Oleh Lutfi Zahid
16 Mei 2024, 19:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – YAB Dato’ Seri Amiruddin Shari, Menteri Besar Selangor, menyempurnakan perasmian pelancaran Hab Warisan Digital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Istana Puteri Bongsu, Taman Pantun, Bangi, hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Hab Warisan Digital UKM.

Projek Hab Warisan Digital UKM ini merupakan usaha Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) untuk menyemarakkan kembali kajian warisan budaya alam Melayu dengan memanfaatkan teknologi digital.

Projek ini juga bagi mempromosikan pemeliharaan dan pemahaman tentang warisan budaya Melayu, serta mengukuhkan komitmen Malaysia dalam melestarikan warisan Melayu untuk generasi masa depan.

Dalam ucapan perasmian, Dato’ Seri Amirudin menyatakan rasa berbesar hati atas kesediaan UKM menggalas tanggungjawab sebagai institusi yang mempelopori usaha membangunkan Hab Warisan bagi mendigitalkan budaya, khususnya di Selangor.

Dalam pada itu, UKM turut memeterai perjanjian perlesenan dengan Pusat Penyelidikan Selangor (SRI) bagi mempamerkan naskhah dan manuskrip berusia ratusan tahun dalam Festival Turath Islami Selangor yang bakal diadakan pada 26 Mei hingga 2 Jun ini.

Upacara menandatangani perjanjian perlesenan antara UKM dengan Pusat Penyelidikan Selangor (SRI).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemeteraian juga memberikan nilai tambah kepada pentadbiran memandangkan Kerajaan Negeri Selangor turut menjalankan projek penerbitan semula atau menterjemah karya agung.

“Kerjasama ini memberikan peluang kepada UKM menerusi pusat penyelidikan manuskrip Alam Melayu mempamerkan Projek Naratif Al-Wahyu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

“Bukan hanya kitab al-Quran tetapi hadis yang ada dalam jagaan UKM. Kerjasama juga bakal berpanjangan memandangkan kerajaan negeri turut mengumpulkan karya lama untuk diterbitkan semula atau diterjemahkan sebagai rujukan dan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Seri Amirudin berkata Festival Turath edisi kedua yang mengangkat karya ulama penting dunia Islam, Muhyiddin Abu Zakaria Yahya Sharaf al-Nawawi atau dikenali sebagai Imam Nawawi bakal melibatkan kerjasama beberapa pihak dan agensi kerajaan.

Antaranya agensi yang terlibat termasuklah Jabatan Agama Islam Selangor, Yayasan Dakwah Islamiah, Universiti Islam Selangor, Institut Kefahaman Islam Malaysia selain sektor media, Media Prima.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.