Oleh Wanza Mohamad
6 April 2021, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kita menduga angka 2020 menjadi satu lagi tahun membangun dalam era kemajuan dan perkembangan globalisasi. Namun begitu, tiada sesiapa pun yang menjangkakan sebaliknya yang berlaku. Tahun 2020 ternyata meninggalkan sejarah dan tamparan besar yang akan dikenang seumur hidup. Mengimbas tragedi pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak Mac 2020, secara tidak sedar sudah setahun kita berjuang mengharunginya dengan pelbagai pengalaman dan perasaan.

Tidak perlu dibutirkan satu per satu lagi kesan dan akibat yang dihadapi susulan wabak ini. Kita akui bahawa kelembapan ekonomi telah melanda negara tercinta. Dengan bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar Mac 2020 yang lalu, majoriti pemain industri terkesan. Sektor pelancongan juga menerima nasib yang sama. Bayangkan industri yang mempunyai hampir empat juta pekerja ini telah dibebani kesulitan ekonomi. Sebagai buktinya, sekitar 45 bilion kerugian telah pun direkod dalam tempoh enam bulan pertama.

Bayangkan lagi industri pelancongan dan kebudayaan adalah antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi. Namun memetik kenyataan yang disuarakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi laporan Berita Harian Online pada 27 Jun, sebelum penguatkuasaan PKP, sektor ini menyumbang lebih kurang 15.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Walau bagaimanapun sesudah PKP, bidang ini juga antara yang paling terkesan sekali gus memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan. Bukan itu sahaja, Jabatan perangkaan Malaysia (DOSM) turut mencatatkan jumlah pekerjaan bagi April 2020 menurun sebanyak 1.0 peratus kepada 14.93 juta orang berbanding tempoh yang sama pada 2019.

Meskipun begitu, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang pernah dijalankan pada 10 Jun 2020 yang lalu menyaksikan kerajaan membenarkan industri pelancongan untuk beroperasi secara peringkat. Sudah pasti sedikit sebanyak membantu pihak pemain industri untuk kembali membangunkan ekonomi masing-masing.

Kini memang kita belum menang melawan pandemik ini, namun “lampu hijau” yang telah dikeluarkan kerajaan ini menyaksikan penggiat industri perlu tampil kreatif, berani dan terus berdaya saing. Hanya strategi dan pendekatan baharu mampu untuk menarik kembali perhatian pelancong tempatan sekali gus merancakkan semula sektor pelancongan negara.

Kuasakan Pelancongan Domestik

Pelancongan domestik dilihat sebagai satu-satunya inisiatif yang mampu mengaktifkan dan memulihkan sektor ini selagi sempadan negara masih ditutup.

Menurut Hafiz Hazin, Pengarah TOURISM Malaysia Wilayah Timur, jika sempadan negara dibuka, kemungkinan hanya membabitkan kemasukan pelancong dari negara hijau. Namun hingga kini, kita belum tahu kemampuan negara jika inisiatif sebegini diambil. Kita juga tidak pasti adakah rakyat telah benar-benar bersedia? Justeru itu, kempen pelancongan domestik perlu digiatkan.

Setahun berlalu rasanya rakyat sudah memahami bahkan cakna dengan perubahan baharu yang melanda negara. Lantaran itu masyarakat dilihat sudah bersedia dan bijak dalam mengurus risiko penularan virus. Tidak dinafikan pasti wujud segelintir masyarakat yang masih memilih untuk menangguhkan dahulu aktiviti rekreasi atau pelancongan yang sudah dirancang, namun kita juga tidak menafikan segelintir yang lain pula sudah bersedia untuk meneruskan kelangsungan minat dan rutin.

Di sinilah penggiat perlu terus berperanan dalam memperhebatkan promosi pelancongan masing-masing. Platform laman sosial perlu diperluaskan agar capaian maklumat dan hebahan diterima ramai. Kerjasama dengan pihak berkaitan termasuk media juga perlu disinergikan. Ternyata kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan progresif apabila Program Semarak Pelancongan Domestik dan Kempen Cuti-Cuti Malaysia dilancarkan dalam usaha untuk menyemarakkan pelancongan dalam negara.

Budayakan Norma Baharu

Alah bisa tegal biasa. Begitulah yang boleh dikaitkan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi ketika kita berada di premis luar atau menjalani aktiviti di luar. Sudah pasti sektor pelancongan juga tidak terlepas daripada membudayakan norma baharu ini.

Tidak dapat tidak, pemain industri perlu tegas dan menitikberatkan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan norma baharu. Para pelancong juga sepatutnya tidak memandang remeh apatah lagi mudah melatah. Sebenarnya kedua-dua pihak sama ada pemain industri dan pelancong perlu sentiasa bersedia dan terbuka dalam memahami perubahan ini. Ingatlah kedua-dua memiliki peranan penting bagi memastikan kebarangkalian penularan virus berkurangan sekali gus membantu memutuskan rantaian gejala ini. Bukankah mencegah lebih baik daripada mengubati? #Kitajagakita; itulah yang kita lakukan.

Malaysiaku Indah

Tidak perlu memandang jauh, negara kita sendiri memilki ratusan destinasi ekopelancongan yang menawarkan peluang dan pengalaman menarik untuk menikmati keindahan semula jadi. Jika sebelum ini kita memilih mengembara ke negara luar, kini tibalah masanya kita kembali melihat khazanah yang ada di tanah air sendiri.

Taman Negara Pahang merupakan taman negara yang terbesar dengan keluasan 2,477 km² diikuti oleh Taman Negara Kelantan seluas 1,043 km² dan Taman Negara Terengganu seluas 853 km². Lebih istimewa di sinilah berdirinya Gunung Tahan yang menjadi gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan ketinggian 2187m. Selain daripada aktiviti pendakian gunung, pelancong juga boleh memerhati kehadiran hidupan liar di bumbung rimau yang kebiasaannya memerlukan pelancong untuk bermalam di situ. Bagi aktiviti sungai pula, pelancong boleh memancing raja ikan sungai iaitu ikan kelah. Namun syaratnya ialah “catch and release” sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perhilitan.

“Secara purata bagi tahunan setiap penunjuk arah akan mendaki Gunung Tahan sekurang-kurangnya sekali sebulan dan 12 kali setahun seorang, namun bagi penunjuk arah yang aktif bilangan dalam sebulan berkemungkinan bertambah. Berbeza setelah COVID, tiada lagi pelancong yang hadir disebabkan pelaksanaan PKP,” kongsi Wan Mohamad Adham Wan Mohamad, 27 tahun yang bertindak sebagai pemandu pelancong Taman Negara Pahang Sg Relau. Beliau yang juga penunjuk arah Gunung Tahan dan pemegang lesen asas pemandu pelancongan ini cukup sebati dengan gunung tersebut hampir empat tahun lamanya.

“Sebelum COVID had kehadiran pendakian pada setiap hari ialah seramai 48 orang peserta. Namun kini had peserta yang ditetapkan ialah hanya 20 orang pada setiap hari.” Tambahnya lagi untuk aktiviti berkhemah juga peserta tidak dibenarkan untuk berkongsi khemah sebaliknya perlu membawa khemah sendiri. Syarat ini juga menjadi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Taman Negara Pahang.

Menyahut saranan kerajaan, Adham turut memberitahu pelaksanaan promosi semula produk-produk yang ada di Taman Negara Pahang dan juga sekitar kampung yang berdekatan giat dilakukan oleh pasukan mereka dalam usaha merancakkan kembali aktiviti pelancongan di situ.

“Terlalu banyak daya tarikan dari segi geologikal dan biologikal di sini. Gunung Tahan adalah tarikan kuat. Namun selain itu, Taman Negara Pahang Sg Relau juga kaya dengan haiwan mamalia yang jarang ditemui dan semakin pupus seperti harimau, tenuk, gajah dan rusa bahkan Sungai Tahan menjadi kawasan habitat kepada ikan kelah.”

“Antara aktiviti baharu yang perlu dicuba pelancong ialah berkenu. Kami tawarkan dua pakej iaitu 3 hari 2 malam dan 4 hari 3 malam yang melibatkan lokasi Kuala Juram ke Kalung dan Kuala Juram ke Kuala Yu.”

Dari Lensa Iman

Bagi bakal pelancong yang berperanan dan berpotensi besar dalam menggerakkan dan memulihkan ekonomi sektor pelancongan, pematuhan SOP tampak biasa namun hakikatnya ia memberi impak yang luar biasa. Jika bergejala seperti sesak nafas, batuk, selesema dan demam, dapatkan rawatan susulan. Di sinilah kita jaga kita perlu dilaungkan selalu.

 

Ada petikan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim menyebutkan, “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.”

Jadi norma baharu hakikatnya mewujudkan bahkan menggandakan kepedulian sosial antara kita. Lebih indah lagi, hari ini kita melancong bukan hanya sekadar patuh SOP tetapi juga patuh syariat. Bermakna kita tidak melancong ke lokasi yang tidak selamat dikunjungi, sederhana dalam berbelanja memandangkan melancong di dalam Malaysia dan mengambil ibrah daripada musafir.

Kita tidak lagi sekadar merehatkan fikiran sebaliknya merangsang pemikiran agar lebih banyak mengingati Pencipta apatah lagi ketika diuji sebegini. Inilah serampang dua mata kita. Ketika musafir atau melancong pula, usah lupa memperbanyakan berdoa agar wabak ini diangkat Yang Esa. Kita percaya bahawa  doa orang musafir antara doa yang dikabulkan Allah.

Ya, setiap kali sesuatu yang buruk berlaku, kita ada dua pilihan iaitu sama ada membiarkannya melemahkan kita atau menjadikan kita lebih kuat. Ketika kita merasakan berkurangnya sumber ekonomi dan lain-lain tetapi sebenarnya ada juga yang bertambah. Apa? Bukankah kita lebih banyak berdoa, lebih sayangkan diri dan orang lain, lebih bersedia dengan segala kemungkinan, lebih berani bertindak dan mencuba, lebih bersyukur, lebih bijak dan banyak lagi!

Benarlah firman Allah SWT, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal itu baik bagi kamu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu buruk bagi kamu, Allah jualah yang mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah: 216)

Kita pasti menang, Insya-Allah!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.