12 Mac 2021, 13:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Batik Terengganu amat terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan dan pelancong asing kerana kaya dengan nilai estetika dan halus pembuatannya. Selain itu, kain batik Terengganu juga dikenali dengan sifat kainnya yang sejuk dan selesa dipakai oleh pengguna. Keunikan corak yang dihasilkan pada batik Terengganu membuatkan banyak hati terpesona dengan keindahannya dan menjadi sebutan masyarakat tempatan dan pelancong luar negara. Di sebalik kehalusan seni pembuatannya sudah pasti ada kudrat dan semangat yang tidak pernah mengalah yang mengharungi kesukaran mencipta dan mengusahakan corak batik Terengganu yang merupakan lambang warisan tradisional negeri ini.

Proses penghasilan blok dan corak batik tidaklah semudah seperti yang disangkakan oleh masyarakat. Proses tersebut memerlukan fokus dan ketekunan yang tinggi bagi menyiapkan sarang blok tersebut. Walau bagaimanapun, kini, pembuat sarang blok batik Terengganu kian pupus kerana kurangnya pendedahan terhadap generasi muda untuk mempelajari dan mewarisi kemahiran pembuatan sarang blok batik. Hal ini dikatakan demikian kerana generasi muda kini lebih cenderung untuk bekerja di pejabat atau bekerja dalam sektor ekonomi, sehingga menyumbang kepada kepupusan pembuat sarang blok batik di Terengganu.

Zakaria Ismail, 62 tahun, atau lebih selesa dikenali sebagai Pak Ya, sememangnya sudah tidak asing lagi dalam dunia penghasilan batik tanah air. Beliau merupakan satu-satunya pakar pembuat blok batik di Terengganu yang masih aktif hingga kini. Menurut Pak Ya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Kampung Ladang, Kuala Terengganu, proses mengecop batik tidaklah sukar, tetapi untuk membentuk corak di blok dan cara menggunakan blok merupakan cabaran utama dalam pembuatan batik. Jika tidak menguasai kemahiran asas tersebut, maka sukar untuk menghasilkan batik yang berkualiti. Bagi dirinya, proses pembuatan dan penjagaan blok dan cop batik lebih sukar daripada menjaga anak kecil, tetapi jika seseorang itu sudah menguasai kemahiran tersebut, maka proses pembuatannya menjadi mudah.

Sebagai seorang tenaga pengajar blok batik, beliau tidak keberatan untuk memberikan tunjuk ajar kepada generasi muda untuk mempelajari kesenian pembuatan blok. Pak Ya sentiasa terbuka dan tidak pernah memilih bulu untuk belajar dengannya. Hingga kini, beliau mempunyai para pelajar berbilang bangsa, seperti Melayu, Cina, India, malahan pelancong asing juga belajar kemahiran pembuatan blok batik dengan Pak Ya.

Secara umumnya, pembuatan batik di Terengganu mempunyai pelbagai jenis, antaranya termasuklah batik canting dan batik blok. Dalam hal ini, proses pembuatan batik blok mengambil masa yang lama berbanding jenis batik yang lain kerana memerlukan kemahiran untuk menghasilkan blok. Pada kebiasaannya, pereka akan memberikan rekaan corak kepada Pak Ya untuk menghasilkan sarang blok batik. Pak Ya akan menyesuaikan rekaan asal dengan penghasilan sarang blok yang ingin digunakan ketika proses mengecop. Proses penghasilan sarang blok ini bergantung kepada kesukaran bentuk motif yang diminta oleh pelanggan. Pada kebiasaannya, Pak Ya mengambil masa selama empat hingga lima hari untuk menyiapkan satu bentuk motif sarang blok.

Proses penghasilan sarang blok batik melibatkan bahan seperti tembaga, playar, gunting dan pisau. Proses penghasilan sarang blok itu dilakukan dengan mencantumkan corak satu per satu ke dalam sarang blok tersebut. Teknik ini merupakan cara tradisional dengan menggunakan kemahiran tangan. Pak Ya telah berkecimpung dalam dunia pembuatan sarang blok batik Terengganu ini semenjak dari kecil lagi. Ketika berusia 11 tahun, beliau telah mempelajari asas pembuatan sarang blok batik di kampungnya iaitu Kampung Ladang.

Pada zaman dahulu, industri batik di Kampung Ladang sangat besar kerana kebanyakan penduduknya menghasilkan batik. Pak Ya menyatakan bahawa dia pernah mempunyai bengkel yang besar di sana ketika mengusahakan perusahaan batik. Bengkel beliau banyak dikunjungi oleh pelancong asing untuk mempelajari teknik mengecop batik. Maka itu, tidak hairanlah beliau tidak begitu dikenali di Malaysia, tetapi terkenal di luar negara seperti di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Menurut Pak Ya, beliau mula mempelajari kemahiran pembuatan blok batik kerana tertarik apabila melihat kemahiran jirannya mengecop batik di kampungnya. Pada usia 18 tahun, atas dorongan bapa saudaranya, Pak Ya memberanikan diri untuk menceburi bidang ini dengan lebih mendalam dengan berhijrah ke Indonesia bagi memantapkan kemahiran dan ilmu batiknya tajaan Majlis Amanah Rakyat.

Ketika di Indonesia, Pak Ya bukan sahaja mendalami ilmu pembuatan sarang blok batik, bahkan beliau juga mempelajari selok-belok pembuatan batik tempatan. Setelah enam tahun berkelana di negara orang, ketika berumur 24 tahun, Pak Ya pulang ke tanah air dan membuat batik dengan menggunakan teknik yang dipelajarinya ketika belajar di Indonesia. Pembuatan batik Malaysia dan Indonesia masing-masing mempunyai gaya dan keunikan yang tersendiri.

Kini, selain menerima pesanan rekaan blok batik, Pak Ya turut banyak menerima undangan untuk memberikan tunjuk ajar kepada para pelajar tempatan. Dalam setiap sesi pengajaran, Pak Ya menegaskan bahawa seseorang itu harus lebih dahulu menguasai kemahiran asas pembuatan blo batik, seperti membentuk corak dan memateri, sebelum mereka dapat menghasilkan sarang blok yang mempunyai rekaan yang kompleks dan kemas. Para pembuat blok batik seharusnya menguasai kemahiran kraf menggunakan tangan dan pengurusan barangan tembaga.

Dalam hal ini, kunci utama untuk menguasai kemahiran membentuk dan membuat sarang blok batik ialah kegigihan, fokus dan komitmen yang tinggi. Jika seseorang itu tidak mempunyai nilai-nilai tersebut, maka sukar untuk menguasai kemahiran tersebut. Menurut Pak Ya, proses penghasilan batik moden masa ini semakin mudah dan tidak sama seperti masa dahulu. Batik tradisional memiliki empat atau lima lapisan kain, manakala batik moden pula hanya mempunyai selapis atau dua lapis sahaja. Maka itu, tidak hairanlah batik tradisional lebih mahal harganya disebabkan oleh nilai keseniannya yang tinggi. Oleh sebab itu, Pak Ya menyeru kepada generasi muda untuk mempelajari kemahiran membuat dan membentuk sarang blok batik kerana batik Terengganu memiliki permintaan yang tinggi dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Setiap pembuatan batik mempunyai identitinya yang tersendiri bergantung kepada lokasi dan budaya masyarakat setempat. Menurut Pak Ya, ketika berusia 16 tahun, beliau tertanya-tanya tentang identiti batik. Apabila gurunya menunjukkan salah satu rekaan blok batik kepadanya, batik tersebut mempunyai motif sayap seakan-akan burung garuda dan banyak digunakan pada batik Terengganu. Pengusaha batik Terengganu pada masa itu banyak mengambil batik Jawa sebagai inspirasi untuk menghasilkan corak batik Terengganu. Motif rekaan batik Terengganu hampir 80 peratus mirip kepada motif rekaan batik Indonesia.

Motif corak rekaan batik Kelantan pula banyak menonjolkan imej pagoda. Hal ini dikatakan demikian kerana motif rekaan batik Kelantan terpengaruh dengan unsur dari Thailand. Thailand juga mempunyai rekaan batiknya yang tersendiri. Pak Ya menyatakan bahawa pada zaman dahulu masyarakat menggunakan blok kayu untuk mengecop batik. Motif asal rekaan batik Terengganu lebih terarah pada bunga-bungaan. Walau bagaimanapun, ada juga batik Terengganu menggunakan motif haiwan seperti gajah yang dikatakan memiliki pengaruh dari India.

Walau bagaimanapun, kebanyakan pengusaha batik kini lebih gemar untuk mengecop batik di luar, seperti di Indonesia, kerana kos di sana jauh lebih murah berbanding di Malaysia. Keadaan tersebut menyebabkan perniagaan batik asli Terengganu merudum kerana harga yang ditawarkan oleh pesaing jauh lebih rendah. Hal ini menyebabkan banyak pengusaha batik Terengganu terpaksa menutup operasi atau beralih arah modul perniagaan yang lebih menguntungkan. Disebabkan oleh kurangnya pendedahan tentang batik, banyak pembeli tertipu dengan menyangkakan batik yang dibelinya adalah asli dari Terengganu.

Dengan pengalaman lebih hampir 50 tahun dalam dunia batik ini, Pak Ya dapat mengenali jenis batik dengan hanya melihatnya sahaja. Menurut beliau, terdapat perbezaan ketara antara batik yang menggunakan teknik asli, seperti cop blok atau canting, dengan batik yang menggunakan teknik “cetak”. Batik yang menggunakan teknik “cetak” hanya nampak cantik apabila dilihat di bahagian hadapan dan corak batik menjadi kabur apabila dilihat dari belakang. Hal ini dikatakan demikian kerana teknik “cetak” hanya mencetak rekaan corak di hadapan batik. Batik yang menggunakan teknik cop blok pula kelihatan lebih menonjol pada motif kerana coraknya melekat dengan kemas.

Baru-baru ini, Pak Ya menerima satu tempahan untuk menghasilkan sarang blok batik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Bagi beliau, tempahan tersebut merupakan lain daripada yang lain kerana pihak UMT meminta beliau menghasilkan blok batik yang mempunyai bentuk motif penyu. Hal ini merupakan projek terbaharu UMT untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap pemeliharan kehidupan laut, khususnya penyu, melalui penghasilan batik bermotifkan penyu. Menurut Pak Ya, motif penyu dalam pembuatan batik amat sesuai dengan imej UMT sebagai sebuah universiti yang menjalankan kajian tentang kehidupan laut dan juga sebagai simbol negeri Terengganu.

“Hingga kini, motif penyu dalam pembuatan batik belum lagi dikomersialkan dalam pasaran dan amat sesuai digunakan pada baju. Saya berasakan bahawa idea ini sangat baik dan berupaya menarik minat masyarakat terhadap batik, seterusnya dapat mengembangkan lagi produk batik kepada umum,” ujar Pak Ya.

Dalam setiap tempahan blok batik yang diterima, Pak Ya tidak pernah mengenakan cas yang melampau kerana batik merupakan khazanah warisan milik masyarakat Malaysia. Tidak hairanlah Pak Ya amat disenangi oleh para pengusaha batik dan juga komuniti setempat.  Bahkan, setiap sarang blok batik yang dihasilkan oleh Pak Ya mempunyai ketahanan yang lama dan dapat digunakan berulang-ulang kali jika dijaga dengan cara yang betul.

Menurut Pak Ya, sarang blok batik menjadi rosak sekiranya tidak dicuci dengan betul dan tidak dapat digunakan dalam tempoh yang lama. Pak Ya sangat mengambil berat terhadap setiap blok batik yang dihasilkannya. Hal ini disebabkan oleh kos pembuatan sarang blok batik semakin meningkat kerana harga bahan mentah seperti timah dan tembaga semakin mahal. Oleh hal yang demikian, Pak Ya sering memberikan nasihat penjagaan blok kepada para pengusaha batik agar dapat digunakan dalam tempoh yang lama. Bahkan, disebabkan perusahaan batik berasaskan blok semakin berkurangan kerana batik canting semakin popular sejak belakangan ini, turut memberikan kesan terhadap kos pembuatan blok dan nilai pasaran batik blok. Masyarakat kini lebih cenderung untuk membeli batik harga yang lebih murah kerana faktor ekonomi semasa.

Tidak dapat dinafikan bahawa industri batik, khususnya di Terengganu, sememangnya semakin rancak dan mendapat permintaan yang tinggi pada masa ini. Walau bagaimanapun, industri ini berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga mahir. Hal ini disebabkan oleh generasi muda kini tidak mahu mewarisi dan menceburi diri dalam bidang perusahaan batik. Generasi kini lebih cenderung untuk bekerja dalam sektor pekerjaan yang lebih selesa dan lumayan.

Walaupun begitu, Pak Ya tetap terus menghasilkan sarang blok batik selagi hayat dikandung badan kerana minatnya yang sangat mendalam dalam dunia pembuatan batik ini. Pak Ya bersyukur kepada Tuhan kepada dia masih dianugerahkan kesihatan yang baik untuk meneruskan penghasilan sarang blok batik. Harapan beliau agar dapat mewariskan kemahiran pembuatan blok batik kepada generasi muda agar khazanah warisan tersebut tidak pupus ditelan zaman, memandangkan kini hanya beliau seorang sahaja yang berkemahiran menghasilkan sarang blok batik di Terengganu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.