1 April 2021, 22:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Batik sememangnya telah terkenal di alam Melayu sejak berabad lamanya dan menjadi sebahagian daripada budaya masyarakatnya. Batik dipercayai berasal daripada perkataan Jawa, iaitu ba dan tik, yang membawa maksud setitis lilin. Manakala, Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan batik sebagai kain yang bercorak dilukis atau ditera dengan lilin dan dicelup.

Di Malaysia, batik merupakan bidang kraf tangan tradisional yang unik dan istimewa, selain songket, sehinggakan Majlis Kraf Dunia-Asia Pasifik mengiktiraf batik Malaysia sebagai salah satu kraf tempatan yang terkenal di peringkat global. Walaupun pihak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengiktiraf batik sebagai warisan tidak ketara milik Indonesia pada tahun 2009, tetapi tidaklah bermakna kerajaan Malaysia tidak berusaha untuk turut mendapatkan pengiktirafan berkenaan. Tambahan pula, batik Malaysia adalah berbeza dengan batik Indonesia. Antara perbezaan yang dapat dilihat dengan ketara termasuklah batik Malaysia memiliki lebih banyak motif dan corak flora, penggunaan peralatan canting satu mata, dan digunakan sebagai pakaian dan perhiasan.

Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia, terdapat dua sidang media khas saban hari yang menjadi tumpuan tontonan masyarakat Malaysia iaitu sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri dan sidang media Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. Yang menariknya, selain maklumat semasa berkaitan wabak COVID-19, masyarakat juga tertarik dengan pemakaian kemeja batik oleh Datuk Seri Ismail Sabri apabila isu ini menjadi tular di laman media sosial. Pemilihan persalinan batik dengan rekaan corak dan warna yang menarik membuatkan masyarakat jatuh hati dengan batik Malaysia. Hal ini sekali gus mempromosikan batik Malaysia dan keunikannya masih lagi menjadi perhatian masyarakat.

Sejarah menunjukkan batik telah wujud sejak lebih 1000 tahun dahulu dan berkemungkinan bermula dar Mesir Kuno. Di Asia Tenggara, batik disebut dalam sejarah pada abad ke-17. Manakala di Malaysia, perkembangan batik dipercayai telah bermula di Pantai Timur dan hingga kini batik sememangnya antara daya tarikan pelancongan bagi negeri Kelantan dan Terengganu. Menurut Abdullah Jumain dalam kajiannya bertajuk “Batik: Sejarah dan Keistimewaan Tekniknya”, terdapat pelbagai jenis batik yang di Malaysia, antaranya termasuklah batik lukis atau canting, batik blok atau terap, batik skrin, dan batik pelangi.

Penggunaan batik sememangnya sangat meluas dalam kalangan masyarakat Malaysia. Bagi wanita, kain batik digunakan dalam pelbagai gaya ,sama ada dijadikan baju kurung atau kebaya, atau digunakan sebagai kain sarung atau basahan di rumah. Manakala, lelaki juga menggayakan batik sebagai kemeja ketika menghadiri majlis-majlis keramaian atau acara formal. Dalam usaha mempromosikan batik ke negara luar, dua syarikat penerbangan Malaysia, iaitu Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Malindo Air telah menggunakan batik sebagai pakain seragam bagi para pekerja mereka. Rekaan kebaya para pekerja MAB yang menggunakan batik Sarawak bercorakkan bunga tempatan iaitu bunga cempaka, bunga melur dan bunga raya telah disenaraikan antara seragam paling cantik di dunia pada tahun 2018. Hal ini membuktikan keunikan batik mampu menjadi tarikan masyarakat dunia.

Usaha untuk mengkomersilkan batik sentiasa dilakukan oleh pihak kerajaan kerana keunikan yang ada padanya, selain batik yang merupakan salah satu identiti bangsa Malaysia. Ikon yang paling diingati dalam memartabatkan batik, baik di dalam mahu pun di luar negara, sudah tentulah Allahyarham Tan Seri Endon Mahmood yang telah mengilhamkan dan melancarkan Batik Malaysia: Ciptaan Untuk Dunia. Allahyarham terus membantu mempromosikan dan memartabatkan seni kraf tempatan, terutamanya batik melalui pertubuhan sebuan badan bukan kerajaan, iaitu Yayasan Budi Penyayang.

Selain itu, Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon yang mula diadakan pada tahun 2003 juga merupakan antara medan terbaik dalam melahirkan lebih ramai pereka muda yang berbakat dalam seni batik. Hingga kini pertandingan ini masih dijalankan dan berjaya mencungkil lebih banyak bakat baru dan menghasilkan pelbagai rekaan dan inovasi penggunaan batik di Malaysia. Konvensyen Batik Antarabangsa Kuala Lumpur buat julung-julung kalinya juga telah diadakan di negara ini pada tahun 2005 dengan menampilkan 14 orang pembentang kerjas kerja daripada seluruh negara. Bahkan, Allahyarham Tan Seri Endon juga telah dipilih sebagai “Tokoh Jarum Berlian Malaysia 2004” kerana usahnya memartabatkan seni warisan negara.  Usaha Allahyarham kini diteruskan oleh anaknya, Nori Abdullah yang merupakan Pengerusi Yayasan Budi Penyayang melalui pelbagai program terasuklah melalui Galeri Seni Indon.

Pada tahun 2008, semua kakitangan awam lelaki di Malaysia disarankan memakai baju batik Malaysia pada setiap hari Khamis. Usaha kerajaan ini dianggap tepat sebagai antara usaha kerajaan mempopularkan kembali batik yang semakin dilupakan masyarakat. Bahkan, hingga ke hari ini saranan tersebut masih diamalkan. Keunikan batik jelas masih menjadi perhatian apabila penggayaan kemeja batik oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang medianya menjadi perhatian masyarakat dan tular di media-media sosial. Pemilihan kemeja batik dengan corak rekaan yang menarik selain warna yang menonjol menyebabkan masyarakat begitu tertarik dan teruja dengan batik. Hal ini membuktikan bahawa batik sebenarnya bukanlah sesuatu fabrik yang kolot untuk dipakai.

Dalam usaha memastikan batik untuk terus kekal relevan, usaha untuk melakukan inovasi terhadap pemakaian dan penggunaan batik di kalangan masyarakat wajar diteruskan. Walau bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Ibrahim Ismail, usaha itu perlu juga dilaksanakan tanpa mengabaikan identiti asal batik. Hal ini dikatakan demikian kerana industri kraf tidak boleh bersifat statik atau mengongkong dan jika hanya masih menggunakan kaedah lama mungkin juga batik tidak menepati permintaan semasa pasaran.

Kini, batik lukis Terengganu juga digunakan oleh pengusaha MaryamBayam bagi membuat aksesori kepala dan anting-anting sebagai antara inovasi dalam meneroka pasaran batik yang lebih luas selain memenuhi cita rasa anak muda kini. Semasa program Batik Fest 2019 di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada tahun 2019, jerai MaryamBayam merupakan antara gerai popular yang mendapat perhatian pengunjung daripada dalam dan luar negara.

Usaha Kraftangan Malaysia memperkenalkan batik linut di Mukah, Sarawak yang diperbuat daripada sagu bagi menggantikan penggunaan lilin merupakan antara teknik baharu dalam pembuatan batik. Kraftangan Malaysia juga berhasrat untuk meneroka lebih banyak teknik dan mencipta identiti batik bagi setiap negeri. Sebagai contohnya, bunga lada bagi Negeri Sembilan, bunga Kesidang bagi negeri Melaka, bunga Raflessia bagi negeri Sabah dan bunga Orkid Normah bagi negeri Sarawak. Selain inovasi batik, kerajaan melalui Kraftangan Malaysia juga giat mempromosikan batik melalui beberapa festival seperi Hari Kraf Kebangsaan (HKK), Batik Kraft dan sebagainya dalam usaha meluaskan pemasaran batik Malaysia kepada masyarakat..

Secara kesimpulannya, jualan produk kraf negara telah mencatat kkeuntungan sebanyak RM 465.5 juta pada tahun 2019 dan 34 peratus daripadanya adalah hasil daripada jualan produk berasaskan batik. Jadi, sewajarnya usaha untuk terus melakukan inovasi terhadap penggunaan batik selain memartabatkan batik sebagai warisan negara wajar dilakukan secara berterusan kerana batik bukan sahaja akar budaya masyarakat kita tetapi juga mampu menjana ekonomi negara.

Para pemimpin perlu mencontohi Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri yang mengenakan kemeja batik sebagai persalinan dalam sidang media beliau. Masyarakat juga perlu mengambil langkah proaktif dengan membeli batik asli Malaysia berbanding batik negara luar demi memastikan kelangsungan industri ini di negara kita. Jika setiap pihak mampu menjadi duta kepada produk batik, sudah semestinya batik tempatan mampu menerokai pasaran dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.