Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBak kata pepatah Melayu, ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Datuknya merupakan seorang pemain muzik dan penyanyi dalam kumpulan Cempuling, iaitu sebuah aliran muzik tradisional Jawa yang popular di Lembah Klang. Ayah dan ibunya pula memperkenalkan karya seni lukis, memandangkan mereka berdua berbakat dalam melukis. Itulah Mohd Zuriyadi Sarpin, Kurator dan Ketua Cawangan, Cawangan Pembangunan Usahawan dan Industri, Balai Seni Negara.
Zuriyadi mendapat pendidikan formal di Universiti Teknologi MARA dalam bidang Diploma Seni Lukis dan Seni Reka dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang sains sosial di Universiti Sains Malaysia. Setelah itu, Zuriyadi bekerja sebagai seorang pereka grafik selama 5 tahun sebelum bertugas sebagai Penolong Kurator di Balai Seni Negara. Kini, beliau merupakan Kurator di Balai Seni Negara.
Antara tugas sebagai kurator termasuklah membantu menyelaraskan pelbagai pameran di dalam dan luar negara. Zuriyadi ditempatkan di Unit Komunikasi Korporat, Cawangan Promosi dan Pemasaran untuk memastikan unit ini mampu mengangkat imej Balai Seni Negara. Di cawangan ini juga membuatkan Zuriyadi berjaya membuat jaringan perniagaan bersama-sama beberapa agensi pengiklanan popular di Malaysia dan mendekati para wartawan seni tanah air.
Zuriyadi juga bertanggungjawab untuk mewujudkan hubungan perniagaan dengan pemain industri di bawah jenama Art Marketplace (Jualan Seni), mengendalikan portal gogallery.my, Go Tutorial (platform pembelajaran online) dan membuat jaringan dengan pihak industri seperti Artespree, ArtInBook, Piksum dan program Jelajah Keusahawanan Seni.
Bercerita tentang Balai Seni Negara, Zuriyadi menjelaskan bahawa Balai Seni Negara berperanan mengumpul, memulihara dan mempamerkan hasil seni visual rakyat dan negara, serta karya signifikan antarabangsa melalui perolehan koleksi, konservasi, pameran koleksi, penyelidikan, penerbitan, promosi dan wacana seni. Seterusnya, balai ini turut berusaha untuk mengembangkan potensi sebagai pembangun tamadun seni budaya negara dengan mendaya usaha aktiviti seni untuk memperoleh pendapatan melalui aktiviti seni budaya, bantuan kepada penggiat seni, memberi sokongan dan khidmat nasihat serta memajukan pembangunan seni visual.
Sebagai sebuah agensi kerajaan yang ditugaskan untuk memartabatkan seni visual, sudah tentu matlamatnya selari dengan polisi negara. Balai Seni Negara terikat dengan undang-undang dan peraturan tertentu. Balai Seni Negara tidak menghalang pengkarya menghasilkan karya seni kerana memahami kreativiti itu perlu diraikan, namun jika terdapat karya yang bersifat provokasi melampau atau bertentangan dengan norma masyarakat yang terlalu ekstrim, maka Balai Seni Negara perlu mengambil langkah tertentu kerana pelanggannya bukan hanya pelukis dan orang seni, namun seluruh rakyat Malaysia.
Dalam hal ini, para seniman mungkin berasakan bahawa Balai Seni Negara menghalang kreativiti mereka, namun sebenarnya ada peranan yang lebih besar perlu dimainkan oleh Balai Seni Negara. Hal ini merupakan cabaran utama bahagian Kuratorial. Perdebatan tentang hal ini tidak pernah selesai. Justeru itu, pihak Balai Seni Negara sentiasa proaktif untuk menyelesaikan segala perkara yang berbangkit. Selain itu, antara cabaran lain termasuklah menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti seni. Hal ini dikatakan demikian kerana Balai Seni Negara sentiasa dilihat sebagai pendukung utama seni dan tidak harus ketinggalan dalam menjuarai aktiviti seni visual tanah air dengan menganjurkan pameran dan pertandingan.
Menyentuh tentang perkembangan seni visual di luar lembah Klang, Zuriyadi menyatakan bahawa setiap negeri mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Di Pulau Pinang misalnya, terdapat beberapa pusat seni, seperti Hin Bus Depot, dan agensi seperti Penang Art District dan Think City. Selain itu, Balai Seni Pulau Pinang juga sangat aktif menjalankan pelbagai pameran dan pertandingan untuk mencungkil bakat baharu. Selain itu, perkembangan seni mural jalanan di Pulau Pinang turut merebak di seluruh Malaysia. Di samping itu, menurut statistik, terdapat 70 buah galeri di seluruh Malaysia, enam buah rumah lelongan seni, lapan buah galeri seni di institut pengajian tinggi seluruh Malaysia dan 28 buah kumpulan dan persatuan seni di Malaysia. Data ini menunjukkan bahawa seni visual itu tidaklah bersifat statik, namun bergerak secara organik di seluruh Malaysia.
Dalam aspek pemasaran pula, menurut Zuriyadi, seni itu sebenarnya merupakan satu bentuk komoditi. Urus niaga seni mempunyai pusingan ekonomi yang tersendiri dengan wujudnya transaksi jual beli karya di Malaysia. Pihak galeri wujud kerana adanya aktiviti jual beli lukisan, manakala rumah lelong wujud kerana adanya permintaan. Maka itu, seni merupakan satu peluang perniagaan yang baik bagi sesetengah pemain industri. Pada tahun 2018, pulangan hasil jualan seni untuk negara ialah RM71.46 juta. Sungguhpun demikian, kebanyakan seniman tanah air tidak mahir dalam urusan perniagaan dan hanya mengikut kata pemilik galeri atau pengumpul koleksi untuk menentukan urusan jual beli dan kontrak perjanjian.
Pada hakikatnya, para seniman berkarya untuk kepuasan peribadi dan mengharapkan pihak galeri membeli karya mereka atau menawarkan peluang berpameran. Sedangkan jika mereka mempunyai ilmu dalam perniagaan, sudah tentu karya meraka dapat dikomersilkan. Budaya seni di Malaysia masih belum pada tahap tertinggi dan kerjaya sebagai pengurus seni di Malaysia masih belum berkembang. Di Eropah misalnya, rata-rata pelukisnya mempunyai pengurus yang menguruskan hal berkaitan promosi dan pemasaran, serta peluang berpameran di galeri atau muzium berprestij tinggi. Seniman seperti Raja Azhar dan Yusof Gajah merupakan contoh pelukis yang baik kerana berjaya menerapkan eleman keusahawanan dalam diri mereka.
Mengakhir perbulan, Zuriyadi menegaskan bahawa Malaysia tidak ketandusan bakat seni. Saban tahun, banyak nama baharu yang wujud dalam dunia seni visual tanah air. Ruang pameran juga semakin banyak dan hal ini membantu merancakkan aktiviti seni di Malaysia. Walau bagaimanapun, negara masih lagi kekurangan pengkritik seni yang benar-benar kritikal bagi mengimbangi ekosistem seni di Malaysia. Penulisan dan perbincangan tentang hal seni di Malaysia harus lebih rancak dan diterbitkan untuk dijadikan sebagai rujukan umum.
Diharapkan pada masa akan datang, pihak kerajaan dapat memberikan pengecualian cukai kepada rakyat Malaysia yang membeli karya seni pelukis tempatan. Hal ini secara tidak langsung memberikan galakan kepada peminat seni untuk membeli dan menghargai karya seni, sekali gus merancakkan aktiviti jualan seni di Malaysia.
Penulis merupakan pensyarah seni visual di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).