13 April 2021, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wau merupakan salah satu aktiviti sukan udara yang amat popular dalam kalangan masyarakat Melayu. Permainan ini amat diminati oleh kanak-kanak dan orang dewasa memandangkan wau merupakan permainan tradisional, selain daripada permainan congkak, gasing, batu seremban, galah panjang dan sebagainya. Walau bagaimanapun, wau menjadi pilihan memandangkan mempunyai keunikan tersendiri iaitu mampu terbang tinggi di udara. Apatah lagi dimainkan secara beramai-ramai, ternyata mampu menghasilkan warna-warni, pemandangan unik, dan memukau mata, serta gah di dada langit.

Menurut mitos yang disampaikan pada zaman dahulu, wau pada mulanya adalah permainan tanpa nama. Kanak-kanak membuatnya daripada daun tertentu, yang kemudiannya diikat pada tulang belakang daun tersebut dengan tali kelopak batang pisang atau urat daun nanas. Mereka memainkannya di tempat lapang dan kawasan yang berangin agar dapat menerbangkan wau tersebut. Pada suatu hari, permainan yang dimainkan mereka itu telah putus talinya. Seorang kanak-kanak menangis kerana terlampau sedih. Tangisan itu melahirkan bunyi “wa…wa…wa…”. Sejak peristiwa itu jugalah lahirnya perkataan wau.

Bukti lahirnya nama wau juga tercatat dalam catatan Tun Seri Lanang di mana Raja Ahmad bermain wau bersama-sama pemuda dan kerabat diraja. Perkataan wau juga dikaitkan juga dengan mitos Dewi Dewa Dani dan Dewa Muda. Mengikut mitos yang lain, wau wujud daripada kisah semangat padi, asal usul empayar Srivijaya, kembara Siti Zubaidah dan banyak lagi kisah-kisah yang dikaitkan dengan permainan wau.

Hari ini, permainan wau masih lagi mendapat tempat di hati semua peringkat umur. Pelbagai sambutan pesta wau yang diadakan membuatkan wau terus meniti di bibir masyarakat kini. Acara ini mampu menarik minat golongan muda yang dilihat semakin membelakangkan budaya dan warisan negara memandangkan masing-masing terlalu leka dengan permainan moden masa ini. Paling memberikan kesan adalah penggunaan wau ketika sambutan Hari Kemerdekaan.

Pada era modenisasi ini, masyarakat menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan fizikal yang pesat. Namun begitu, ironinya pelbagai warisan nenek moyang kita semakin dipinggirkan oleh masyarakat, terutamanya golongan muda. Adakah kita sanggup membiarkan khazanah kebudayaan kita ditelan peredaran zaman dan lenyap daripada bumi kita? Tepuk dada tanya selera.

Oleh hal yang demikian, untuk mengemarakkan lagi dunia permainan wau, pelbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Antaranya termasuklah wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wah sewah, dan wau barat. Walau bagaimanapun, wau yang paling mendapat tempat dan popular adalah wau bulan. Wau dipopularkan melalui sebuah pertandingan atau acara. Dalam sesuatu pertandingan, wau diukur dari segi keindahannya iaitu bentuk, corak ciptaan, warna, keaslian dan ukuran. Salah satu kemaslahatan permainan tradisional ialah wau merupakan kebanggaan aset budaya bangsa Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana permainan tradisional wau merupakan ciptaan nenek moyang kita yang melambangkan ciri-ciri kebudayaan bangsa.

Pada kebiasaannya, wau dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang juru anjung yang memegang wau dan seorang juru tarik yang memegang tali. Permainan wau memerlukan kawasan yang berangin. Apabila adanya tiupan angin, tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik tali sehingga wang terbang tinggi di udara. Satu kepuasan jelas terasa apabila wau yang dihasilkan mampu terbang tinggi diudara. Bahkan ada wau yang dimainkan di kampung-kampung mampu terbang tinggi dan “bermalam” di udara. Keesokan hari barulah mereka menurunkannya semula.

Cara menghasilkan wau juga rumit. Hal ini dikatakan demikian kerana jika tidak kena cara, wau tidak mampu terbang di udara.  Pembuat wau harus mengenali bahagian wau, seperti belalai, bilah ekor, bilah sayap, batang busur, tali busur, ekor dan beberapa bahagian penting lagi. Walau bagaimanapun, wau diperincikan kepada lima komponen asas, iaitu kepala, busur, sayap, pinggang dan ekor. Selain faktor masa, kerja meraut buluh, mengimbangi kepak dan melekat kertas juga memerlukan kepakaran, di samping pemilihan bahan mentah dan kemahiran kraf tangan.

Dalam hal ini, beberapa petua dan pantang larang dalam pemilihan buluh seharusnya diambil berat. Antaranya termasuklah pemilihan buluh dari kawasan tinggi dan lapang, buluh mestilah kering, jangan tebang buluh yang mempunyai pucuk muda, dan memilih buluh yang condong ke arah matahari naik. Rangka wau yang telah siap kemudiannya ditampal dengan kertas berlainan warna untuk menghasilkan wau yang cantik dan menarik. Selain itu turut dihias dengan corak seperti pucuk rebung atau bunga cengkih. Di kepala turut dihias rambu-rambu halus berwarna-warni menambahkan lagi kecantikan rupa. Akhir sekali, dipasangkan busung untuk mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan serta menjadi penghias dada langit.

Di Malaysia, antara acara besar yang pernah dianjurkan dan diwartakan dalam kalendar pelancongan negara berkaitan dengan wau termasuklah Festival Layang-layang Sedunia di Johor, Festival Layang-layang Antarabangsa Kabong, Sarawak. Pesta Wau Antarabangsa Kelantan, Pesta Angin Timur, Perlis, Pesta Wau Parit Buntar, Kedah, Pesta Kebudayaan Terengganu, Rentap Wau dan Layang-Layang Tertutup Daerah Ledang, Johor.

Festival Layang-Layang Johor merupakan festival tahunan terbesar yang disertai oleh pemain layang-layang tempatan dan antarabangsa. Selain peringkat antarabangsa dan negeri, pertandingan ini juga dibuat di peringkat daerah, seperti Pertandingan Wau Cantik dan Wau Naik, daerah Kemaman Terengganu, untuk memastikan permainan tradisional kita tidak lenyap di bumi kita. Jika tiada usaha sebegini, maka akan lenyaplah seni kebudayaan yang dapat memperlihatkan maruah bangsa kita. Pesta seperti ini wajar diadakan saban tahun.

Pelbagai agensi, seperti majlis perbandaran, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Pelayang Malaysia, Persatuan Pelayang dan sebagainya turut memberikan sokongan setiap kali sesuatu acara berkaitan dengan wau diadakan. Bahkan turut diserikan dengan persembahan, bengkel, pertandingan, pameran wau dan layang-layang, khususnya usaha mempromosikan wau kepada generasi muda tentang keindahan permainan tradisional di Malaysia dan keharmonian sejagat.

Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Di sekolah, seni permainan tradisional wau seharusnya didedahkan dan dijadikan kokurikulum di sekolah. Para pelajar sewajarnya didedahkan di dalam kelas tentang wau seperti cara pembuatan, cara bermain, dan mengetahui kepentingannya terhadap kebudayaan, sekali gus menyuntik ilmu baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana generasi muda merupakan tunjang yang bakal mewarisi pucuk kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak.

Pada kebiasaannya, tema yang dipilih dalam sesuatu permainan atau pertandingan wau untuk menunjukkan keindahahan budaya Malaysia ke seluruh dunia, seterusnya merapatkan hubungan di bawah satu langit dan satu budaya. Budaya ini ternyata mengetengahkan falsafah tersendiri mengikut kefahaman dan kepercayaan masing-masing yang penuh keindahan melalui penciptaan wau dan layang-layang. Oleh sebab itu, generasi muda bertanggungjawab untuk melestarikan khazanah ini dari generasi ke generasi. Hiasilah dinding rumah anda dengan sebuah wau untuk tatapan dan penghias mata para tetamu. Secara tuntasnya, permainan tradisional  merupakan khazanah warisan yang tidak ternilai. Ayuh, bangkitlah generasi baharu untuk terus mengekalkan momentum penghias warna-warni awan biru ini sejak zaman-berzaman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.