21 Disember 2023, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baru-baru ini, penulis melawat dua buah sekolah Orang Asli, iaitu Sekolah Kebangsaan Asli di daerah Kluang dan Mersing, Johor. Murid yang belajar di kedua-dua sekolah tersebut merupakan Orang Asli daripada suku Jakun. Perjalanan ke sekolah tersebut sangat mencabar dan mengambil masa yang lama untuk tiba.

Tujuan penulis hadir ke sekolah tersebut adalah untuk mengumpul data penyelidikan daripada geran yang diperoleh. Alang-alang pergi ke sekolah tersebut, penulis sempat menyantuni murid di sana. Penulis bertanyakan mereka tentang STEM tanpa memaklumkan nama penuh bagi singkatan STEM yang merujuk kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Semua murid mengangkat tangan tanda faham tentang konsep tersebut. Namun begitu, apabila penulis bertanyakan dengan lebih lanjut kefahaman mereka tentang STEM, rata-rata murid menyatakan bahawa STEM merujuk kepada setem yang ditampal pada sampul surat.

Sedikit lucu, namun setelah diterangkan dengan ayat dan bahasa yang mudah, akhirnya mereka akur bahawa STEM yang dimaksudkan bukanlah merujuk kepada setem yang selama ini mereka fahami. Penulis kemudian cuba bertanyakan kepada mereka tentang kehidupan harian yang ada hubung kait dengan teknologi. Mereka diam seketika untuk berfikir. Setelah beberapa minit, mereka seronok berkongsi tentang motobot yang digunakan ibu bapa mereka untuk menangkap ikan di sungai.

Mereka melukis motobot dengan pelbagai bentuk dan gambar yang menarik. Penulis kemudian menerangkan bahawa motobot yang digunakan untuk menangkap ikan menggunakan konsep STEM. Di sebalik pembuatan bot berkenaan, terdapat konsep matematik dan kejuruteraan yang diaplikasikan, meskipun tidak diterjemahkan secara formal.

Masyarakat peribumi dan kumpulan minoriti, seperti Orang Asli, merangkumi empat peratus daripada semua murid sekolah rendah dan menengah di Malaysia. Sebanyak 68 peratus daripada murid tersebut tinggal di kawasan luar bandar dan 80 peratus di Sabah dan Sarawak. Berdasarkan data daripada laman sesawang Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), hingga 30 Jun 2022, dianggarkan terdapat sebanyak 209 575 orang masyarakat Orang Asli di Malaysia dengan 15 825 orang daripadanya menetap di Johor.

Suku Jakun banyak tinggal di sekitar Johor Utara, seperti Segamat, Muar dan Ledang, Johor Timur, seperti Mersing dan Kota Tinggi, serta Johor Tengah, iaitu Kluang. Meskipun begitu, kadar keciciran yang tinggi dalam kalangan murid Orang Asli, khususnya dalam mata pelajaran Matematik, menyebabkan pencapaian pendidikan dalam kalangan mereka rendah berbanding dengan purata kebangsaan. Berdasarkan laporan, hanya 30 peratus murid Orang Asli tamat sekolah menengah, iaitu kurang separuh daripada purata kebangsaan, iaitu 72 peratus.

Selain itu, berbanding dengan purata kebangsaan, iaitu 87 peratus, hanya 61 peratus murid Orang Asli lulus mata pelajaran teras dalam peperiksaan UPSR seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Manakala sebanyak 35 peratus  berada dalam band sekolah berprestasi rendah. Kajian terdahulu mendapati bahawa beberapa faktor, seperti ekonomi, geografi, dan budaya, mengekang akses murid Orang Asli untuk mencapai pendidikan berkualiti.

Pembelajaran matematik yang dipermudahkan melalui silang budaya berpotensi untuk meningkatkan pemikiran logik dan kritis serta meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah murid.

Bagi meningkatkan kemahiran matematik murid Orang Asli, kajian lepas mencadangkan agar aspek budaya mereka disinergikan ke dalam pembelajaran matematik. Pendekatan sebegini merupakan sebahagian daripada matematik yang menjadi penghubung antara konsep formal dengan amalan dalam budaya. Pendekatan pembelajaran yang menggabungkan matematik dalam budaya dapat membantu murid Orang Asli menemui hubungan matematik yang sesuai, meningkatkan kedalaman pengetahuan mereka dan seterusnya meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah matematik.

Pembelajaran matematik yang menyokong pemahaman murid ialah apabila latar belakang budaya murid diambil kira untuk menyampaikan konsep matematik. Pembelajaran matematik yang dipermudahkan melalui silang budaya berpotensi untuk meningkatkan pemikiran logik dan kritis serta meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah murid dengan membina pengetahuan matematik baharu berdasarkan maklumat yang sudah ketahui oleh murid.

Kajian di Indonesia mendapati bahawa pembelajaran matematik murid Orang Asli dengan konteks budaya di tapak sejarah Candi Jawa dapat mengatasi kesukaran pembelajaran matematik bagi murid Orang Asli di daerah tertentu di Indonesia. Terdapat juga kajian yang hampir serupa di Indonesia yang melibatkan adat masyarakat Orang Asli Cigugur dalam menjalankan amalan pengiraan untuk menentukan waktu terbaik memulakan aktiviti pembinaan rumah. Berdasarkan budaya mereka, masyarakat tersebut mengamalkan aktiviti matematik asas yang diperlukan, seperti pengiraan dan penerangan.

Sementara itu di Australia, masyarakat Orang Asli atau lebih dikenali sebagai Aborigin, diajar memahami matematik melalui aspek budaya yang melibatkan amalan melempar bumerang. Aktiviti ini mengilustrasikan mod korelasi kerana memerlukan murid untuk melakukan amalan itu sendiri dan mengalami konsep matematik yang berkaitan dengan aerodinamik penerbangan bumerang. Hal ini dapat membantu mengubah amalan tersebut menjadi satu pendekatan untuk menyampaikan konsep matematik kepada murid.

Satu daripada unsur budaya dalam masyarakat Orang Asli Jakun ialah kercang. Kercang merupakan permainan yang popular dalam kalangan masyarakat orang asli di sekitar hutan Endau Rompin pada suatu masa dahulu. Alat permainan ini diperbuat daripada rotan yang disusun secara berlapis-lapis mengikut peringkat kesukarannya.

Peringkat pertama merupakan yang paling mudah, diikuti peringkat kedua, ketiga dan seterusnya. Untuk melestarikan unsur budaya yang semakin dilupai dan sebagai rujukan kepada generasi akan datang, permainan kercang ini dicadangkan untuk diaplikasikan dalam pembelajaran matematik murid Orang Asli suku Jakun, khususnya di Johor.

Ketika penulis melawat ke sekolah ini, penulis turut disajikan dengan persembahan tarian sewang yang merupakan unsur budaya suku kaum Jakun yang pastinya melibatkan unsur matematik. Tarian ini dipersembahkan ketika upacara keagamaan, perayaan atau acara sosial lain. Alat muzik tradisional seperti gendang dan nyanyian lazimnya mengiringi pergerakan dalam tarian tersebut. Tarian sewang bukan sekadar hiburan, malah merupakan identiti budaya penting bagi masyarakat Orang Asli Jakun.

Penggabungan budaya dalam kurikulum matematik sekolah melibatkan perubahan signifikan dalam matlamat, pendekatan, dan kandungannya. Penggabungan budaya dalam matematik sekolah juga merupakan perkara yang memerlukan kewujudan dasar pendidikan yang memberikan kuasa serta mentakrifkan peranan budaya, khususnya dalam konteks tempatan.

Walau bagaimanapun, peranan budaya dalam kurikulum agak sukar untuk direalisasikan dalam komuniti yang bersifat multikultural seperti di Malaysia. Kurikulum multikultural  menjelmakan isu berbangkit, seperti jenis dan tahap perwakilan budaya yang berbeza dan implikasi lain, yang mungkin timbul daripada kurikulum tersebut. Namun begitu, pembelajaran matematik melalui aspek budaya di sekolah Orang Asli telah lama dilaksanakan di negara yang terserlah dengan budaya asli, seperti New Zealand, Papua New Guinea dan Australia.

Elemen Merentas Kurikulum (EMK) yang telah lama diperkenalkan dalam sistem pendidikan kebangsaan dapat mendedahkan murid dengan kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia, termasuklah budaya masyarakat Orang Asli. Tambahan pula, apabila ditelusuri, antara objektif pembelajaran matematik Kurikulum Standard Sekolah Rendah  dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah ialah menyedari bahawa idea matematik saling berkait dan merupakan ilmu yang menyeluruh dan bersepadu, serta mampu menghubungkaitkan ilmu matematik dengan bidang ilmu yang lain selain menghargai kepentingan dan keindahan matematik.

Tuntasnya, walaupun masyarakat Orang Asli merupakan golongan minoriti di Malaysia, kebajikan dan masa hadapan terutamanya bagi generasi muda perlu diberikan perhatian. Dalam aspek pendidikan, hal ini bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4) iaitu pendidikan berkualiti. Pendidikan berkualiti secara inklusif dan saksama dititikberatkan serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada semua.

Manakala Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 10), iaitu mengurangkan ketaksamaan pula dilaksanakan bagi memastikan kesaksamaan peluang kepada semua orang tanpa mengira latar belakang. Hal ini dilakukan bagi menghapuskan diskriminasi dan menjadikan setiap individu mempunyai peluang yang sama untuk mengakses pendidikan serta perkara-perkara lain.

Dalam konteks pendidikan untuk murid Orang Asli, simbiosis antara matematik dengan budaya dapat dilaksanakan dalam kelas matematik. Tambahan pula, menurut PPPM 2013-2025, sistem pendidikan akan ditambahbaik untuk menyediakan pendidikan yang terbaik kepada setiap murid tanpa mengira kedudukan geografi, gender atau latar belakang sosioekonomi.

Penulis merupakan pensyarah di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,  Universiti Teknologi Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.