Oleh Lutfi Zahid
10 Mei 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Amalan menghiasi halaman rumah dengan menyalakan pelita menjadi adat dan tradisi masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman setiap kali menjelangnya bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Pelita dipasang di sekeliling rumah dan di sepanjang jalan di kampung untuk menerangi dan menceriakan suasana pada waktu malam bagi menyambut ketibaan bulan Syawal. Kepelbagaian jenis pelita, hiasan dan kreativiti menggunakan bahan-bahan terbuang tradisional dan moden menambahkan keceriaan suasana.

Poster Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021.

Atas dasar itu, kerajaan negeri Terengganu menganjurkan Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 bagi memeriahkan suasana perayaan Aidilfitri di negeri itu bermula 6 sehingga 11 Mei 2021. Walau bagaimanapun, pengunjung yang hadir untuk melihat kepelbagaian bentuk pelita di sini perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

Penganjuran program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 ini melibatkan lapan Pejabat Daerah di Terengganu dan dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu. Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program ini termasuklah Pertandingan kategori Foto Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 yang menawarkan hadiah berupa wang tunai terkumpul hampir RM1000.

Program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2021 yang diadakan di Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium Negeri Terengganu ini merupakan inisiatif pihak kerajaan negeri untuk menghidupkan kembali tradisi menyalakan dan memasang pelita pada bulan Ramadan dan Syawal, seperti zaman dahulu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.