22 September 2021, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan Pakej Kita Selangor 2.0 yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor pada 9 Jun lalu. Program itu memperuntukkan RM 2.55 juta untuk industri pelancongan negeri itu, khususnya bagi menangani impak pandemik Covid-19.

Antara insentif yang terkandung dalam Pakej ini termasuk Geran Bantuan Kewangan Program / Aktiviti Pelancongan Negeri Selangor dengan jumlah peruntukan RM 1 juta, Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 dengan jumlah peruntukan RM 1 juta, Program Latihan Pembelajaran Pendigitalan Pelancongan Negeri Selangor berjumlah RM 300,000.00, dan Bantuan Kewangan “One-Off” yang telah disalurkan secara maya kepada 17 Persatuan Pelancongan di negeri Selangor pada 9 September lalu.

Berita baik buat semua; permohonan untuk Geran Bantuan Kewangan Program/Aktiviti Pelancongan negeri Selangor akan mula dibuka bermula 23 September hingga 31 Disember ini menerusi pautan Google Form yang boleh diakses melalui imbasan kod QR yang tertera. Inisiatif ini bertujuan untuk memulih dan menggalakkan program pelancongan bagi mempromosikan industri pelancongan negeri Selangor di ambang pandemik Covid-19 yang semakin menghampiri ke fasa endemik.

Inisiatif ini dibuka kepada penggiat industri pelancongan yang layak di negeri Selangor yang ingin menganjurkan atau menyertai program atau aktiviti pelancongan yang mempromosikan industri pelancongan negeri. Geran Bantuan Kewangan ini akan dilaksanakan melalui kaedah pengembalian kewangan dan jumlah permohonan adalah berdasarkan kepada satu penyertaan atau pelaksanaan, iaitu 50% daripada jumlah perbelanjaan sebenar ATAU mengikut kelayakan maksimum RM20,000.00 – yang mana lebih rendah.

Pelaksanaan segala inisiatif yang terkandung dalam Permohonan Geran Bantuan Kewangan yang telah diluluskan pula perlu diselesaikan dalam tempoh dari 1 Oktober 2021 sehingga 30 Jun 2022. Pelaksanaan itu dilakukan menerusi Program Familiarization (FAM) Trip, Misi Jualan, Pameran Pelancongan, Acara Pelancongan MICE, atau sebarang pengisian lain yang bersesuaian bagi merancakkan semula sektor pelancongan negeri Selangor.

Inisiatif ini dijangka akan menarik minat dan penyertaan dari Persatuan Pelancongan di Negeri Selangor yang berdaftar dan diiktiraf di Malaysia, syarikat agensi pelancongan dan pengembaraan di negeri Selangor yang berdaftar dan dilesenkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Pengusaha Homestay di Negeri Selangor yang berlesen dan berdaftar di bawah pihak MOTAC, pengusaha dalam sektor pelancongan MICE yang berdaftar dan berlesen di Negeri Selangor, para Hos Komuniti yang berdaftar dan berlesen di Negeri Selangor, serta Persatuan Komuniti atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang berdaftar.

Usah lepaskan peluang ini dan bersama-sama berganding bahu dengan pihak Tourism Selangor ke arah melestarikan industri pelancongan negeri. Semak syarat kelayakan untuk memohon dengan mengimbas kod QR yang tertera atau untuk sebarang informasi lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di www.selangor.travel. Anda juga boleh menghantar e-mel ke [email protected] untuk sebarang pertanyaan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi