sukan tertua di dunia yang telah wujud sejak 3000 tahun yang lalu. Menurut sumber sejarah, acara sukan pertama yang telah direkodkan ialah lompat jauh oleh orang Greek yang bernama Chionis pada tahun 656 SM. Jarak lompatan Chionis juga direkodkan iaitu menjangkau lompatan 23 kaki 1 inci.
Sejak berabad lamanya, Sukan Olimpik telah merentas benua dan samudera walaupun pernah diberhentikan oleh Maharaja Rom bernama Theodosius. Olimpik terus dapat dihidupkan walaupun berdepan dengan perjalanan sejarah dunia yang pelbagai, antaranya termasuk Perang Dunia Pertama dan Kedua serta mengalami penangguhan akibat pandemik COVID-19.
Sukan Olimpik bukan sahaja menjadi takwim penting pembinaan dan pembangunan sukan di seluruh dunia, tetapi juga menjadi medan khusus dalam menemukan manusia di seluruh dunia. Pertemuan ini memfokuskan masa depan dan karier dalam bidang sukan yang berupaya menjana pendapatan bukan sahaja kepada atlet tetapi juga meliputi syarikat berkaitan dengan sukan, stesen penyiar, perusahaan sukan dan pusat sukan. Melalui penganjuran Sukan Olimpik juga, industri media dan komunikasi meningkatkan strategi penyiaran mereka dan dilaporkan acara Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 ini dijangka meningkat ekonomi sekitar RM51.36 bilion.
Sukan Olimpik Paris dilihat bukan sahaja dapat mempromosikan sukan itu, tetapi Paris yang cukup terkenal sebagai kota kemajuan kosmetik dan fesyen turut mempromosikan aspek bahasa, budaya dan seni yang ada dalam negara itu yang dilahirkan oleh perjuangan Napoleon Bonaparte ini.
Penulis pernah menatap warkah Melayu yang cukup indah yang didedikasikan oleh Engku Temenggung Seri Maharaja Daing Ibrahim kepada Raja Perancis, Emperor Napoleon III bertarikh 12 April 1857 pada tahun 2011. Usaha menghasilkan warkah ini sebagai hasil seni telah mengagumkan Raja Perancis. Warkah ini merupakan rakaman dokumentasi serta bukti hubungan diplomatik antara kedua-dua pemimpin ini.
Walaupun tersimpan rapi di British Library, warkah ini membuktikan kedaulatan dan seni yang terhasil dan bayangan kegemilangan masa lampau yang ada pada sejarah kita. Di Sukan Olimpik Paris 2024, kontinjen Malaysia megah dengan citra jati dirinya, sama seperti warkah yang telah dilihat oleh penulis ini.
Dalam majlis pembukaan Sukan Olimpik, seluruh dunia menantikan saat nama pasukan kontinjen negara masing-masing berarak dan diperkenalkan. Perarakan ini menjelmakan karisma setiap negara yang menyertai Sukan Olimpik. Sudah tentu ketangkasan serta keperwiraan dan keberanian semangat juang untuk bertarung menjadikan atlet yang mewakili negara dianggap sebagai “pahlawan”.
Kontinjen Malaysia walaupun baru menyertai sukan ini pada tahun 1956, tekad untuk memberikan cabaran dalam setiap acara yang disertai dan cukup istimewa bagi atlet yang meraih pencapaian hingga ke peringkat ini. Hal ini dikatakan demikian kerana bukannya mudah untuk melayakkan diri bersaing di Sukan Olimpik.

Walaupun belum meraih apa-apa pingat, sudah ada momen yang amat membanggakan bagi penulis ketika melihat kontinjen Malaysia di acara pembukaan Sukan Olimpik Paris. Setinggi-tingginya ucapan tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana telah memilih busana rekaan Rizman Ruzaini yang diberikan gelaran “The Malaya” sebagai pakaian rasmi kontinjen dan pegawai ketika diperkenalkan di acara pembukaan tersebut.
Usaha menyerlahkan busana tradisional di arena sukan terbesar dunia ini sewajarnya dipuji. Busana tradisional tersebut menggambarkan “wajah” Malaysia, iaitu perpaduan meraikan perbezaan dan kepelbagaian serta melahirkan generasi yang unik dan berbudaya unggul.
Busana tradisional memiliki “bahasa” budaya dan cukup signifikan kepada citra jadi diri sesuatu bangsa. Kita seharusnya bersatu hati dan berbangga dengan warisan yang dimiliki. Busana tradisional ini menunjukkan kesopanan, kesantunan dan keteguhan serta kaya dengan budi bahasa.
Warna yang dipilih pereka busana rasmi itu juga menyerlahkan Malaysia yang kaya dengan hasil bumi serta unsur alam semula jadi. Busana yang dipakai tidak hanya menyerlahkan keanggunan dan kesegakan si pemakai, tetapi turut menyerlahkan jati diri orang Timur khususnya masyarakat Alam Melayu.
Ayuh, marilah kita bersama-sama berbusana tradisional, selain cantik, juga menjadikan kita tampak sempurna dengan kesantunan berbudi bahasa. Tahniah kepada KBS, Rizman Ruzaini dan kontinjen Sukan Olimpik Malaysia.