Oleh Nor Aini Hassan
25 November 2021, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sekolah Melayu yang pertama di Perak ditubuhkan pada tahun 1826 di Matang Gelugur, di daerah Matang, Perak. Kewujudan sekolah ini secara umumnya menunjukkan sejarah pendidikan formal di negeri Perak bermula pada tahun 1826.

Inisiatif Che Long Jaafar bin Dato’ Paduka Setia Long Abdul Latif membina Sekolah Melayu di Matang Gelugor pada tahun 1826 ini juga telah menjadi batu asas kepada penubuhan Maktab Melayu Matang (dikenali sebagai Muzium Matang sekarang).

Sebelum termeterainya Perjanjian Pangkor pada tahun 1874, hanya terdapat tiga buah Sekolah Melayu sahaja, iaitu di Matang Gelugur, Kuala Kurau dan di Temelok, Trong. Sekolah tersebut merupakan sekolah pengajian al-Quran yang mengkhususkan pelajaran agama Islam dan tulisan Jawi.

Penubuhan sekolah tersebut juga bertitik tolak daripada inisiatif pembesar Melayu atau orang perseorangan seperti Che Long Jaafar yang telah melihat kejayaan sistem pendidikan formal di Negeri-negeri Selat. Long Jaafar yang dilahirkan sebagai seorang manusia intelektual dan berpandangan jauh telah mengasaskan sejarah pendidikan di negeri Perak dengan mendirikan Sekolah Melayu Matang Gelugor yang dibina pada tahun 1826.

Che Long Jaafar juga ialah sosok penting yang menjadi pengasas perkembangan bandar Taiping. Sebagai seorang jutawan bijih timah Melayu, perkembangan sejarah moden bandar warisan ini banyak berkait dengan kewibawaan beliau. Selain bijih timah, Long Jaafar juga terbukti sebagai seorang pedagang dan usahawan Melayu yang berjaya dalam bidang pertanian dengan memiliki ladang kopi di Asam Kumbang, Taiping dan ladang tebu di Kerian. Tebu tersebut dihantar ke Pulau Pinang melalui Pelabuhan Kuala Gula dan diproses menjadi gula untuk menampung keperluan harian penduduk pada ketika itu.

Selepas termeterainya Perjanjian Pangkor pada tahun 1874, usaha pembukaan sekolah telah dipergiatkan. Pada tahun 1890, terdapat 18 buah sekolah Melayu dan tiga buah sekolah Inggeris yang dikelolakan oleh Mubaligh Kristian. Hingga tahun 1900, terdapat 64 buah sekolah Melayu dan tujuh buah sekolah Inggeris di negeri Perak. Sekolah Inggeris yang pertama pula ditubuhkan pada tahun 1883 dengan nama Central School di Taiping.

Oleh sebab pertumbuhan sekolah begitu menggalakkan pada ketika itu dan atas desakan Residen dari semasa ke semasa maka pada tahun 1890, tertubuhnya Jabatan Pelajaran di Perak. H.B. Collinge, seorang guru Sekolah Kerajaan di Melaka telah dilantik mengetuai Jabatan Pelajaran Perak dengan gelaran Inspector of Schools (Nazir Sekolah-Sekolah). Kemasukan pendatang dari India dan China yang dibawa masuk oleh pihak British menjadi titik tolak bermula sekolah Tamil dan Cina di negeri Perak dengan membawa sistem pendidikan dari negara masing-masing.

Pada tahun 1900, sebuah sekolah Tamil ditubuhkan oleh masyarakat India setempat di Simpang, Lima Parit Buntar, Perak dan pada tahun 1919, sekolah tersebut menjadi sekolah kerajaan. Sementara itu, pada tahun 1902, masyarakat Cina di Sitiawan telah menubuhkan sebuah Taman Anak-anak Yatim di Kampong Koh, Setiawan yang menjadi asas kepada penubuhan sekolah Cina yang pertama di negeri Perak.

Sebelum tahun 1899, sukatan pelajaran sekolah aliran Melayu hanya setakat darjah tiga dengan mengguna pakai kurikulum asas seperti aspek membaca, tulisan, karangan dan ilmu alam. Pada tahun 1891, telah tercetus inovasi baharu dalam sistem pendidikan dengan diperkenalkan tulisan rumi dalam kurikulum sekolah Melayu mulai darjah tiga. Dengan terlaksananya inovasi tulisan rumi telah menimbulkan sedikit perasaan syak wasangka masyarakat Melayu dan golongan ulama Islam terhadap sukatan pelajaran di sekolah.

Pada tahun 1899, darjah empat di sekolah Melayu dimasukkan pula pelajaran Objek (Bunga dan Tumbuhan di Tanah Melayu). Seterusnya pada tahun 1904, tulisan rumi diperkenalkan dari darjah dua.

Sekolah Melayu Matang, Gelugor.
Sumber: Muzium Matang, Jabatan Muzium Malaysia

Maktab Perguruan di Taiping

Evolusi pendidikan negeri Perak semakin berkembang dengan tertubuhnya institusi pendidikan yang lebih tinggi.  Taiping boleh dianggap sebagai pusat intelektual untuk orang Melayu kerana pada tahun 1898 ditubuhkan Maktab Perguruan di Taiping untuk melatih guru sekolah Melayu. Pada tahun 1900, maktab tersebut telah ditutup ekoran tertubuhnya Maktab Guru Melaka.

Pada 11 Oktober 1913, Maktab Perguruan Melayu ditubuhkan semula di negeri Perak bertempat di bangunan rumah Ngah Ibrahim. Maktab Perguruan di Matang ini adalah satu-satunya sekolah yang memberikan pelajaran lebih daripada darjah lima. Dikatakan penubuhan maktab ini merupakan hasil daripada minat Sultan Idris yang mengambil berat terhadap pelajaran kanak-kanak dalam negerinya.

Maktab tersebut dibuka bulan Oktober 1913 untuk melatih guru Melayu. Kakitangannya terdiri daripada seorang guru besar dan guru penolong Melayu serta guru al-Quran. Pengetua pertamanya ialah Alexander Keir dan beliau telah dilantik sebagai Nazir sekolah-sekolah di Perak serta seterusnya sebagai pemangku Pengarah Pelajaran. Maktab ini memulakan sesi pembelajaran pada 1 November 1913 hingga tahun 1920.

Pada tahun pertama, Maktab Melayu ini menerima sebanyak 27 orang penuntut kelahiran negeri Perak yang terdiri daripada lulusan darjah lima sekolah Melayu. Kesemua penuntut menerima elaun sebanyak RM1.50 sebulan dan elaun tersebut dinaikkan kepada RM3.00. Buku bacaan mata pelajaran Bahasa Melayu ketika itu, bertajuk Sejarah Melayu (tulisan jawi) dan Hikayat Abdullah (tulisan rumi). Penuntut diajar dalam mata pelajaran kira-kira, Bahasa Melayu, berkebun, Pendidikan Agama, tulisan, peta, pengetahuan am dan berkawad. Dianggarkan sebanyak 25 orang penuntut yang diambil pada setiap tahun untuk dilatih menjadi guru di maktab ini. Dalam masa sembilan tahun, maktab ini telah melahirkan sebanyak 200 orang guru.

Bagi memenuhi keperluan latihan mengajar, setiap penuntut dihantar selama seminggu secara bergilir-gilir ke Sekolah Melayu Matang, Sekolah Melayu Matang Road, Sekolah Melayu Matang, Gelugor dan Sekolah Melayu Simpang. Maktab Perguruan Melayu Matang juga dijadikan sebagai tempat latihan bagi calon Penolong Nazir Sekolah Melayu dan menyediakan kursus bagi Guru Pelawat dan Penolong Guru Pelawat.

Sekolah Melayu

Selepas Maktab Perguruan Matang dibubarkan pada tahun 1922, kekosongan rumah Ngah Ibrahim telah digunakan sebagai Sekolah Melayu (L) Matang. Pada tahun 1941, Sekolah Melayu (L) Matang terpaksa dipindahkan semula ke bangunan lamanya, iaitu di Jalan Menggala kerana rumah Ngah Ibrahim telah diambil alih dan dijadikan sebagai markas pertahanan tentera Jepun.

Pada ketika itu, persekolahan terganggu dan terhenti dengan serta-merta ekoran tercetus Perang Dunia Kedua yang dihujani dengan bom serta tembakan. Kesan runtuhan tembok kota di bahagian hadapan kota Ngah Ibrahim adalah kerana tembok tersebut telah dirempuh oleh kapal terbang tentera Jepun yang jatuh terhempas.

Runtuhan tembok Kota Ngah Ibrahim akibat dirempuh oleh kapal terbang Tentera Jepun yang jatuh terbabas.
Sumber: Muzium Matang, Jabatan Muzium Malaysia

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, pembelajaran yang diwujudkan oleh Jepun lebih menekankan semangat dan pandangan supaya cinta akan Dai Hippon. Pelajaran rendah yang ditetapkan oleh pemerintah Inggeris ketika sebelum perang dikekalkan.  Akan tetapi, bidang pelajarannya diubah.

Setelah tamatnya Perang Dunia Kedua, iaitu pada tahun 1946, rumah Ngah Ibrahim digunakan semula sebagai Sekolah Matang. Pada ketika itu, pelajar dari Sekolah Melayu (L) Matang dan Sekolah Melayu (P) Matang telah digabungkan. Pada hari pertama persekolahan hanya terdapat 30 orang murid sahaja yang hadir untuk mengikuti sesi persekolahan.

Jumpaan pensel kalam semasa kerja-kerja gali cari dijalankan di Kota Ngah Ibrahim pada tahun 1996.
Sumber: Muzium Matang, Jabatan Muzium Malaysia

Sekolah Kebangsaan Matang

Pada tahun 1957, Sekolah Melayu Matang telah ditukar kepada Sekolah Umum Matang yang pada akhirnya menjadi Sekolah Kebangsaan Matang. Memandangkan keadaan murid yang semakin bertambah dan faktor keselamatan pelajar, maka sebuah bangunan baharu untuk dijadikan sebagai Sekolah Kebangsaan Matang telah dibina dan siap pada tahun 1983.  Bangunan sekolah yang baharu terletak di luar kota Ngah Ibrahim dan mula digunakan pada 3 Januari 1984.

Terdapat papan tanda tertulis Sekolah Kebangsaan Matang pada tembok Kota Ngah Ibrahim.
Sumber: Muzium Matang, Jabatan Muzium Malaysia

Seterusnya, pada tahun 1884, rumah Ngah Ibrahim dijadikan sebagai kelas pengajian al-Quran dan fardu ain. Di samping itu, rumah tersebut juga digunakan sebagai tempat aktiviti kelas KEMAS, iaitu sebanyak dua kali seminggu dan sekali-sekala dijadikan sebagai tempat mesyuarat atau perhimpunan penduduk kampung. Kini, Sekolah Kebangsaan Matang tersebut menjadi Pejabat Pentadbiran Muzium Matang manakala rumah Ngah Ibrahim dijadikan sebagai sebuah muzium.

Bangunan Rumah Ngah Ibrahim dijadikan sebagai Sekolah Kebangsaan Matang.
Sumber: Muzium Matang, Jabatan Muzium Malaysia

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.