19 Julai 2021, 08:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Produk animasi tempatan, Kring! berjaya menambat hati juri apabila memenangi Cartoon Kids Award 2021 sempena Festival Internazionale del Cinema d’ Animazione, del Fumetto e dei Games anjuran Cartoon Club. Penyampaian anugerah kepada para pemenang berlangsung pada 19 Julai 2021 di Teato degli Atti, Rimini, Itali. Majlis itu juga boleh ditonton melalui strim langsung di https://cartoonclub-channel.it/eventi-cartoonclub/.

Kring! merupakan sebuah animasi pendek, terbitan Brainy Bones Studios, sebuah syarikat yang menganggotai Malakat Eco Group. Pengarah Urusan Brainy Bones Studios, yang juga pengarah animasi Kring!, Hilmi Ismail menyatakan rasa syukur kerana sekali lagi Kring! dinobatkan sebagai pemenang anugerah peringkat antarabangsa. Sebelum ini, animasi Kring! diiktiraf dunia apabila berjaya meraih trofi Filem Animasi Terbaik dalam Festival Filem Antarabangsa Du Sur Les Handicap pada tahun 2020 di Lyon, Perancis. Pada tahun yang sama juga Kring! memenangi Anugerah Animasi Terbaik untuk Kanak-kanak di ReAnima Festivals, Norway. Anugerah lain yang tersenarai dalam rekod kejayaan Kring! ialah memenangi kategori animasi pendek menerusi Intellectual Property Creators Challenge (IPCC) pada tahun 2018, kategori Malaysia Next Generation menerusi Digicon6ASIA pada tahun 2019, selain terpilih sebagai “Official Selection” dalam 5th Animation Marathon pada tahun 2019, yang berlangsung di Athens, Greece. Cartoon Kids Award merupakan kejayaan keenam yang diraih oleh Kring! sejak animasi ini dipertontonkan kepada khalayaknya.

Animasi Kring! mengisahkan Cikgu Suraya, seorang guru sekolah rendah yang yang bersemangat membantu seorang pelajar bernama Mael bin Sulaiman yang mempunyai masalah disleksia. Disebabkan disleksia, Mael sukar memahami apa yang diajarkan oleh cikgu di kelas. Cikgu Suraya mencuba pelbagai cara untuk mengatasi masalah pembelajaran yang dihadapi oleh muridnya. Animasi Kring! yang berdurasi tujuh minit ini boleh ditonton dalam Youtube melalui pautan di sini. Rata-rata yang menonton Kring! mengakui animasi tanpa suara ini sangat menarik, dan kualitinya dikatakan setaraf animasi yang dihasilkan oleh syarikat animasi gergasi, Pixar Animation Studios.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!