30 April 2024, 12:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Parit Jawa – Sebanyak 27 orang mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh, bersama-sama pensyarah subjek Usrah in Action, Dr. Nur Shuhadah Mohd telah mengadakan lawatan ke Parit Jawa, Muar, Johor selama dua hari satu malam, iaitu pada 25 April dan 26 April yang lalu.

Sesi temu bual bersama tok penghulu Parit Jawa.

Lawatan ini dijalankan di bawah projek “Kelestarian Budaya dan Warisan melalui Pembangunan Interpretasi Pelancongan”. Matlamat projek ini adalah untuk membantu masyarakat di Parit Jawa mendokumentasikan kawasan tarikan setempat serta menyebarkan maklumat budaya dan warisan untuk pengetahuan orang ramai.

Antara aktiviti yang dijalankan oleh mahasiswa bersama-sama tok penghulu, Encik. Mohd Afezan Yahya dan beberapa orang wakil kepimpinan Parit Jawa termasuklah lawatan ke Laman Bakau Parit Kassim, Bukit Mor, Bukit Perah dan lawatan ke kawasan-kawasan lain di sekitar Parit Jawa.

Lawatan ini juga bertujuan untuk melihat sendiri loaksi menarik bagi memudahkan proses pendokumentasian dan cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan. Bukan itu sahaja, pelajar juga berpeluang untuk menimba ilmu dalam pembuatan jus kedondong asam boi.

Perusahaan jus kedondong asam boi ini merupakan satu daripada produk kebanggaan Parit Jawa yang diketengahkan oleh Jabatan Pertanian Daerah Muar sebagai sumber pendapatan bagi penduduk setempat.

Mahasiswa menabung anak benih pokok bakau.

Dapatan kajian menerusi temu bual bersama tok penghulu, Encik Mohd Afezan Yahya, beliau menyatakan bahawa dalam bidang pelancongan, usaha yang dilakukan perlu berdasarkan kepada konteks yang lebih besar dengan mengambil kira bukan sahaja kawasan setempat tetapi juga kawasan berdekatan yang boleh menjadi tarikan kepada pelancong dengan menawarkan pengalaman pelancongan yang lengkap.

Ujar beliau, “Kita perlu ada sikap lihat ke kiri dan ke kanan serta ke atas dan ke bawah. Kalau kita menghadap ke laut, kanan kita ke arah bandar. Di sana, subjek gastronomi banyak. Kalau sebelah kiri kita pula ke arah Batu Pahat. Di sana pula banyak ekosistem seperti pantai, sawah, kolam air panas, dan IKS. Jadi, saya mengambil kira walaupun di luar kawasan Parit Jawa, tetapi kiri dan kanan saya boleh memberikan nilai tambah kepada pelancongan di sini.”

Tambah beliau, impiannya adalah untuk menjadikan Parit Jawa sebagai sebuah pusat transit dan tempat persinggahan kepada para pelancong. Oleh hal yang demikian, daripada hasil lawatan tersebut, projek ini akan memfokuskan potensi pelancongan beberapa buah tempat, iaitu Laman Bakau Parit Kassim, Bukit Perah dan Rumah Transit Komuniti Sejahtera Parit Jawa pada masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.