Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang“P.Ramlee bukanlah seniman yang terbaik tetapi beliau merupakan seniman yang terpenting dalam dunia sinema Melayu. Sumbangan beliau banyak membentuk jati diri bangsa, membentuk cara kita berfikir, bertingkah laku dalam menangani isu-isu tertentu melalui saranan yang disampaikan melalui filemnya,” jelas Siti Raihani Mohd Saaid menutup bicaranya dalam program Bicara Ilmu, sebuah wadah yang menampilkan ahli akademik dan para pengkaji untuk berkongsi kajian dan dapatan mereka kepada khalayak umum.
Program bual bicara yang dihoskan oleh Azian Mohamed Isa dengan judul “Unsur Kritikan dan Didikan dalam filem P.Ramlee” disiarkan secara langsung menerusi Facebook Bicarawara, menelusuri perjalanan kesarjanaan Siti Raihani yang menjadikan P.Ramlee sebagai fokus kajian ilmiahnya. Beliau yang juga seorang calon Ijazah Falsafah Kedoktoran yang kini sedang menyiapkan disertasinya di salah sebuah IPTA turut berkongsi bagaimana boleh timbul minatnya untuk mengkaji P.Ramlee.
Katanya, “Semasa saya kecil, ayah saya gemar merakam video dan pada ketika itu pita rakaman adalah dalam bentuk VHS. Saya menonton banyak filem P.Ramlee dan saya boleh terima ceritanya. Sehinggalah saya melanjutkan pengajian di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) kini ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan), saya mengambil jurusan pengajian filem dengan pengkhususan penulisan lakon layar dan kritikan filem. Ketika itu minat saya menjadi lebih mendalam, mahu mendalami filem P.Ramlee dari aspek sastera dan masyarakat.”
P.Ramlee bijak mengarifi kehendak masyarakat pada zamannya. Beliau sangat sensitif dengan pembangunan dan pembaharuan yang berlaku di sekelilingnya. Unsur kritikan dan didikan terhadap satu-satu isu dimasukkan dengan bersahaja menggunakan elemen komedi. Oleh hal yang demikian, penonton bukan saja akan terhibur malah lebih mengingati saranan dan mesej yang ingin disampaikan. Filem Masam Masam Manis misalnya memaparkan papan tanda yang tertulis “Jayakan Bahasa” dalam bingkai pertamanya. Menurut Siti Raihani, ini memberikan gambaran tentang perjuangan P.Ramlee dalam mengangkat bahasa.
Dalam filem Ali Baba Bujang Lapok pula, Marjina, watak seorang hamba perempuan yang dilakonkankan oleh seniwati Sarimah, dibebaskan oleh Ali Baba disebabkan usahanya menyelamatkan majikannya. Ini menunjukkan terdapat unsur mobility social, di mana golongan bawahan mampu bergerak dan keluar daripada kepompong kehambaan atau kemelaratan hidup dengan ikhtiar, iltizam dan daya usaha yang kuat. Dalam masa yang sama filem ini juga memberi saranan kepada majikan supaya berhati mulia dan bertimbang rasa.
Dalam disertasi ijazah sarjananya, Siti Raihani berjaya membuktikan P.Ramlee adalah seorang karyawan lelaki yang feminis, menampilkan watak wanita yang tinggi daya tahan dan punyai pegangan yang kuat mendepani stigma sosial dan diskriminasi patriarki. Dalam filem Keluarga 69 misalnya, dialog Siti yang berbunyi “Buat apa berlaki kalau hidup susah” mendorong Siti untuk meninggalkan suaminya. Ternyata keputusan ini memberikan kehidupan yang lebih baik kepada dirinya seperti digambarkan dalam filem tersebut. Hal ini turut disokong oleh Hidir Ali Razali, salah seorang penonton yang meninggalkan komentar dalam siaran langsung ini, “P.Ramlee adalah seorang reformis yang berusaha untuk berjuang membetulkan masyarakat dan bangsanya.”
Ternyata legasi yang ditinggalkan oleh P.Ramlee lewat karyanya memberikan impak yang besar kepada masyarakat, dahulu, kini dan akan datang. Karya beliau menyatukan seluruh alam Melayu dan seluruh dunia. Bukan tidak ada pengarah filem atau karyawan yang hebat pada zaman itu, akan tetapi, nama P.Ramlee itu lebih melekat dan terpahat dalam ingatan masyarakat oleh kerana popularitinya. “P.Ramlee adalah memori kolektif pelusuk nusantara dipunyai oleh Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand,” ujar Siti Raihani.