23 April 2024, 09:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tepat pukul 11 pagi, pada 23 April 2024, segenap lapisan masyarakat di Malaysia tidak kira usia, jantina dan bangsa diseru untuk meluangkan masa selama 10 minit untuk membaca buku tidak kira di mana juga anda berada.

Luangkan masa selama 10 minit bermula dari pukul 11.00 hingga 11.10 untuk membaca buku mengikut genre kesukaan anda dan medium bacaan masing-masing. Inisiatif ini dilakukan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Program anjuran PNM ini dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April pada setiap tahun untuk menggalakkan pembacaan, penerbitan dan perlindungan harta intelek hak cipta. Program ini telah dilaksanakan oleh PNM sejak tahun 2014.

Program ini telah diperkasakan dengan pelibatan semua masyarakat melalui kerjasama antara PNM dan semua perpustakaan di Malaysia dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Program ini merupakan langkah membentuk masyarakat ke arah minat membaca dan seterusnya membudayakan amalan membaca dalam kehidupan walaupun dalam tempoh yang singkat iaitu, 10 minit sahaja.

Antara objektif pelaksanaan program Jom Baca Bersama 10 minit adalah untuk menyemarakkan amalan membaca sebagai gaya hidup rakyat Malaysia, menggarap kolaborasi semua agensi dalam menyemai semangat cintakan ilmu dalam kalangan warga Malaysia menerusi program galakan membaca dan pemimpin menjadi ikon membaca kepada rakyat.

Dengan tema “Pembacaan Melestarikan Perpaduan” pada tahun ini, diharapkan amalan membaca yang diterapkan dapat memberikan pemahaman yang mendalam tentang sosiobudaya dan kepelbagaian latar masyarakat yang dapat mencerminkan penekanan ke arah pembentukan masyarakat bertamadun, mengurangkan prasangka dan memupuk persamaan. Pembacaan 10 minit sehari mampu membentuk jati diri yang unggul dan memperkasakan perpaduan.

PNM mengadakan program ini di SMK Putrajaya, Presint 9 (2) pada 23 April 2024 dan dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara Yang Berhormat Datuk Aaron Ago Dagang. Program ini diadakan secara serentak di seluruh negara bermula pukul 11.00 pagi hingga 11.10 pagi.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha mempromosikan budaya membaca yang dilaksanakan oleh PNM ini, marilah bersama-sama menyahut seruan dengan meluangkan 10 minit untuk membaca. Bahan bacaan juga boleh didapati secara dalam talian melalui www.u-pustaka.gov.my. Terdapat banyak bahan bacaan digital untuk dibaca secara percuma.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.