Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangApabila sesebuah masyarakat atau negara menghadapi krisis politik, maka pelbagai aliran fahaman akan muncul untuk memulihkan keadaan yang kucar-kacir itu. Begitulah keadaannya di China kira-kira 2500 tahun yang lalu.
Menjelang Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh (770 – 476 SM) serta Zaman Negara-negara Berperang (476 – 221 SM), pucuk pimpinan politik di China berpecah belah, maka kuasa maharaja dan pembesar di negara China banyak mengalami kemerosotan. Pada masa itu, pihak pemerintah tidak menunjukkan pemerintahan yang berwibawa. Rakyat jelata pula tidak lagi percaya dan mematuhi pemerintahan maharaja.
Pada zaman itu, golongan yang diperintah merasakan itulah masa keemasan untuk menonjolkan bakat masing-masing. Golongan itu bukan sahaja mengemukakan idea berkesan untuk mentadbir negara, malah cuba menumpaskan tradisi pengajaran dan pembelajaran yang dimonopoli oleh pihak berkuasa. Sebagai misalnya, seorang ahli falsafah China yang terkenal, Konfusius (Kong Zi), mempelopori sebuah sekolah swasta dan menawarkan pengajaran yang saksama kepada semua orang, terutama kanak-kanak dan belia yang berminat untuk belajar. Semenjak itu, pembelajaran akademik menjadi semakin popular dan giat dalam kalangan masyarakat China. Para cendekiawan lain turut mengikut jejak Konfusius dengan membuka sekolah swasta masing-masing.
Pemerintah setiap negara pada zaman itu berlumba-lumba mengerahkan orang yang terpelajar sebagai pegawai kerajaan. Usaha pembaharuan politik juga dilakukan untuk memartabatkan kedudukan pemerintah masing-masing. Berikutan amalan itu, banyak cendekiawan dan pengatur strategi muncul dalam arena politik China. Pelbagai aliran fahaman dirintis oleh zhuzibaijia, iaitu pelopor falsafah. Zhuzibaijia bersaing untuk diterima pakai oleh pihak pemerintah yang berlainan.
Zhuzibaijia membentuk gagasan pemikiran falsafah China purba yang sangat penting. Pelbagai aliran pemikiran yang mewakili berbagai-bagai fahaman dan ahli pemikir telah muncul di China antara 475 SM hingga 221 SM. Pengasas aliran pemikiran itu dinamakan secara kolektif sebagai zhuzi, manakala aliran fahaman mereka dikenali sebagai baijia.
Sesungguhnya, terdapat 12 aliran pemikiran utama yang banyak mempengaruhi hala tuju politik dan pemikiran orang umum pada zaman itu. Walau bagaimanapun, saya hanya memberikan penjelasan ringkas tentang lima ajaran yang utama, iaitu rujia, daojia, fajia, mojia dan bingjia.
Rujia (Konfusianisme) dipelopori oleh Konfusius (Kong Zi) dan disambung oleh pengikut-pengikutnya. Rujia menekankan etika kasih sayang (ren), keadilan (yi), kesopanan (li), kebijaksanaan (zhi) dan amanah (xin) sebagai prinsip asas moral manusia. Konfusius percaya sekiranya semua orang berpegang teguh kepada lima prinsip moral itu, maka dunia menjadi aman dan sejahtera.
Konfusius menganjurkan setiap pemerintah perlu bersikap mulia dan jujur, dan menjadi contoh teladan kepada rakyat jelata di bawah pemerintahannya. Beliau juga menegaskan pembentukan keluarga yang harmoni amat penting untuk mencapai kestabilan masyarakat. Begitu juga beliau menitikberatkan kepentingan pendidikan untuk memupuk sebuah masyarakat yang aman dan maju.
Daojia berdasarkan doktrin Laozi dan Zhuangzi. Daojia atau Taoisme menganjurkan agar manusia menjalani kehidupan yang sederhana dan jujur, bertindak bersesuaian dengan alam semula jadi dan keadaan hidup seseorang. Daojia mencadangkan agar manusia tidak mementingkan kekuasaan, status dan kekayaan agar persengketaan antara manusia dapat dihindarkan.
Fajia diasaskan oleh Han Fei Zi. Fajia menganjurkan pemerintahan mengikut perundangan. Aliran fajia percaya rakyat jelata hanya berkelakuan baik jika wujudnya undang-undang dan hukuman yang ketat.
Mojia dikemukakan oleh Mo Zi. Mojia mengesyorkan idea berkasih sayang untuk semua orang, tidak berhasad dengki dan sentiasa berjimat cermat. Sebaliknya, mojia menentang sebarang bentuk peperangan dan keborosan atau pembaziran.
Bingjia disarankan oleh Sun Zi. Bingjia meninjau seni ketenteraan dan teknik peperangan. Prinsip ini menekankan kemenangan melalui penggunaan kebijaksanaan dan taktik perang. Bagi Sun Zi, kejayaan berperang yang paling cemerlang dapat dicapai tanpa melibatkan sebarang pengorbanan nyawa dan penggunaan senjata.
Zhuzibaijia menggambarkan kepelbagaian pemikiran telah wujud sejak 2500 tahun dahulu di China yang berpecah kepada beberapa buah negara yang besar dan kecil. Secara umum, masyarakat China digalakkan bebas berfikir dan buah fikiran yang berbeza-beza dapat bergabung demi kesejahteraan bersama.
Sesungguhnya, sebaran ajaran zhuzibaijia telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada masyarakat Cina sejak ribuan tahun dahulu dalam banyak aspek termasuklah pembentukan etika, sistem pemerintahan, cara berfikir, warisan budaya dan sebagainya.
Rujia mementingkan kasih sayang, moral dan kesopanan. Rujia juga menganjurkan agar manusia memperadabkan peribadi, mengharmonikan keluarga, mentadbir negara dan seterusnya mengamankan dunia. Fahaman ini mendominasi pemikiran individu, keluarga dan masyarakat Cina di seluruh dunia. Konfusianisme mencadangkan semua orang harus sentiasa berbakti demi kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat.
Dari segi politik, konsep sistem perundangan dan hukuman berat anjuran fajia telah banyak mempengaruhi pembentukan sistem undang-undang dan cara pemerintahan politik di negara China pada masa dahulu hingga sekarang.
Zhuzibaijia memberikan tumpuan terhadap setiap permasalahan kehidupan, akhlak, politik dan masyarakat dengan teliti. Mereka menaakul secara logik dan berfikir secara dialektik dalam pembinaan teori. Ketelitian zhuzibaijia banyak menyumbang ke arah pembentukan budaya pemikiran falsafah orang Cina.
Memahami zhuzibaijia secara umum sememangnya mempunyai banyak kebaikan. Melalui zhuzibaijia, bangsa-bangsa lain dapat memahami asal-usul dan nilai budaya China dan masyarakatnya. Seterusnya, mereka dapat memahami cara berfikir dan corak tingkah laku orang Cina. Hal ini amat bermanfaat bagi mereka yang ingin menjalankan perniagaan dengan para peniaga China ataupun mengadakan hubungan diplomatik dengan negara China.
Sebagai kesimpulannya, memahami cara atau budaya berfikir kaum Cina dapat melancarkan komunikasi dengan mereka dan meningkatkan persefahaman antara kaum di negara kita.