Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSejarah lorong seni bermula pada awal abad ke-20, ketika pelukis mula menggunakan ruang awam sebagai kanvas untuk berkarya. Pada akhir 60-an, grafiti yang mewarnai lorong seni, muncul kali pertama di kota Philadelphia dan New York, Amerika Syarikat. Grafiti merupakan cara untuk golongan muda mengekspresikan diri dengan meninggalkan tanda mereka di bandar.
Pelukis grafiti mula membentuk kumpulan, atau “kru” pada tahun 1970-an dengan mencipta gaya yang tersendiri. Penggunaan cat sembur memberikan kebebasan untuk mereka menghasilkan karya yang lebih besar dan kompleks. Lorong seni kemudiannya menjadi fenomena global pada tahun 1980-an. Pengkarya dan aktivis ketika itu menjadikan lorong seni sebagai tempat untuk menyampaikan mesej politik dan sosial serta menentang dunia seni tradisional.
Golongan aktivis di Buenos Aires, Argentina telah menggunakan lorong seni untuk menentang pemerintahan tentera dan berkongsi kisah sejarah mereka ketika kerajaan cuba menghapuskannya. Dengan seni yang luar biasa, kota tersebut telah berubah daripada sebelumnya yang merupakan tanah lapuk kawasan bandar.
Lorong seni di Tembok Berlin, Jerman pula berubah daripada keadaan yang pada mulanya merupakan simbolik kepada pembahagian fizikal telah menjadi galeri seni yang meraikan kebebasan dan perpaduan. Lebih daripada 100 pelukis dari seluruh dunia telah mencipta mural di Tembok Berlin, dan pengunjung datang ke sana setiap hari untuk melihat karya tersebut. Karya di Tembok Berlin mengingatkan penduduk Berlin kepada sejarah mereka dan keupayaan mereka untuk bertahan.
Baru-baru ini, penulis berpeluang mengembara ke sepuluh daerah di negeri Johor bersempena dengan pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkuat kuasa pada 31 Januari 2024. Penulis menelusuri daerah Tangkak hinggalah ke daerah Mersing. Menariknya, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan lorong seni di setiap pusat bandar bagi menghidupkan laluan sunyi dan terbiar terutamanya lorong-lorong di belakang bangunan kedai. Daripada sepuluh daerah tersebut, penulis sangat tertarik dengan lorong seni yang terdapat di bandar Muar yang lebih dikenali sebagai Bandar Maharani.
Muar telah diisytiharkan sebagai Bandar Diraja oleh DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar pada tahun 2012. Laluan Budaya Muar atau Muar Culture Walk menampilkan lebih daripada 32 lukisan yang menggambarkan pelbagai budaya, fakta, sejarah, dan bangunan warisan yang terdapat di Bandar Maharani. Bandar Muar juga merupakan bandar pertama di negara ini yang mempunyai jumlah lukisan mural yang paling banyak.
Selain itu, Majlis Perbandaran Muar muncul sebagai pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia yang memaparkan lukisan dinding menggunakan teknologi realiti terimbuh dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records pada tahun 2019. Teknologi kod QR juga terdapat pada sesetengah mural bagi membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat lanjut tentang mural tersebut.
Majlis Perbandaran Muar telah melaksanakan inisiatif mengubah lorong belakang di daerah ini menjadi tempat baharu yang menarik untuk kunjungan para pelancong. Berikutan usaha ini, pihak berkuasa tempatan tersebut telah memenangi Anugerah Platinum dalam My Place Awards 2019 oleh Malaysian Institute of Planners. Banyak identiti Muar diserlahkan di sepanjang laluan tersebut termasuklah tarian zapin dan ghazal yang dikatakan berasal dari Muar, serta makanan tempatan seperti mi bandung dan sate yang dinikmati ketika sarapan.
Penulis kemudian mengunjungi lorong seni Batu Pahat. Di sini, mural-mural yang ada kebanyakannya menggambarkan makanan dan buah-buahan yang sinonim dengan status Batu Pahat sebagai syurga makanan. Bandar ini terkenal dengan nasi beriyani, asam pedas dan mi racun. Di sebalik bangunan bersejarah di sekitar bandar ini, terdapat mural hiasan yang indah.
Pelbagai lukisan dengan kombinasi warna yang menarik memberikan kejutan kepada pengunjung yang mungkin tidak menyangka terdapatnya mural yang sangat cantik di sebalik bangunan usang. Usaha Majlis Perbandaran Batu Pahat ini membuahkan hasil apabila dianugerahkan pingat perak dalam MIP Planning Excellence Awards 2022 untuk pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan warisan Jalan Ibrahim, Batu Pahat.
Setelah puas menimba ilmu sejarah di beberapa buah muzium di Kota Tinggi, penulis meluangkan masa mengelilingi bandarnya. Lorong seni di bandar ini merupakan lorong seni pertama yang diwujudkan di Johor. Lokasi menarik di daerah Kota Tinggi seperti Air Terjun Kota Tinggi dan Gunung Panti dipaparkan menerusi mural yang indah termasuklah mural tokoh yang berasal dari Kota Tinggi seperti Sasterawan Negara, Dato’ Usman Awang dan Dr. Nur Amalina Che Bakri.
Pontian turut mempunyai laluan mural yang menarik. Lukisan-lukisan yang dipaparkan mengilustrasikan keunikan daerah Pontian yang terkenal dengan nanas, Tanjung Piai dan Pulau Kukup.
Penulis juga berkesempatan untuk mengambil gambar seni jalan di Laman Samudera, bandar Mersing. Terdapat banyak karya di lorong tersebut seperti hidupan laut dan pemandangan pantai yang sememangnya sinonim dengan daerah Mersing.
Pengaruh komuniti Cina dapat dilihat dengan jelas di Kulai dengan kewujudan lorong seni di Kelapa Sawit. Pekan Kelapa Sawit terletak di laluan Jalan Kulai – Air Hitam. Komuniti utamanya, iaitu orang Hakka menetap di sini sekitar tahun 1950-an, apabila kerajaan kolonial British memindahkan puluhan ribu masayarakat Cina ke bandar-bandar baharu. Banyak generasi yang lebih tua terus mengekalkan adat resam mereka dan berkomunikasi menggunakan dialek Hakka.
Lorong seni di sini sangat sesuai untuk dikunjungi oleh mereka yang berkeluarga dengan membawa kanak-kanak. Hal ini dikata demikian kerana terdapat pelbagai lukisan watak animasi hasil sentuhan tangan penduduk tempatan seperti Pokemon, watak buku cerita Cina, We Bare Bears, dan lain-lain. Setiap dua tahun, seni mural dan karya seni tersebut akan diperbaharui atau ditambah supaya pengunjung disajikan dengan idea baharu yang inovatif.
Penulis merakamkan sekalung tahniah kepada pihak berkuasa tempatan di negeri Johor yang mewujudkan lorong seni ini. Setiap daerah mewujudkan mural bagi mengilustrasikan keunikan budaya dan identiti. Lorong seni yang diwujudkan menjadi simbolik kepelbagaian budaya di Johor sekali gus berperanan besar dalam mempromosikan warisan budaya dan identiti tempatan. Lorong seni ini juga mencerminkan kebanggaan penduduk tempatan terhadap warisan budaya mereka.
Lorong seni dapat menghidupkan lorong-lorong terbiar dan menjadikannya sebagai tarikan pelancong. Lorong seni membolehkan pengunjung menjelajahi kawasan yang sebelum ini mungkin diabaikan atau terbiar dengan mewujudkan suasana yang kreatif dan berwarna-warni. Dengan menelusuri lorong-lorong ini, pelancong merasai pengalaman yang unik sambil menikmati seni dan budaya tempatan yang ditunjukkan.
Pengunjung pastinya akan tertarik akan keunikan dan keceriaan mural yang terdapat di lorong seni. Pengalaman tersebut menambahkan watak, keseronokan dan introspeksi kepada lawatan mereka. Sudah menjadi lumrah manusia untuk menikmati keseronokan, meningkatkan mood dan memperkayakan kehidupan mereka melalui seni. Hal tersebut secara tidak langsung boleh memberikan inspirasi dan motivasi kepada pengunjung.
Inisiatif mewujudkan lorong seni ini juga berupaya meningkatkan pengiktirafan seni lukisan sebagai cara ekspresi budaya. Lorong seni ini menampilkan seni mural dan lukisan yang menakjubkan, yang membolehkan orang ramai menghargai bakat tempatan dan menyokong komuniti seni tempatan.
Pelancong dan penduduk tempatan dapat menghargai keindahan seni lukisan dan menerima manfaat menerusi seni dalam kehidupan mereka melalui pengalaman visual yang menyeronokkan. Hal ini seterusnya dapat menyokong pertumbuhan seni tempatan, serta memelihara dan memartabatkan warisan seni budaya tempatan.
Penulis merupakan pensyarah di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.