18 April 2024, 12:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah bakal menganjurkan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan pada 20 April 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Menurut KPN, Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 merupakan platform untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, berkumpul dengan semangat perpaduan dalam suasana harmoni.

“Perayaan Aidilfitri telah menjadi satu perayaan yang menyatukan hati dan merapatkan ikatan dalam kalangan masyarakat Malaysia,” jelas KPN dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Kenyataan tersebut turut menyatakan bahawa tradisi rumah terbuka merupakan wadah untuk masyarakat daripada pelbagai latar belakang budaya dan agama berkumpul untuk berkongsi kebahagiaan dan keceriaan, telah menjadi satu kebiasaan yang diwarisi dari generasi ke generasi.

Sementara itu, Menteri Perpaduan, YB Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan yang sama berkata, sambutan Aidilfitri yang bertemakan perpaduan melalui perayaan ini menonjolkan keindahan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Tambah beliau, sambutan ini wajar dijadikan sebagai alat penyatuan seluruh bangsa Malaysia serta sebagai teras perpaduan yang merupakan kunci utama kepada keharmonian rakyat dan negara.

“Perpaduan dan kepelbagaian kaum, budaya serta kepercayaan agama di Malaysia ialah aset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan oleh semua rakyat,” katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa majlis ini menandakan bermulanya Jelajah Kembara Perpaduan bersempena dengan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 yang akan disambut pada bulan Mei ini.

Pelbagai pengisian menarik turut dianjurkan bersempena dengan Jelajah Kembara Perpaduan @ Sambutan Aidilfitri MADANI ini seperti Pameran Rumah KAMI yang merangkumi 12 buah rumah etnik, pameran alat muzik, tarian dan permainan tradisional serta persembahan artis terkenal tanah air.

Majlis ini akan disempurnakan oleh Perdana Menteri,  YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor serta Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang.

Sehubungan itu, KPN dan Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan kehadiran semua rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat negeri Sabah ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan pada 20 April 2024 ini di SICC, Kota Kinabalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.