Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPada akhir Disember 2020, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan fasa pertama Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis. Sejak itu, Kampung Seberang Ramai yang digelar “Kampung Warna-warni” oleh DYTM Raja Muda Perlis menjadi tarikan baharu para pengunjung yang datang ke negeri Perlis.
Program transformasi yang diilhamkan oleh DYTM Raja Muda Perlis ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai jabatan dan agensi, termasuklah penduduk kampung yang menghuni lokasi tersebut. Selaku agensi yang berada di bawah naungan Raja Perlis, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs) merupakan teraju utama yang mendukung usaha transformasi Kampung Seberang Ramai.
Untuk mendapatkan maklumat terperinci berkaitan dengan program tranformasi yang memperlihatkan kejayaannya pada fasa pertama, editor daripada Bahagian Majalah, Puan Siti Noorisa Abdul Khlil dan Puan Syaza Wardina Abd. Khalik bersama-sama Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Puan Nurul Julia Alani berkunjung ke Perlis untuk mewawancara Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Sebagai pembuka wawancara tersebut, Haji Mohd Nazim menjelaskan bahawa pemilihan Kampung Seberang Ramai dibuat sendiri DYTM Raja Muda Perlis ekoran sejarah kampung tersebut yang dahulunya merupakan kampung yang pernah didiami oleh Raja Perlis, Raja Syed Alwi Ibni Syed Saffi Jamalullail. Selain itu, di Kampung Seberang Ramai juga terdapat mercu tanda yang diwarisi daripada masa silam, iaitu Anjung Persinggahan Diraja yang dibina sebagai tempat persinggahan raja semasa mengunjungi kampung yang terletak di kuala sungai itu.
“Matlamat utama program transformasi Kampung Seberang Ramai adalah untuk memberikan nilai tambah pada kampung yang menjadi petempatan awal penduduk di negeri Perlis. Matlamat tersebut dititahkan oleh Raja Muda Perlis setelah melihat sendiri keadaan kampung tersebut yang perlu diberikan wajah baharu,” demikian ulas Haji Mohd Nazim apabila menceritakan ilham pembaharuan lokasi yang menempatkan tujuh buah kampung.
Aspek pembaharuan yang diberikan tumpuan pada fasa pertama adalah melakukan penambahbaikan dan pengindahan kampung. Antara pembaharuan tersebut termasuklah mengecat rumah dengan warna yang ceria, terutamanya berdasarkan warna bendera negeri Perlis, membuat dekorasi menggunakan barangan terbuang dan mewujudkan laman berdasarkan tema tertentu.
Selain melakukan perubahan dari aspek fizikal kampung, transformasi yang diilhamkan oleh DYTM, Raja Muda Perlis juga melibatkan perubahan dari aspek mentaliti masyarakat yang menjadi penghuni tetap Kampung Seberang Ramai. Menurut Haji Mohd Nazim, nilai positif yang wujud dalam diri masyarakat hasil daripada tranformasi yang dilakukan terhadap kampung tersebut ialah masyarakat begitu menghargai keceriaan yang mereka nikmati setelah kampung mereka diberikan wajah baharu.
Aspek kebersihan juga diutamakan oleh penduduk kampung kerana setelah berlakunya transformasi, Kampung Seberang Ramai telah dikunjungi oleh pelancong yang melawat ke negeri Perlis. Maka itu, sebagai tarikan baharu di Perlis dan untuk memastikan kampung tersebut kekal menjadi destinasi pelancongan, aspek kebersihannya harus dijaga setiap masa.
Salah satu program yang dirancang secara khusus mengiringi projek transformasi Kampung Seberang Ramai ialah “Trash to Cash”. Menurut Haji Nazim, projek Trash to Cash bermaksud penduduk kampung digalakkan untuk memanfaatkan barangan terpakai atau barangan yang sudah tidak digunakan dan barangan terbuang seperti botol plastik.
Selain dapat membersihkan kawasan kampung dengan lambakan barangan terbuang, penduduk kampung juga memperoleh wang daripada hasil jualan barangan terpakai tersebut. Sesetengah barangan terpakai itu diolah oleh penduduk menjadi objek tertentu untuk menghiasi halaman rumah masing-masing.
Bagi yang telah mengunjungi Kampung Seberang Ramai, mereka pasti telah melihat dinding luar kampung yang diceriakan dengan cat yang berwarna-warni. Pemilihan cat yang berwarna-warni bertujuan untuk mewujudkan semangat cintakan negeri Perlis melalui penggunaan warna bendera Perlis, iaitu kuning dan biru.
Hal inilah yang menyebabkan Kampung Seberang Ramai digelar “Kampung Warna-warni” oleh DYTM Raja Muda Perlis. Malahan terdapat sebuah jambatan yang diberikan nama Jambatan Tuan Syed Putra turut diceriakan dengan warna-warni sehingga digelar “pelangi buatan” oleh para pengunjung.
Sebagai penutup wawancara, Haji Mohd Nazim menyatakan Kampung Seberang Ramai akan mengalami tujuh fasa pembaharuan yang dilakukan secara berterusan. Tambah beliau, uniknya program transformasi ini selain mendapat perhatian utama oleh DYTM Raja Muda Perlis, program itu juga mendapat sokongan daripada banyak pihak dan kerjasama.
Haji Mohd Nazim juga melahirkan rasa gembira kerana ilham transformasi diraja ini mendapat kerjasama yang sangat baik daripada penduduk kampung yang melakukan sendiri kerja mengecat rumah dan membuat kebersihan di kawasan kampung. Bahkan beliau sendiri juga sering berkunjung ke kampung tersebut sebagai tanda sokongan yang berterusan bagi memastikan keceriaan kampung yang bersejarah itu terpelihara dan kekal menjadi destinasi yang dikunjungi oleh pelancong yang datang ke negeri Perlis.