Oleh Aweng Eh Rak
8 November 2023, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Taman Negeri Royal Belum ialah taman negeri yang dikelilingi oleh Tasik Temenggor dengan jumlah air sekitar 6,000 juta meter padu dengan luas kawasan permukaan air lebih kurang 152 km persegi. Taman Negeri Royal Belum merupakan taman pemuliharaan yang hanya mengehadkan beberapa aktiviti sahaja, iaitu penyelidikan, aktiviti pemuliharaan dan pelancongan alam semula jadi.

Taman Negeri Royal Belum telah wujud sejak lebih kurang 130 juta tahun, bahkan lebih tua daripada hutan Amazon di Brazil. Luas keseluruhan kawasan Taman Negeri Royal Belum adalah kira-kira 290,000 hektar termasuklah beberapa kawasan perkampungan orang asli.  Salah satu daripada perkampungan yang paling dekat dengan jeti ialah Kampung Klewang.  Perkampungan Klewang terletak di salah satu pulau di Taman Negeri Royal Belum dan dihuni oleh sekumpulan orang asli daripada suku Jahai yang dikatakan berasal daripada etnik Negrito.

Orang asli Jahai biasanya menjadikan bunga kantan sebagai lauk yang dimakan bersama nasi putih atau ubi kayu rebus.

Di pulau-pulau dalam Taman Negeri Royal Belum terdapat lebih daripada 1,600 orang asli daripada pelbagai suku dan orang asli Jahai merupakan suku yang paling ramai. Keluasan kawasan perkampungan Klewang adalah kira-kira 0.25 ekar (10,900 kaki persegi). Desa Klewang atau dikenali sebagai Kampung Klewang ialah kawasan perkampungan yang menempatkan 130 orang asli daripada 24 keluarga suku kaum Jahai.

Orang asli Jahai juga seperti orang asli yang lain, mereka hidup dengan alam. Mereka memperoleh hampir kesemua sumber keperluan hidup daripada alam semula jadi. Mereka memotong buluh dari hutan untuk dijadikan sebagai lantai dan dinding rumah. Mereka menggunakan daun palma sebagai atap. Mereka juga mencari hasil hutan seperti madu lebah, ulaman, sayuran serta akar kayu sebagai herba untuk kegunaan harian serta menjualnya kepada penduduk kampung berdekatan.

Orang asli Jahai menanam ubi kayu, ubi keledek dan sayur-sayuran tradisional lain sebagai sumber makanan.  Ulaman atau sayuran sama ada ditanam atau diperoleh terus daripada hutan, biasanya dikenali sebagai sayuran atau ulaman tradisional.  Di samping itu, mereka menangkap ikan di Tasik Temenggor sebagai sumber protein harian. Pendek kata, mereka memanfaatkan alam tanpa membahayakannya dan belajar hidup harmoni dengan hutan.

Sayur-sayuran atau ulaman tradisional merupakan sayur-sayuran yang tumbuh liar di dalam hutan atau di kawasan sekitar rumah yang boleh dijadikan sebagai makanan atau tanaman yang ditanam untuk tujuan lain tetapi pucuk dan bunganya dijadikan ulam ataupun sayuran. Contohnya ialah sayur-sayuran tradisional yang tumbuh liar seperti pucuk semambu (Azadirachta indica), pucuk bayam peraksi (Emilia sonchifolia), pucuk jenerih (Milletia atropurpurea), bunga kantan (Etlingera elatior), bayam pasir  (Amaranthus viridis), pucuk mengkudu (Morinda citrifolia) dan terung pipit (Solanum torvum).

Sementara itu, sayur-sayuran tradisional yang biasa ditanam pula adalah seperti ubi keledek (Ipomoea batatas), ubi kayu (Manihot esculenta), lengkuas besar (Alpinia galangal), temulawak (Curcuma xanthorrhiza), kunyit (Curcuma longa) dan lain-lain.

Penulis pernah menerbitkan laporan tentang kepelbagaian spesies tumbuhan yang banyak dimakan dalam amalan tradisional masyarakat Siam di Kelantan. Laporan tersebut merangkumi penemuan lebih daripada 45 spesies tanaman sama ada sebagai sayur tradisional atau sebagai tanaman herba untuk tujuan perubatan.

Beberapa spesies halia liar juga didapati dimakan oleh masyarakat Siam sebagai sayur tradisional dan juga sebagai produk herba. Pucuk gajus (Anacardium occidentale), pucuk beluntas (Pluchea indica), pucuk salam (Eugenia polyanthia) dan mata pelanduk (Ardisia crispa) adalah antara sayur-sayuran tradisional yang dikenalpasti sebagai spesies berpotensi untuk manfaat kesihatan. Sebahagian daripada sayur-sayuran tradisional terutamanya sayur-sayuran berdaun mengandungi kandungan mineral yang tinggi.

Penulis juga telah menerbitkan sebuah buku berjudul Orang Siam Kelantan: Makanan, Warisan dan Budaya. Pada bab 6 dalam buku tersebut menyenaraikan dan menerangkan faedah 50 spesies sayuran tradisional yang dijumpai dan dimakan oleh masyarakat Siam di Kelantan. Senarai tersebut dijadikan asas dalam mengenalpasti spesies sayur-sayuran tradisional yang terdapat di Kampung Klewang, Taman Negeri Royal Belum.

Pucuk jenerih hidup liar dan biasanya tidak dimakan oleh orang asli Jahai di Kampung Klewang, Taman Negeri Royal Belum.

Berdasarkan kajian sebelumnya dan bahan yang diterbitkan, sayuran tradisional mempunyai manfaat kesihatan yang besar, namun kadar penggunaan dalam kalangan penduduk tempatan termasuklah orang asli adalah masih rendah. Hal tersebut dikatakan demikian berdasarkan beberapa faktor, antaranya ialah ketersediaan atau senang atau susahnya untuk mendapatkan sayur-sayuran tradisional tersebut. Sayuran tradisional hanya boleh didapati di pasar tradisional di kawasan luar bandar kerana kebanyakannya berasal dari hutan dan oleh itu orang dari kawasan bandar mempunyai akses yang terhad kepada sayur-sayuran tradisional tersebut.

Faktor yang kedua adalah tahap kebersihan sayur-sayuran tradisional yang tidak terjamin kerana tumbuh liar di dalam hutan atau kawasan tanah yang baharu dibuka. Faktor yang lain adalah proses penyediaan termasuklah pembungkusan yang tidak dilakukan dengan betul dan hal ini menjadikan produk kurang menarik.

Walau bagaimanapun, makalah ini hanya memfokuskan kepada catatan sayur-sayuran tradisional yang dijumpai dan dimakan oleh orang asli suku Jahai di Kampung Klewang, Taman Negeri Royal Belum.  Tinjauan ini dilakukan pada 5 Mac 2020 yang meliputi kawasan seluas kira-kira 0.25 ekar (10,900 kaki persegi), yang memusatkan perhatian pada penempatan suku Jahai, Kampung Klewang, Royal Belum.

Tinjauan dilakukan melalui tiga kaedah, iaitu kaedah yang pertama dengan merekodkan penemuan dalam bentuk gambar. Kaedah kedua adalah dengan cara mengambil sampel tumbuh-tumbuhan yang ada di kawasan perkampungan orang asli Jahai, Kampung Klewang yang biasanya dimakan oleh masyarakat Melayu dan Siam di Kelantan seperti yang dinyatakan dalam buku yang diterbitkan oleh penulis.  Kaedah yang terakhir adalah mewawancara beberapa orang asli suku Jahai bagi mendapatkan maklumat berkaitan pemakanan sayur-sayuran tradisional yang mereka amalkan sejak turun-temurun.

Gambar foto yang diambil di kawasan kajian disimpan dalam bank gambar pangkalan data Fakulti Sains Bumi dan sampel tumbuhan hidup ditanam di Taman Agro, Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Jeli. Pengecaman sampel pula dilakukan dengan menggunakan kunci pengenalan morfologi bunga dan daun, membandingkan foto dalam buku serta mencari pangkalan data di Internet.

Tinjauan ini berjaya mengumpulkan tujuh spesies sayur-sayuran tradisional iaitu pucuk ubi keledek (Ipomoea batatas), pucuk ubi kayu (Manihot esculenta), pucuk jenerih (nama saintifik: Milletia atropurpurea), bunga kantan (nama saintifik: Etlingera elatior), bayam pasir (Amaranthus viridis), pucuk mengkudu (Morinda citrifolia) dan terung pipit (Solanum torvum). Hanya empat daripada tujuh jenis sayuran dan ulaman tradisional yang direkodkan dalam tinjauan kali ini ditanam oleh orang asli Jahai iaitu ubi keledek, ubi kayu, bunga kantan dan terung pipit manakala selebihnya tumbuh liar.

Berdasarkan temu ramah tidak berstruktur dengan beberapa orang responden daripada suku Jahai, didapati bahawa daripada tujuh sayuran dan ulaman tradisional yang dijumpai, mereka tidak memakan tiga spesies, iaitu bayam pasir, pucuk mengkudu dan pucuk jenerih dan ketiga-tiganya pada dasarnya tumbuh liar. Mereka tidak menganggap ketiga-tiga jenis tumbuhan liar ini sebagai ulaman atau sayuran tradisional sebagaimana masyarakat Melayu dan Siam Kelantan, malah mereka menganggap ketiga-tiganya sebagai rumpai yang mengganggu tanaman mereka.  Walaupun pada hakikatnya, beberapa sayur-sayuran tradisional yang mereka tanam sebenarnya tumbuh liar di dalam hutan sebelum mereka bawa dan tanam di kawasan rumah. Tumbuhan liar yang mereka tanam adalah seperti bunga kantan dan terung pipit yang kini mereka makan sebagai sayuran dan ulaman.

Pucuk mengkudu.

Sayuran tradisional yang paling digemari dalam kalangan suku Jahai ialah ubi kayu (M. esculenta) yang mereka gunakan ubinya sebagai makanan ruji dan pucuknya sebagai sayuran serta dimakan dengan nasi putih sebagai lauk. Hampir setiap rumah di Kampung Klewang ditanam ubi kayu sebagai sumber makanan utama. Sebaliknya, hanya dua rumah yang didapati menanam pokok kantan, lima buah rumah menanam ubi keledek dan hanya satu rumah yang menanam pokok terung pipit. Melalui temu bual, penduduk kampung menyatakan bahawa ubi keledek kadang-kadang digunakan sebagai pengganti ubi kayu sebagai hidangan utama. Sementara itu, terung pipit dan bunga kantan dijadikan lauk dan biasanya dimakan bersama nasi putih atau ubi kayu rebus.

Kesimpulannya, daripada tujuh sayuran tradisional yang dikumpulkan, empat ditanam iaitu ubi keledek, ubi kayu, kantan dan terung pipit manakala bayam pasir, mengkudu dan jenerih didapati tumbuh liar. Suku Jahai tidak memakan bayam pasir, pucuk mengkudu dan pucuk pucuk jenerih. Dengan kata lain, suku Jahai di Kampung Klewang, Royal Belum hanya memakan sayur-sayuran tradisional yang ditanam tetapi tidak memakan sayur-sayuran dan ulam-ulaman yang tumbuh liar.

Tinjauan ini hanya tertumpu di kampung orang asli Jahai yang meliputi kawasan seluas sekitar 0.25 ekar (10,900 kaki persegi), oleh itu data mungkin tidak mencukupi untuk menyimpulkan jumlah spesies sayuran tradisional yang dimakan oleh orang asli Jahai pada umumnya.

Oleh itu, lebih banyak kajian perlu dilakukan di kawasan ini atau di kawasan penempatan suku Jahai yang lain untuk mengemas kini dan merekodkan jenis sayur-sayuran tradisional yang dimakan dan tidak dimakan oleh mereka secara lebih tepat serta untuk mendokumentasikan pengetahuan tradisional mengenai ulaman dan sayuran tradisional tersebut.

Penulis merupakan Profesor di Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.