27 April 2024, 20:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Seremban – “Pertandingan pantun walaupun dikatakan bersifat konvensional, namun perlu diteruskan dalam memastikan kelestarian pantun selain mencari bakat dan pelapis baharu.”

Demikian penjelasan daripada Puan Musazliza Mustan Shir selaku salah seorang ahli panel dalam program Dialog Pantun yang diadakan di Hotel Seri Malaysia Seremban, Negeri Sembilan, hari ini dan disiarkan secara langsung menerusi media sosial DBP.

Puan Musazliza Mustan Shir.

Sebagai juri pertandingan pantun, pertama sekali beliau akan melihat syarat dan panduan yang diberikan oleh pihak penganjur kerana syarat bagi sesuatu pertandingan adalah berbeza antara satu sama lain.

“Kebanyakan peserta pertandingan pantun mempunyai masalah dalam membina pembayang kerana pembayang pantun adalah antara perkara yang paling penting dalam pembinaan sesuatu pantun, yakni pembayang tersebut mestilah logik, saling berkait dan menggunakan bahasa yang mudah tetapi indah,” kata beliau.

Sementara itu, Encik Mohd Norhafifi Zolkiaply pula berpandangan bahawa pelestarian pantun dalam masyarakat perlu lebih kreatif dengan menggunakan medium media sosial, terutamanya TikTok dalam usaha melahirkan lebih banyak peminat dan pemain pantun di negara ini.

Encik Mohd Norhafifi Zolkiaply.

Selaku seorang juri pertandingan juga, beliau melihat terdapat pasukan yang begitu teruja untuk memenangi pertandingan yang disertai, namun tidak memahami konsep dan struktur pantun serta ada juga peserta yang hanya tahu melafazkan pantun yang telah dihasilkan oleh orang lain tanpa mahir membina pantun.

Untuk membina pembayang pantun yang baik, seseorang itu perlu lebih berimaginasi dan melihat sekelilingnya, manakala dalam aspek persembahan pula, mereka perlu menggunakan suara yang berbeza mengikut jenis pantun dalam usaha menjiwai pantun tersebut.

Mengulas lanjut tentang pantun dalam drama pula, Encik Wan Afzam Wan Daud berkongsikan pengalamannya memilih untuk mengadaptasi pantun kepada drama disebabkan oleh faktor sesuatu pantun lebih divariasikan dan tidak bersifat statik.

Encik Wan Afzam Wan Daud.

Adaptasi tersebut sebenarnya berisiko kerana pantun mempunyai pengikutnya yang ekstrem selain pantun sebenarnya merupakan khazanah warisan negara yang begitu besar maknanya kepada masyarakat,” jelas beliau yang telah menghasilkan sebuah drama yang diadaptasi daripada pantun berjudul Pekan Kecil Kampung Terpencil.

Tidak mengapa jika menghasilkan pantun yang kurang berimpak tinggi, namun boleh diperindahkan lagi kerana pantun itu bersifat eksklusif yang tidak tertumpu kepada golongan tertentu sahaja.

Katanya, pihak Unit Drama TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sentiasa menyokong penerbit lain yang ingin mengangkat genre ini dalam drama yang ingin dihasilkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.