Oleh Jamil Hashim
23 Oktober 2023, 11:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Belanjawan 2024 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat pada 13 Oktober 2023 yang lalu.

Belanjawan tahunan yang membentangkan sejumlah peruntukan kewangan memang penting untuk mentadbir urus dan melaksanakan segala aktiviti yang dirancang demi faedah rakyat dan negara.  Selain itu, turut diunjurkan ialah aspek perolehan hasil kerajaan dan pendapatan kepada negara yang turut menjadi sebahagian sumber bagi melaksanakan belanjawan berkenaan.

Perancangan belanjawan bukan sekadar menyediakan peruntukan untuk tujuan pengurusan dan pembangunan negara tetapi turut melibatkan perubahan kepada sesetengah dasar yang sedia ada untuk menambah baik kecekapan serta memantapkan urusan pentadbiran negara.   Perubahan, pembaharuan dan pengubahsuaian ini dilakukan sebagai proses penambahbaikan bagi memantapkan dasar sedia ada yang bermatlamat memberikan faedah yang maksimum kepada rakyat dan negara.

Berdasarkan kepada jumlah peruntukan sebanyak RM393.8 bilion yang melibatkan RM303.8 bilion untuk belanja mengurus dan RM90 bilion untuk belanja pembangunan, belanjawan kali ini dilihat melibatkan peruntukan terbesar dengan beberapa pendekatan untuk melaksanakannya.

Masyrakat umum menyifatkan Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 13 Oktober 2023 yang lalu sebagai menyeluruh, banyak yang positif dan inklusif dengan penekanan yang bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Berteraskan tema “Ekonomi Madani Memperkasa Rakyat”, belanjawan tersebut bersifat prorakyat yang membela nasib dan mensejahterakan rakyat dengan berusaha menangani kenaikan kos sara hidup melalui pelbagai suntikan dana,  peruntukan bantuan dan pemberian subsidi bersasar hanya kepada rakyat yang berhak.   Tumpuan utamanya ialah untuk merombak struktur ekonomi dan mengangkat darjat hidup rakyat.

Pakar ekonomi dan ahli akademik menyifatkan pembentangan Belanjawan 2024 yang dibuat secara teliti dan berhemah itu menampakkan kesungguhan kerajaan untuk mencari keseimbangan dalam mengukuhkan kestabilan fiskal, mempromosi pertumbuhan ekonomi dan reformasi kawal selia bagi mewujudkan ruang lingkup kewangan yang lestari. Belanjawan Madani kedua ini juga jelas menyatakan tekad dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan untuk mengangkat darjat harakat ekonomi negara dan rakyat.

Walaupun perhatian masyarakat umum kepada hal yang berkaitan hasil dan faedah yang bakal mereka peroleh daripada belanjawan sama ada secara terus atau tidak langsung,  pada masa yang sama kelompok tertentu turut berminat melihat kepada bidang yang melibatkan mereka secara khusus.

Satu daripadanya ialah aspek seni dan budaya serta industri kreatif yang turut disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2024.  Bidang seni, budaya dan industri kreatif pada masa ini diberikan penekanan atas keupayaannya menyumbang kepada pendapatan negara.  Suntikan ini memang dilihat cukup bermakna kepada para penggiat yang terlibat dalam industri ini yang merancang dan menggerakkannya secara bersepadu dengan mengambil kira nilai-nilai seni dan budaya tempatan serta penggunaan teknologi untuk menghasilkan produk berkualiti bagi memenuhi pasaran.

Hal ini termasuk pendekatan menggalakkan bakat kreatif tempatan menghasilkan lebih banyak karya seni. Dalam hal ini, kerajaan menyediakan RM160 juta ringgit bagi melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat penggiat seni. Daripada jumlah itu, RM60 juta diperuntukkan khusus sebagai dana kandungan digital bagi mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan; RM90 juta ringgit di bawah Inisiatif Filem Malaysia (FIMI) bagi menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa dan RM10 juta disediakan untuk Skim Dana Padanan MyCreative bagi menyokong karyawan seni menghasilkan projek kreatif.

Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA), yang terdiri daripada gabungan tujuh persatuan seni utama industri perfileman tempatan, turut melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan dalam memperkasakan pembangunan ekonomi industri perfileman negara seiring dengan kemajuan ekonomi.

Presiden GAFEMA, Pansha menyifatkan peruntukan RM90 juta di bawah insentif FIMI itu sebagai sesuatu yang dinanti-nantikan oleh penggiat industri filem kerana akan berupaya menggalakkan penghasilan filem tempatan bertaraf antarabangsa.

Dalam reaksinya melalui Facebook,  Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim menyifatkan peruntukan Belanjawan 2024 untuk industri kreatif sebagai pragmatik dan berpandangan jauh, khususnya untuk memperkasakan industri dengan menggalakkan pelaburan sektor swasta.  Katanya, pemotongan duti hiburan bagi artis antarabangsa dan pelupusan duti hiburan bagi persembahan artis tempatan juga akan menggalakkan lebih banyak konsert diadakan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.

Bukan sahaja untuk memperbanyakkan keluaran filem tempatan, tetapi peruntukan yang lain juga dengan jelas menampakkan keupayaannya mengembangkan bidang seni, budaya dan warisan.  Antaranya peruntukan RM50 juta yang akan diagihkan kepada agensi yang berpotensi mengetengahkan karya seni budaya, persembahan teater dan seni.  Baki RM10 juta lagi diberikan kepada kerajaan negeri untuk menyemarakkan aktiviti seni dan budaya tempatan.

Peruntukan RM50 juta juga diberikan kepada agensi yang terlibat bagi memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera kebangsaan.   Ini bertujuan membantu pihak berkenaan mengetengahkan karya seni dan sastera negara, menggiatkan persembahan teater serta memupuk minat membaca karya agung dalam kalangan belia.

Datuk Seri Anwar sendiri juga menerima hakikat yang bidang sastera bukan sahaja dapat menghidupkan imaginasi pembaca dan semangat patriotik agar cinta kepada negara tetapi sekali gus dapat mendidik inspirasi moral dan nilai-nilai murni dalam jiwa bangsa.  Sememangnya pun, sastera memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia.

Dalam reaksinya,  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyifatkan perhatian dan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan itu mengaspirasikan anjakan usaha memperluaskan kandungan kreatif tempatan ke peringkat serantau dan antarabangsa.  DBP melihat usaha pihaknya sejak sekian lama telah berjaya melahirkan dan mengembangkan ramai bakat penulis tempatan dengan sebilangannya mencapai tahap yang tersohor. Begitu juga pengiktirafan karya dan karyawan yang sering diadakan menjadi indikator penting dalam menyemarakkan kegiatan sastera kebangsaan.

Para penggiat dan pencinta seni pula turut menyambut baik cadangan kerajaan menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu. Ini termasuklah pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan dan pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan lain termasuk tayangan filem. Pada masa yang sama, kerajaan pusat turut menyeru kerajaan negeri supaya dapat mempertimbangkan pengurangan duti hiburan atas keupayaannya menyokong perkembangan bakat kreatif tempatan, di samping mampu merancakkan aktiviti pelancongan.

Sebagai sokongan kepada usaha setiap pihak termasuk individu yang terus kreatif berkarya terutama dalam aspek seni dan budaya, kerajaan juga mengumumkan untuk mewujudkan kembali Anugerah Seni Negara setiap tahun sebagai pengiktirafan dan penghargaan tertinggi negara kepada tokoh dan penggiat seni, budaya dan warisan.

Anugerah itu yang diperkenalkan pada 1993 merupakan anugerah tertinggi negara kepada bidang seni.  Antara tokoh dan karyawan seni yang pernah menerima anugerah itu termasuklah penggiat seni lakon dan perfileman, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin pada tahun 2009,  penggiat seni muzik, Tan Sri Ahmad Nawab pada tahun 2006, penggiat seni teater, Allahyarham Dato’ Syed Alwi Syed Hassan pada tahun 2002, penggiat seni tampak, Allahyarham Dato’ Syed Ahmad Jamal pada tahun 1995 .

Beberapa orang pemimpin dan penggiat seni termasuk Persatuan Seniman dan para karyawan secara individu mengalu-alukan pengumuman tersebut sebagai bukti kerajaan terus menghargai sumbangan seniman dan karyawan seni kepada negara.   Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi menyifatkan pengumuman untuk diadakan kembali Anugerah Seni Negara sebagai sesuatu yang ditunggu-tunggu.  Beliau berpendapat bahawa Belanjawan 2024 dapat memperkasakan industri seni kreatif supaya setanding dengan kerja seni dari luar negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.