Oleh Orked Una
30 Oktober 2021, 10:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pontian – Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Majlis Hari Puisi Hari Nasional ke-21 yang berlangsung di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, Pontian, Johor bermula pada 29 Oktober hingga 30 Oktober 2021. Penganjuran Hari Puisi Nasional ke- 21 yang turut disokong oleh Kerajaan Negeri Johor itu dimulakan dengan majlis perasmian oleh YAB Dato’ Haji Hasni Mohamad. Majlis turut disiarkan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 29 Oktober 2021, pukul 3.45 petang.

Dalam ucapan perasmiannya, YAB Dato’ Haji Hasni menyeru PPJ supaya menjadi lebih rapat dengan masyarakat bagi memperkenalkan kesefahaman budaya di pentas antarabangsa. Menurut beliau, negeri Johor kini aktif memperkukuhkan kerjasama dengan negara serantau seperti kerjasama tiga negara iaitu Indonesia – Malaysia – Thailand menerusi Segitiga Pertumbuhan Indonesia – Malaysia – Thailand (IMT- GT) dan kerjasama dengan Singapura melalui Iskandar Regional Development Authority (IRDA).

Kerjasama antara negara ini tidak terhad kepada kerjasama sektor ekonomi dan pelancongan sahaja, tetapi turut mengukuhkan kerjasama kebudayaan. Sebuah pejabat khusus telah dibuka di Singapura supaya kerjasama kebudayaan dapat dilaksanakan selepas pandemik COVID-19.

Dalam hal ini, YAB Dato’ Haji Hasni mencadangkan PPJ supaya bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memperkukuhkan kerjasama negeri Johor dengan kepulauan Riau melalui penulisan. Negeri Johor berhasrat untuk memperkukuhkan kerjasamanya antara Johor dengan Singapura dan Johor dengan Indonesia. Oleh hal yang demikian, PPJ diseru supaya memainkan peranan untuk menjadi jambatan kebudayaan pada peringkat antarabangsa.

Usai merasmikan Hari Puisi Nasional ke-21, YAB Dato’ Hasni turut melancarkan Antologi Puisi Karya Penyair Gapena dan Johor yang menampilkan naskhah Gema Membelah Gema 19, Soneta Pohon Zaitun, Anugerah Penyair Gapena 2021, Layar Juang, dan Munajat untuk Palestin.
Seterusnya majlis diteruskan dengan Penyampaian Anugerah Penyair GAPENA 2021 kepada Ahmad Sarju, Mahaya Mohd Yassin dan Shapiai Mohd Ramly dan Penyampaian Anugerah Penyair Johor kepada Amiruddin Md Ali Hanafiah, Pengerusi HPN ke -21 yang juga merupakan Ketua Dua GAPENA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.