23 Jun 2021, 11:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan program Bicara Cendekia yang telah diadakan pada 23 Jun 2021.  Tajuk siri syarahan pada kali ini ialah “Peranan Institusi Raja dalam Pengembangan Ilmu dan Pembinaan Tamadun Melayu”. Program tersebut diadakan secara atas talian di Facebook DBP.

Tujuan program tersebut diadakan adalah untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang Program tersebut menampilkan seorang ahli panel iaitu Profesor Emeritus Dato Dr. Asmah Haji Omar yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengelola DBP. Program itu disertai oleh ahli akademik dari dalam dan luar negara.

Pada peringkat pertama perbincangan, Profesor Emeritus Dato Dr. Asmah Haji Omar menerangkan tentang sejarah pengembangan bahasa Melayu khususnya di Nusantara. Beliau menyatakan bahawa istana memainkan peranan penting untuk mengembangkan bahasa Melayu melalui penulisan hikayat, syair, kitab agama dan lain-lain. Penulisan hikayat tersebut telah membina genre baharu dalam bahasa Melayu. Antara hikayat agung bahasa Melayu ialah Hikayat Merong Mahawangsa, Syair Sultan Maulana, Sulatus Salatin, Tuhfat al-Nafis, Gurindam Dua Belas, Bustan al-Katibin, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja Pasai dan lain-lain lagi.

Beliau juga menyatakan bahawa pemerintah Melayu dahulu aktif menjalankan aktiviti penulisan khususnya hikayat sejarah kerajaan dan kitab agama kerana bahasa merupakan identiti sesebuah bangsa. Jika sesebuah bangsa memartabatkan bahasa ibunda, maka bangsa itu akan menjadi maju dan mempunyai daya saing yang tinggi. Selain itu, bahasa juga merupakan wadah atau medium yang sangat penting bagi memastikan warisan kebudayaan sesebuah bangsa terus kekal. Hal ini demikian kerana kebudayaan warisan yang diperturunkan kepada generasi seterusnya dilakukan melalui medium lisan dan tulisan.

Ketika negara ini mahu mencapai kemerdekaan, Raja-raja Melayu telah menulis Wasiat Raja Melayu dan antara isi kandungan wasiat itu ialah menjaga dan memartabatkan bahasa Melayu di negara tercinta ini. Pengucapan raja Melayu seharusnya dicontohi oleh masyarakat kerana bahasa yang digunakan mencerminkan ketinggian budi masyarakat. Antara satu matlamat utama penubuhan DBP yang diilhamkan oleh Profesor Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz ialah beliau ingin mendidik  masyarakat menggunakan bahasa Melayu dengan tepat. Selain itu, beliau juga mahukan bahasa Melayu menjadi sebagai bahasa ilmu dan bahasa ekonomi yang mempunyai pengaruh besar di seantero dunia.

Program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat. Semoga program seperti ini dapat diteruskan oleh DBP untuk memberikan pendedahan dan ilmu kepada masyarakat.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi