2 Mei 2024, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, penipuan cinta atau love scam merupakan antara kategori jenayah penipuan dalam talian yang kerap berlaku, sehingga mencatat kerugian sebanyak RM382.4 juta sejak Februari 2018.

Kajian pihaknya, kata Datuk Seri Ramli, mendapati bahawa dalam tempoh lima tahun, sebanyak 7,548 kes direkodkan dengan 82.8 peratus (6,254 kes) daripada mangsa adalah wanita.

“Baki 1,297 orang mangsa membabitkan lelaki. Mungkin lebih daripada itu, tetapi tidak dilaporkan dan ada juga yang melibatkan kerugian hingga RM12 juta,” tambah beliau.

Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menyampaikan ucapan.

Kes yang membabitkan jenayah penipuan cinta memang sangat serius sehingga mangsa ditipu dan mengalami kerugian besar dari segi wang ringgit.

Gejala ini telah mencetuskan idea pada syarikat produksi Dream Film Sdn. Bhd. untuk menghasilkan sebuah filem khusus mengenainya. Filem tersebut diberikan judul Oppa.

Pada 23 April lalu telah berlangsung majlis Tayangan Perdana Filem Oppa di GSC The Starling Mall, yang turut dihadiri oleh Captain Denil sebagai pengarah, Dato’ Dr. Danny Tan dan Dr. Aesos Lai selaku penerbit.

Menurut Denil atau nama sebenarnya, Denil Choon Lin Loong, beliau kadang-kadang hairan kerana ada dalam kalangan mangsa jenayah ini merupakan golongan terpelajar.

“Barangkali disebabkan oleh kurang kesedaran. Justeru, hal tersebut memberikan idea kepada saya untuk menghasilkan Oppa. Sekurang-kurangnya, saya masih boleh menyampaikan pesanan kepada masyarakat,” tambah Denil.

Judul Oppa, jelas beliau, dipilih bukan semata-mata kerana populariti artis K-Pop di negara ini, tetapi disebabkan kejadian individu menggunakan gambar artis kacak Korea untuk memperdayakan mangsa menerusi aplikasi janji temu di media sosial benar-benar berlaku.

Sebahagian daripada pelakon Oppa bersama-sama pengarah dan penerbit filem berkenaan, dan Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

“Jalan cerita yang dipaparkan adalah adaptasi kisah sebenar yang pernah berlaku, berdasarkan laporan kepada pihak polis,” ujarnya.

Selain Denil, Dr. Danny dan Dr. Aesos, turut hadir ialah pengurus projek, ACP Lai Lee Ching; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, ASP Rahmat Fitri Abdullah, selaku penasihat produksi/pelakon tambahan, dan Datuk Seri Ramli.

Yang turut hadir ialah pelakon utama, Jacqueline Goh Wan Yi sebagai Tien, dan Amanda Tan Pei Fern (Amanda, rakan baik Tien), serta Lavin Seow (Ibu Tien), Sri Ganesh Shanmuganathan (Ganesh), dan Peter Hugh Davis (Peter). Namun begitu, aktor Korea, Theo Jang sebagai Oppa tidak dapat hadir.

Bercerita lanjut mengenai pembikinan Oppa, Denil memberitahu, kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kira-kira 80 orang anggota polis PDRM sebagai pelakon tambahan, amat banyak membantu.

“ACP Lee Ching yang juga penolong ketua pengarah turut bertindak sebagai pengarah projek yang banyak membantu produksi dari segi penyelarasan jadual anggota polis, agar kerja-kerja penggambaran berjalan lancar,” tambah beliau.

Denil mengakui kesukaran mencari penaja dan pelabur untuk menerbitkan Oppa. Pada peringkat awal pembikinan, katanya, tidak banyak pihak yang berminat melabur kerana Oppa bukan filem komersial, tetapi lebih kepada memberikan kesedaran.

“Walau bagaimanapun, perkara tersebut langsung tidak melemahkan semangat saya dan tenaga produksi,” jelas beliau yang mengucapkan terima kasih dan lega kerana akhirnya banyak pihak yang sudi melabur.

Denil berharap Oppa dapat memberikan kesan baik kepada para penonton. Paling penting, tambahnya, mereka yang menonton Oppa akan menyedari kebahayaan jenayah penipuan cinta yang semakin kerap berlaku.

“Sekurang-kurangnya, cerita yang dipaparkan boleh menjadi pengajaran agar masyarakat tidak terperangkap dengan kes jenayah sebegini,” tambah beliau.

Jelas Denil, agar tidak berbentuk dokumentari, lakon layar Oppa diolah beberapa kali supaya menjadi filem yang menarik.

Menjawab soalan mengapa Oppa tidak terlalu menekankan siasasat pihak PDRM, ASP Rahmat menjelaskan bahawa filem ini sama sekali tidak akan, atau bertujuan mengajar para “penipu beroperasi dan maklumat mengenai gerakan pihaknya.

Cuma, diakui PDRM cuba menggunakan filem Oppa ini sebagai pendekatan baharu mengekang jenayah penipuan dalam talian yang semakin meningkat.

Oppa juga unik kerana menghimpunkan pelakon daripada pelbagai kaum dan menggunakan beberapa bahasa, iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina, India, Korea dan dialek.

Antara pelakon lain ialah Lee Zi Qi (Lee Qi), Sadiq M Jamil (Sadiq), Chen Kuoyang (Boss), Jack Wong Soon Kiat (Jack), Laviniya Naidu Surianarayanan (Cikgu Lavi), Maria Francisca Martinus (Cikgu Maria), Low Chia Sing (Encik Chow), Yee Lik Chin (Orange), Jack Ling Sing Kong (pengawal keselamatan sekolah), serta Supt. Mohd Faizal Zainal (diri sendiri), dan ASP Mohd Yusri Abdullah (diri sendiri). Ramli turut muncul dalam sebuah adegan.

Oppa yang berdurasi 90 minit dan menelan kos RM1 juta ini akan memulakan tayangan di 70 buah pawagam pada 9 Mei depan.

Sepatutnya Oppa menemui penonton pada Ogos atau September 2023, tetapi jadual tayangan di pawagam penuh kerana banyak filem menunggu untuk ditayangkan selepas pandemik COVID-19.

Filem yang menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang ini menjanjikan unsur kejutan, selain memberikan kesedaran kepada penonton mengenai sindiket penipuan cinta.

Filem ini turut memupuk lebih kesedaran supaya masyarakat tidak menjadi mangsa seterusnya, selain memaparkan operasi penahanan sebenar. Polis sentiasa bergelumang dengan risiko, malah sehingga menyebabkan kematian.

Pengarah filem Oppa, Captain Denil atau nama sebenarnya, Denil Choon Lin Loong.

Oppa membawa kisah seorang guru, Tien yang berkenalan dan jatuh cinta dengan seorang jejaka kacak dan model dari Korea Selatan yang dipanggil Oppa.

Pada suatu malam, Tien terdengar perbualan Oppa menerusi telefon dan dimaklumkan bahawa ibu kekasihnya itu sakit tenat, dan dia perlu pulang menziarahi ibunya dengan segera.

Tien memberikan Oppa sejumlah besar wang untuk memudahkan kekasihnya pulang menyelesaikan masalah. Oppa pula berjanji akan mengahwini Tien sebaik sahaja ibunya sembuh.

Walau bagaimanapun, Tien langsung tidak menerima sebarang perkhabaran daripada Oppa sehingga menimbulkan kerisauan dan tumpuan untuk mengajar hilang.

Pengawal keselamatan sekolah Tien terjumpa banyak poster di kawasan kaki lima sekolah memaparkan nama dan wajah guru tersebut yang mengatakan dirinya penipu besar dan enggan membayar hutang ah long. Jiwa Tien semakin tertekan apabila Oppa menghilangkan diri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.