Oleh Zaidi Saad
24 April 2024, 15:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (PPMAM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan program Diskusi Manuskrip Melayu Siri 2/2024 – Politik Budaya Quran Jawa Era Kolonial Belanda pada 23 April 2024 yang disiarkan secara langsung melalui media sosial DBP.

Pembentang bagi program Diskusi Manuskrip Melayu DBP-ATMA Siri 2/2024 pada kali ini ialah Moch Ali, dari Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Airlangga, Indonesia. Program ini merupakan salah satu usaha untuk mencungkil ilmu-ilmu manuskrip Melayu daripada pelbagai perspektif serta memperkembangkan kajian manuskrip Melayu kepada semua lapisan masyarakat.

Moch Ali, dari Fakultas Ilmu Budaya, Universitas Airlangga, Indonesia.

Menurut Moch Ali, pada zaman kolonial, misionaris/pendakwah katolik Inggeris dan Belanda juga berperanan sebagai ahli filologi dengan menghasilkan karya antaranya ialah kitab bahasa daerah, gramatika bahasa daerah dan kamus bahasa daerah. Terdapat beberapa nama yang dinyatakan dalam pembentangan kajian ini seperti Dr. Mess, G. Gericke, T. Roorda dan Pieter Jansz.

Hillebrandus Cornelius Klinkert ialah penyusun kamus Nieuw Maleisch – Nederlandsch Woordenboek. Beliau merupakan satu-satunya penyusun kamus yang mendokumentasikan bahasa Melayu menggunakan tulisan jawi. Penyusunan kamus ini penting dalam aspek sumbangan kepada penterjemahan kitab dan bukti penggunaan aksara Arab-Melayu.

Istilah “Islam Jawa” yang diperkatakan ialah merujuk Islam sebagai agama dan Jawa sebagai budaya. Hal ini menjadi penanda identiti keislaman khas dalam konteks kepulauan Jawa. Para pengkaji Belanda yang berkarya di Nusantara telah menerbitkan buku-buku Islam berbahasa Jawa, termasuk terjemahan al-Quran berbahasa Jawa.

Diskusi Manuskrip Melayu Siri 2/2024 – Politik Budaya Quran Jawa Era Kolonial Belanda.

Seterusnya, Moch Ali menjelaskan bahawa pada zaman kolonial Belanda, para pengkaji Belanda menerbitkan al-Quran terjemahan bahasa Jawa tanpa disertai teks bahasa Arab. Karya berjudul Kitab Qur’an Tetedhakanipun ing Tembung Arab Kajawekaken telah diterbitkan di Batavia pada tahun 1858 Masihi. Kesimpulannya, penerbitan al-Quran pada era kolonial tidak menggunakan bahasa Arab dan hanya menggunakan terjemahan bahasa Jawa.

Diskusi Manuskrip Melayu Siri 2/2024 – Politik Budaya Quran Jawa Era Kolonial Belanda memaparkan beberapa perkara, antaranya ialah penerangan Nusantara – Asia Tenggara, pembahagian wilayah mengikut peta Asia Tenggara, kamus bahasa Melayu era kolonial, politik kebahasaan kolonial, Islam Jawa era kolonial, al-Quran kultural Jawa, penulisan Jawa (Carakan), al-Quran era kolonial Belanda serta penerbitan al-Quran lokal di Jawa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.