16 Mac 2021, 14:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan (DBP) Sarawak telah menganjurkan Seminar Kearifan Tempatan Sarawak yang telah diadakan pada 16 Mac 2021 bertempat di Balai Budaya DBP Cawangan Sarawak.  Seminar yang diadakan pada kali ini bertemakan “Ke Arah Pendigitalan Produk Sastera Rakyat dan Bahasa Peribumi”.

Seminar yang dijalankan ini bertujuan untuk menghimpunkan para sarjana, pengkaji, karyawan dan ahli bahasa dalam merangka strategi tentang pelestarian dan pendokumentasian bahasa dan sastera yang terdapat di Bumi Kenyalang. DBP Cawangan Sarawak turut berharap agar usaha seperti ini dapat menggalakkan pengkajian tentang sastera dan bahasa peribumi.

Dalam ucapan perasmian Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, berharap agar Seminar Kearifan Tempatan Sarawak yang sebelum ini dikenali sebagai Seminar Sastera Rakyat dan bahasa Ibunda akan menjadi wadah yang sesuai untuk para penyelidik di Sarawak agar dapat berkongsi kajian dan penemuan dalam penyelidikan yang dijalankan terutamanya dalam mengangkat karya seperti kumpulan cerita rakyat, daftar kata, kamus bahasa peribumi dan lain-lain yang dirasakan perlu untuk dimanfaatkan bersama.

Pada majlis berkenaan, Pengarah DBP Cawangan Sarawak turut melancarkan 11 program yang dijalankan oleh Unit Pembinaan dan Penyelidikan DBP Cawangan Sarawak yang merangkumi program berimpak tinggi seperti pembinaan kamus dan daftar kata, penyelidikan manuskrip Masjid Al-Qadim dan penyelidikan Darul Hana yang dijalankan pada tahun 2021.

Seminar menampilkan empat pemakalah yang terdiri daripada Dr. Syaidul Azam Kamarudin, Perancang Bahasa DBP Cawangan Sarawak, Dr. Haji Zainal Abiddin Masleh, Pensyarah Cemerlang, Institut Perguruan Kampus Batu Lintang Kuching, Dr. Sarah Samson Juan dan Dr. Suhaila Saee masing-masing dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak.

Pemakalah yang pertama Dr. Syaidul Azam Kamarudin menyifatkan peranan DBP dalam melestarikan bahasa peribumi di Sarawak cukup jelas apabila penyelidikan yang telah dijalankan oleh DBP telah menerbitkan kamus dan daftar kata bahasa sukuan. Beliau turut menjelaskan tentang kewujudan portal e-Borneo yang dapat menjadi rujukan kepada pengkaji-pengkaji tentang bahasa dan sastera yang terdapat di Sarawak.

Pembentangan oleh pemakalah yang kedua Dr. Zainal Abiddin Masleh, berharap agar pendigitalan yang dilakukan perlu memfokuskan kepada kamus dan daftar kata. Beliau turut menjelaskan pelestarian bahasa perlu dilakukan secara bersama oleh komuniti penutur dalam mempertahankan sesebuah bahasa agar pemeliharaan bahasa dapat dilakukan supaya bahasa-bahasa tidak pupus seperti bahasa Latin, Tambora dan Seru (Sarawak).

Pemakalah yang ketiga Dr. Suhaila Saee berkata kaedah konvensional dalam mendokumentasikan kepelbagaian sumber bahasa sangat bergantung kepada kepakaran dan usaha ahli bahasa di peringkat linguistik dan memerlukan kesungguhan, masa dan kos yang tinggi. Jadi beliau berharap agar teknologi yang ada hari ini dapat dimanfaatkan dalam usaha memperkembangkan dan mengekalkan semula bahasa peribumi di Sarawak.

Dr. Sarah Samson Juan, pemakalah terakhir berpandangan teknologi digital merupakan elemen penting di dalam memudahkan proses pengumpulan data bahasa. Teknologi ini mempunyai pelbagai fungsi sedia ada yang boleh membantu menganalisis data serta membuat aplikasi interaktif yang memberi manfaat kepada pengguna sistem. Puan Coretta Herliana Kura, Perancang Bahasa bertindak selaku moderator dalam seminar ini.

Majlis yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook ­­­­­­­­­DBP ini dihadiri oleh 20 undangan yang terdiri daripada kakitangan, penulis dan rakan penyelidik. Seminar ini diadakan mengikut prosedur operasi standard seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.