Oleh Naimah Yusof
28 April 2021, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Singapura – One Kampong Gelam telah melancarkan Balai Kemashyuran Grafiti pertama di Asia Tenggara pada 28 April 2021 di Kampong Gelam, Singapura yang bertujuan memperkaya pengalaman pengunjung dengan tarikan baharu pada tembok atau dinding tumpuan setinggi lima meter. Tembok tersebut yang berada di sepanjang 131 meter Bali Lane dan 107 meter Ophir Road yang menukilkan pelbagai karya menarik itu mampu memukau mata setiap pengunjung yang menyusurinya.

Projek yang diilhamkan oleh ikonik setempat dan diterajui oleh One Kampong Gelam itu dapat memelihara pemandangan seni jalanan di Kampong Gelam. Dalam ucapan yang diberikan oleh Aileen Tan yang merupakan wakil One Kampung Gelam yang juga pemilik Blu Jaz, beliau menyatakan bahawa “Kerja-kerja pembinaan biasanya akan menjejaskan para peniaga dan kedai mereka. Justeru, kami bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk mengubah penghadang bunyi menjadi daya tarikan seni awam.”

Tambah beliau, “Para pengkarya memang arif menimba peluang yang wujud dalam sebarang kesukaran. Kami berbesar hati menerima sokongan daripada Lembaga Pelancongan Singapura, Lembaga Pembangunan Semula Bandar, Penguasa Pengangkutan Darat serta Kejuruteraan dan Pembinaan GS untuk merealisasikannya.”

Peringkat pembuatan mural.
Has.J yang merupakan seorang daripada 17 seniman yang menyumbangkan idea dan tenaga dalam penghasilan Balai Kemasyhuran Grafiti di Kampong Gelam.

Balai yang bertaraf dunia ini dibina bagi meraikan semangat, kepelbagaian dan kebebasan bersuara artis bandar di Singapura yang mempamerkan pelbagai gaya khas kreativiti mereka. Seramai 17 orang pengkarya yang terdiri daripada pengkarya mapan dan pengkarya baharu yang namanya kian dikenali telah mencurahkan idea dan melakarkan karya seni mereka pada dinding tumpuan tersebut. Antaranya termasuklah ANTZ, Didier “Jaba” Mathieu dan Hegira yang mempersembahkan “Constant Elevation” yang merupakan karya fiksyen berunsurkan persekitaran yang dipenuhi dengan kucing jalanan manja dan rumah kedai berbumbung merah. Selain itu, terdapat karya daripada Dem yang membayangkan seniman sebagai burung merpati terbang bebas, membesar dan melebarkan sayap dalam perjalanannya yang tersendiri.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi