7 Mei 2024, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pameran Palet Budaya: Interaksi Seni dan Gastronomi yang berlangsung di Balai Seni Negara dilanjutkan hingga 31 Mei 2024 berikutan permintaan yang menggalakkan daripada pengunjung.

Balai Seni Negara berkata, menurut rekod bermula dari Disember 2023 hingga April 2024, pameran ini telah menerima 24,337 orang pengunjung.

Tambahnya, Palet Budaya: Interaksi Seni dan Gastronomi merupakan pameran koleksi seni negara yang menghimpunkan sebanyak 22 buah karya daripada pengkarya tempatan dan antarabangsa.

“Antaranya ialah Syahrulfikri Razin Salleh, Ham Rabeah Kamarun, Zainuddin Abidin Hazir, Harris Abadi, Muhammad Hawari Berahim, Ismail Hashim, Pangrok Sulap serta turut melibatkan pengkarya dari Filipina,” menurut Balai Seni Negara dalam satu kenyataan.

Antara karya yang ditampilkan dalam pameran Palet Budaya: Interaksi Seni dan Gastronomi.

Katanya, pameran ini bukan sekadar sebuah pameran lukisan, malah membolehkan peminat seni visual melihat refleksi sejarah dan identiti budaya melalui makanan.

Di samping itu, pameran ini juga menggabungkan karya-karya seni terpilih dengan konsep yang memaparkan perhubungan erat antara seni, budaya, sosial, tradisi, dengan ekonomi.

Menurut Balai Seni Negara lagi, pengunjung pameran ini turut dapat merenung kekayaan budaya yang tersembunyi dalam interaksi masyarakat melalui makanan.

“Pameran ini juga menggambarkan identiti, pemikiran serta pengalaman. Justeru itu, pameran ini merupakan tempat terbaik buat para pengunjung untuk mengenal budaya Malaysia melalui seni,” jelasnya.

Orang ramai dialu-alukan untuk melawat Pameran Palet Budaya: Interaksi Seni dan Gastronomi yang akan berakhir pada 31 Mei 2024 di Galeri 3A, Balai Seni Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.