30 Julai 2021, 10:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penyanyi dan pemain sape kelahiran Sarawak, Alena Murang mengharumkan nama negara apabila meraih dua anugerah berprestij dalam Anugerah Video Muzik Antarabangsa United Kingdom baru-baru ini. Dengan mempertaruhkan video muzik bertajuk “Warrior Spirit”, Alena dan pasukan produksi karya itu memenangi Anugerah Video Muzik Terbaik Asia dan Pasifik (Best Asia dan Pacific Music Video) dan Anugerah Penghargaan bagi Kategori Kostum Terbaik (Honourable Mention for Best Costume). Selain dua kejayaan itu, “Warrior Spirit” turut tercalon dalam separuh akhir untuk Anugerah Filem Terbaik yang bakal berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Video muzik “Warrior Spirit” yang menonjolkan alunan muzik sape kontemporari diarahkan oleh Sarah Lois Dorai, yang turut mendapat kerjasama daripada Kanid Studio dan Project Room. “Pencalonan dalam festival antarabangsa dan kejayaan yang diraihnya menunjukkan masyarakat dunia menunjukkan minat terhadap penceritaan yang disampaikan melalui video muzik itu. Kami berharap lebih banyak filem dan suara daripada komuniti peribumi dapat ditonjolkan di pentas global pada masa hadapan,” demikian kata Sarah selaku orang yang bertanggungjawab mengarahkan video tersebut.

Bagi Alena pula, “Warrior Spirit” menunjukkan kekuatan dalaman yang ada pada diri dan masyarakatnya yang berasal daripada darah pahlawan. Gadis kacukan Kelabit-Itali itu menggunakan muzik dan pembuatan filem sebagai platform untuk memberikan kesedaran mengenai warisan Borneo. “Moyang saya, Balang Nganud merupakan pahlawan yang disegani dan terkenal dengan gelaran harimau yang mengapungkan kepala musuh di sungai. Meskipun tidak lagi mengamalkan amalan tersebut, kami mewarisi semangat, kesungguhan dan kekuatan mereka untuk berjuang bersama-sama. Saya percaya rakyat Malaysia dan masyarakat di serata dunia juga boleh menerapkan semangat pahlawan itu dalam diri mereka,” katanya semasa ditanya tentang inspirasinya berkarya. Keseluruhan elemen dalam video, meliputi muzik, tarian dan kostum mengambil inspirasi daripada kepelbagaian budaya yang terdapat di Borneo, terutama di Sarawak.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah turut mengucapkan tahniah kepada Alena dan pengarah videonya, Sarah Lois Dorai atas kejayaan yang membanggakan rakyat Sarawak. “Alena dan sepupunya Sarah membuatkan kami bangga dengan meletakkan Sarawak, dan Malaysia, di pentas muzik antarabangsa, yang sangat kompetitif. Kejayaan mereka itu menunjukkan bahawa artis Sarawak mampu menggunakan muzik dan pembuatan filem kreatif untuk mempamerkan warisan Sarawak yang unik dan bernilai tinggi,” demikian kata  Datuk Abdul Karim setelah diberitahu kejayaan yang diraih oleh Alena. Video muzik “Warrior Spirit” dihasilkan dengan papan cerita yang menarik, sehingga berjaya menangkap imaginasi penonton mengenai betapa kayanya Sarawak dengan sejarah, budaya, seni dan tradisi.

Sebelum itu, video muzik yang menampilkan kebudayaan Sarawak itu telah menerima empat anugerah antarabangsa, iaitu Anugerah Khas Juri dalam Anugerah Filem Los Angeles, Video Muzik Terbaik dalam Anugerah Filem Antarabangsa Rome, Itali, Video Muzik Terbaik dalam Anugerah Filem Antarabangsa New York, dan Filem Etnografi Terbaik dalam Anugerah Filem Antarabangsa New York. Hingga kini, video muzik “Warrior Spirit” membanggakan negara dengan merangkul enam anugerah peringkat antarabangsa.

“Warrior Spirit” sebenarnya salah satu daripada sebahagian naskhah yang terkandung dalam album Alena Murang yang berjudul “Sky Songs”. Hingga kini, video muzik “Warrior Spirit” telah mendapat sejumlah 200 ribu tontonan sejak mula disiarkan di YouTube pada 27 Mei 2021. Video muzik berdurasi empat minit 21 saat itu boleh ditonton melalui pautan http://youtu.be/6qTxxtzlnSU.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!