31 Ogos 2021, 15:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia merupakan sebuah negara yang dikelilingi oleh kawasan lautan, iaitu meliputi hampir separuh daripada kawasan sempadannya. Keunikannya berbanding negara lain adalah dua wilayah utamanya iaitu Semenanjung Tanah Melayu Negeri Sarawak dan Sabah dipisahkan oleh sebuah lautan di tengah-tengahnya. Namun begitu, ramai yang tidak mengetahui bahawa lautan yang terletak antara Semenanjung Tanah Melayu dengan Sarawak dan Sabah sebenarnya mempunyai namanya yang tersendiri walaupun jarang digunakan pada hari ini, iaitu laut Melayu.

Berdasarkan kepada seorang sarjana Barat bernama Gerald Randall Tibbetts yang banyak mengkaji teks-teks lama berbahasa Arab, rujukan kepada laut Melayu ada tertulis di dalam sebuah kitab lama Arab bertajuk ‘Ajaib Al-Hind. Kitab berkenaan ditulis oleh seorang nakhoda berbangsa Parsi bernama Buzurg ibn Shahriyar dari Ramhormoz pada sekitar tahun 1000 masihi. Kitab berkenaan telah menghimpunkan pelbagai kisah keajaiban yang dipetik daripada para pelayar silam yang melibatkan pelbagai tempat seperti di Timur Tengah, tanah besar India dan China serta Nusantara.

Berdasarkan terjemahan kitab berkenaan ke dalam bahasa Melayu yang telah diusahakan oleh Arsyad Mokhtar, salah satu kisah yang terdapat di dalam kitab tersebut ialah “Kapal Dilanda Taufan dan Lelaki Yang Menjadi Hamba Tawanan Perempuan di Sebuah Pulau”. Kisah ini dinukilkan oleh seorang nakhoda bernama Abuz Zuhri Al-Barakhti dari negeri Siraf. Beliau menceritakan tentang sebuah kapal yang mengandungi pelbagai penumpang yang terdiri daripada pelbagai anutan agama dan tempat asal telah belayar ke laut Melayu. Sewaktu kapal tersebut menghampiri pinggir tanah besar China, angin kencang yang datang secara tiba-tiba menyebabkan kapal berkenaan tersesat ke titik bintang Suhail (Canopus). Setelah terkandas di lautan untuk tempoh seketika, anak-anak kapal berkenaan kemudiannya telah terdampar pula ke sebuah pulau yang kesemua penghuninya adalah terdiri daripada wanita. Penghuni pulau berkenaan kemudiannya telah menawan anak-anak kapal tersebut.

Nama laut Melayu juga ada tercatat lebih kurang 600 tahun kemudian, iaitu menerusi catatan seorang penulis berbangsa Portugis bernama Manuel Godinho de Erédia. Beliau telah mencatatkan nama laut Melayu di dalam Declaraçam de Malaca e da India Meridional com Cathay pada tahun 1613. Buku berkenaan mengandungi satu bab berkenaan dengan laut Malayo. Beliau mencatatkan bahawa laut Malaio terletak di antara tanah besar Ujontana (Hujung Tanah atau semenanjung Tanah Melayu) dengan Samatra (pulau Sumatera). Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa laut Melayu yang dieja sebagai Malayo dan Malaio oleh Manuel Godinho de Erédia di dalam buku berkenaan merujuk kepada kawasan selat Melaka pada hari ini.

Kewujudan nama laut Melayu pada era moden pula dapat dikesan menerusi nama laut Malayan. Nama laut Malayan telah tercatat di dalam buku bertajuk Tables of the Positions tulisan John Purdy dan The Oriental Navigator tulisan Jean-Baptiste-Nicolas-Denis d’ Après de Mannevillette dan John Purdy. Kedua-dua buku berkenaan telah diterbitkan pada tahun 1816. Berdasarkan buku tersebut, laut Malayan dinyatakan bermula dari garisan khatulistiwa hingga ke garis lintang 10 darjah utara termasuk juga teluk Siam. Manakala di bahagian atas laut Malayan pula adalah laut China yang bermula dari garisan 10 darjah utara hingga ke Taiwan atau Formosa.

Pada tahun 1821, seorang ahli hidrografi berbangsa British yang terkenal iaitu John William Norie telah menghasilkan peta bertajuk A New Chart of the China Sea, and East India Archipelago yang diterbitkan di London. Peta berkenaan memaparkan kawasan selatan China, Indo-China, Siam, Semenanjung Tanah Melayu serta pulau Sumatera, Jawa dan bahagian barat Borneo. Yang menariknya, di kawasan lautan yang terletak di antara Semenanjung Tanah Melayu dengan bahagian barat pulau Borneo, kawasan berkenaan telah ditandakan secara jelas dengan nama laut Malayan.

Manakala sebuah buku bertajuk ‘Compendium of Modern Geography’ yang diterbitkan pada tahun 1822 pula ada menyenaraikan senarai nama lautan dan teluk yang terdapat di benua Asia. Antara lautan yang dinyatakan terdapat di benua Asia termasuklah laut Malayan di samping lautan-lautan yang lain seperti laut Arab, laut China, lautan Hindi dan sebagainya.

Peta Ujontana (Semenanjung Tanah Melayu) dan Samatra (Pulau Sumatra) menurut catatan Manuel Godinho de Erédia.

Nama laut Malayan juga disebut dalam sebuah buku tulisan Samuel Augustus Mitchell bertajuk ‘An Accompaniment to Mitchell’s Map of the World’ yang diterbitkan pada tahun 1838. Buku berkenaan turut ada menyebut nama Malaysia. Nama Malaysia yang dicatatkan di dalam buku-buku lama pada kurun ke-19 bukanlah merujuk kepada negara Malaysia moden seperti yang wujud pada hari ini, tetapi sebenarnya merujuk kepada kawasan gugusan kepulauan di Asia tenggara. Pada bahagian di bawah bab Oceanica, buku berkenaan menyatakan bahawa wilayah Oceanica merangkumi tiga bahagian utama iaitu Malaysia, Australasia dan Polynesia. Malaysia, yang disebut juga sebagai Oceanica timur laut, meliputi banyak pulau dan menghampiri benua besar Asia. Pulau-pulau berkenaan termasuklah Sumatera, Jawa, Borneo, kepulauan Sunda, Sulawesi, Maluku dan kepulauan rempah serta Filipina di samping pulau-pulau kecil yang lain. Nama Malaysia dinyatakan berasal dari orang-orang Melayu yang merupakan bangsa utama dan dominan di rantau ini. Manakala Malaysia dibatasi oleh laut Malayan di bahagian utaranya.

Pemakaian nama laut Melayu pada awal kurun ke-20 pula telah memperlihatkan perbezaan apabila menjadi satu nama lautan umum yang meliputi kawasan perairan yang jauh lebih luas dan bukan lagi merujuk kepada lautan yang terletak di antara semenanjung Tanah Melayu dengan bahagian barat pulau Borneo semata-mata. Perkara ini boleh dirujuk di dalam buku The World Almanac and Book of Facts yang diterbitkan pada tahun 1963. Berdasarkan buku berkenaan, laut Melayu dinyatakan menganjur seluas 3 114 056 batu persegi meliputi perairan di antara lautan Pasifik selatan dan lautan Hindi, selatan tanah besar China dan disekitar kepulauan Indonesia. Laut Melayu dinyatakan terdiri daripada lautan berikut iaitu Sulu, Sulawesi, Maluku, Halmahera, Seram, Banda, Arafura, Timor, Flores, Bali, Jawa, Savu dan China selatan. Juga meliputi teluk berikut iaitu Thailand, Tomini, Boni, dan selat berikut iaitu Melaka, Singapura dan Makassar.

Namun begitu, mengapakah nama laut Melayu seolah-olah telah menghilang pada hari ini? Setakat ini, petunjuk yang dapat dijumpai adalah dalam buku Guinness Book of World Records bagi edisi tahun 1971. Buku rekod berkenaan menyatakan bahawa lautan terbesar adalah Laut China Selatan yang meliputi kawasan 1 148 500 batu persegi. Manakala Laut Malayan yang merangkumi kawasan perairan di antara lautan Hindi dan Pasifik Selatan, di selatan Tanah Besar China, meliputi 3 144 000 batu persegi, kini bukan lagi entiti yang diterima oleh International Hydrographic Bureau.

Berdasarkan kepada catatan rekod yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa kawasan perairan di antara Semenanjung Tanah Melayu dengan negeri Sarawak dan Sabah pernah dipanggil sebagai laut Melayu atau laut Malayan. Bahkan kewujudan nama berkenaan turut diketahui oleh sejarawan tempatan. Perkara ini dapat dirujuk menerusi penulisan artikel bertajuk Ancient History of Malay’ oleh seorang tokoh dari Johor, iaitu Mejar Dato’ Mohd Said Sulaiman yang tersiar pada tahun 1954. Dalam penulisannya, beliau menyatakan harapan agar Royal Geographical Society di London dapat mempertimbangkan kewajaran untuk menamakan semula kawasan lautan di antara Semenanjung Tanah Melayu dengan Borneo sebagai laut Malayan berbanding sebahagian daripada laut China memandangkan tiada kaitan dengan China yang terletak jauh ke utara.

Mengambil kira tuntutan dan kepentingan geopolitik pada hari ini, sudah tiba masanya negara kita memulakan usaha bagi menyuburkan dan melestarikan kembali penggunaan nama laut berkenaan. Sebagai permulaan, inisiatif dapat dilakukan menerusi penggunaan nama laut Melayu atau laut Malayan bagi kawasan yang termasuk di dalam Zon Maritim Malaysia iaitu meliputi kawasan perairan, pelantar benua serta Zon Ekonomi Eksklusif negara kita. Penggunaan nama laut Melayu atau laut Malayan terhadap lautan berkenaan tidak perlu dipolemikkan kerana istilah “Melayu” pada masa dahulu bukan semata-mata merujuk kepada etnik Melayu sahaja, tetapi skopnya adalah lebih luas iaitu merangkumi rumpun ras Melayu yang meliputi pelbagai kaum peribumi asal di Nusantara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.