27 April 2024, 14:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Seremban – “Pantun merupakan khazanah Melayu yang telah pun diiktiraf sebagai warisan kebudayaan tidak ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan kita seharusnya bertanggungjawab untuk memperkembang dan melestarikan pantun.”

Demikian penegasan yang dilontarkan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika merasmikan program Dialog Pantun anjuran Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP dengan kerjasama DBP Wilayah Tengah yang diadakan di Hotel Seri Malaysia Seremban, Negeri Sembilan, pagi tadi.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika berucap dan merasmikan program Dialog Pantun di Hotel Seri Malaysia Seremban, Negeri Sembilan.

“DBP memerlukan kerjasama daripada rakan sinergi yang strategik dalam usaha mengembangkan bahasa dan sastera kerana tanggungjawab itu bukanlah terletak pada DBP sahaja, malah menjadi tanggungjawab seluruh warganegara Malaysia,” kata beliau.

Dalam aspek pemerkasaan pantun, DBP sebagai urus setia dan pengurusnya, namun pihak yang menggerakkannya ialah rakan sinergi dalam kalangan peminat pantun, pencinta pantun, penulis, penyelidik dan badan korporat yang berkeupayaan dalam perkara ini.

Tambah beliau, pantun ialah satu daripada genre sastera yang paling anjal kerana sejak zaman dahulu hingga era digital pada masa ini, pantun masih dan tidak pernah berhenti digunakan dalam apa-apa cara sekalipun yang di dalamnya mengandungi pelbagai pengajaran untuk semua kepentingan seperti pendidikan, nasihat, hiburan ataupun gurauan.

Pantun dalam konteks yang sebenar merupakan kaedah dalam menyampaikan perasaan dan pemikiran dengan cara yang halus dan mesej yang disampaikan dapat diterima dengan baik.

Jelas beliau, program ini merupakan kesinambungan daripada usaha untuk memastikan pantun kekal lestari, fungsi pantun terus diperkembang dan pantun harus dipelbagaikan penggunaan dan penyampaiannya.

Pantun tetap berkembang walau di mana-mana atau dalam apa-apa jua situasi, jadi kita bertanggungjawab untuk meningkatkan fungsi pantun dan mempelbagaikan kaedah penyampaiannya agar menjadi satu bentuk yang digemari oleh masyarakat, terutamanya generasi muda.

Program Dialog Pantun bagi sesi pagi tadi telah menampilkan tiga orang ahli panel yang berpengalaman luas dalam dunia pantun, iaitu YBrs. Dr. Mohamad Shahidan, Encik Hairul Anuar Harun dan Encik Azree Mohd Ariffin, manakala Encik ‘Azimin Daud bertindak sebagai pemudah cara.

Dalam sesi perbincangan itu, YBrs. Dr. Mohamad Shahidan berkongsi maklumat tentang estetika dalam pantun, iaitu sesuatu yang berkaitan dengan keindahan.

YBrs. Dr. Mohamad Shahidan.

Dalam sastera, sama ada sastera Melayu klasik ataupun sastera Melayu moden, keindahan ialah aspek yang paling penting dan sesuatu karya sastera itu tidak bergunalah jika tiada keindahan di dalamnya.

Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan beberapa aspek yang perlu diketengahkan dalam pembinaan pantun termasuklah unsur bunyi, pemilihan kata, kiasan, hubungan antara pembayang dengan maksud, unsur perasaan, ungkapan yang luar biasa atau tidak masuk akal serta unsur yang mampu memberikan manfaat kepada orang lain.

Salah satu ukuran untuk melihat sesuatu pantun itu memiliki unsur estetika adalah apabila kita membaca pantun itu berulang kali sekalipun, kita tidak akan pernah berasa bosan.

Selanjutnya, Encik Hairul Anuar Harun yang berpengalaman selama 27 tahun dalam industri muzik sebagai penulis lirik lagu pula berpandangan bahawa kebanyakan pantun sesuai dan boleh disesuaikan dalam irama Melayu mengikut beberapa rentak sama ada yang berasal daripada Tanah Melayu atau campuran pengaruh dari luar seperti irama asli, inang, joget, masri, zapin, ghazal dan dondang sayang.

Encik Hairul Anuar Harun.

Pada awalnya, pantun ini lahir sebelum zaman kegemilangan Melaka dan diperturunkan secara lisan serta diperkembang melalui lagu.

Beliau menegaskan bahawa pantun hendaklah dicipta sendiri dan terbaharu, pemantun harus mengetahui akan hak cipta karya, menyelitkan peribahasa dan unsur puisi tradisional yang lain dalam pantun serta mengelakkan penggunaan kata moden bagi menghasilkan pantun yang berkualiti.

Sementara itu, sesi perkongsian dialog pantun tersebut dihangatkan lagi dengan penerangan yang jelas oleh Encik Azree Mohd Ariffin mengenai pantun yang diraikan di negara jiran, misalnya menerusi pertandingan Lomba Berbalas Pantun 2022 di Indonesia yang berbentuk video lakonan dan dendangan berunsurkan pantun yang dirakamkan dengan unsur budaya tempatan.

Encik Azree Mohd Ariffin.

Menurut beliau, pertandingan tersebut terbuka kepada dua kategori, iaitu Kategori Kerabat Badan Usaha Milik Negara dan Kategori Umum serta jumlah pemantun dalam satu pasukan terdiri daripada dua pasangan tidak termasuk penari, pemuzik dan sebagainya.

Di Malaysia, pantun diungkapkan oleh pemantun, namun dalam pertandingan ini, terutamanya dalam versi video digalakkan berbalas pantun menerusi nyanyian atau didendangkan.

Ujar beliau, dalam pertandingan tersebut, pemantun bukan sahaja perlu berpantun, malah memerlukan mereka menyanyi dan berlakon.

Pertandingan tersebut menonjolkan pantun sebagai unsur teras kebudayaan, selain meluaskan khalayak pantun kepada penggemar cabang seni lain dan boleh disertai oleh individu yang berminat dari seluruh pelosok dunia.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah DBP Wilayah Tengah, Puan Julia Alani Henry; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Md Yunus; Ketua Bahagian Penguatkuasaan DBP, Encik Rahimi Arifin; mantan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Dr. Mohd Hanafi Ibrahim, para pemakalah, penggiat seni dan tetamu undangan lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.