Oleh Aisyah A.
28 November 2021, 06:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rancangan Luar Jendela Komuniti Jepun bertajuk “Budaya Kerja Orang Jepun” telah diadakan secara dalam talian menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 November 2021, pukul 9.00 malam.

Pada kali ini, DBP menampilkan lima orang warga Jepun yang dijemput secara eksklusif dari Tokyo yang mahir bertutur dalam bahasa Melayu untuk berkongsikan mengenai budaya kerja warga tempatan yang terkenal dengan kerajinan, disiplin dan ketepatan masa.

Menurut Eiko Shomura atau nama Melayunya, Eizwany, warga Jepun sangat suka bekerja sehingga lewat malam, malah ada yang membawa pulang komputer riba dan telefon bimbit syarikat untuk menyiapkan kerja di rumah. Beliau juga menjelaskan bahawa jika terdapat isu di pejabat yang perlu ditangani dengan segera, pekerja akan terus pergi ke pejabat walaupun jam menunjukkan pukul 2.00 pagi dan jika diminta oleh pegawai.

Kita mungkin tertanya-tanya, adakah budaya sebegini tidak memberikan tekanan kepada pekerja? Bagaimanakah mereka mampu meneruskan kerja dengan penuh semangat setiap hari?

Ayaka Yui atau Aishah berkongsi bahawa pekerja Jepun sentiasa menjaga hubungan baik sesama mereka dalam syarikat. Hubungan yang jernih tanpa bermasam muka sudah tentu dapat melancarkan kerja dan mengurangkan tekanan di tempat kerja. Selain itu, Mikiko Kitanaka atau Kamariah akan makan tengah hari bersama-sama rakan sepejabat dan berkongsi berkenaan dengan kerja, keluarga dan masalah untuk mengelakkan tekanan di tempat kerja.

Jepun merupakan sebuah negara yang maju yang dikelilingi dengan syarikat besar dan teknologi terkini bertaraf dunia. Namun begitu, kebanyakan warga Jepun masih tinggal jauh dari tempat kerja dan sekolah. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa menghabiskan masa selama satu jam atau lebih untuk tiba di destinasi.

Akari atau dikenali sebagai Atiyah oleh guru Bahasa Melayunya akan menghabiskan masa tersebut dengan membaca buku, menonton video atau mendengar muzik di dalam kereta api. Sesetengah warga Jepun pula akan mengambil kelas dalam talian untuk menambah kemahiran atau belajar bahasa asing seperti bahasa Inggeris kerana hal yang demikian dapat menyumbang kepada kenaikan gaji dan pangkat serta perkembangan karier mereka di Jepun. Namun demikian, ada juga antara mereka yang mengambil masa tersebut untuk berehat kerana perjalanan jauh menyebabkan badan mereka penat sebelum memulakan kerja.

Beberapa aspek kerja warga Jepun adalah hampir sama dengan Malaysia.

Takuji Arai atau Tahir berpendapat bahawa syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) di Jepun dinaungi oleh generasi muda dan sangat mudah untuk dinaikkan pangkat jika seseorang berkemahiran tinggi. Syarikat besar pula mempunyai sistem birokrasi dan biasanya diketuai oleh generasi baby boomer.

Apa-apa pun, antara perkara signifikan yang boleh dicontohi oleh warga Malaysia dari segi budaya kerja warga Jepun ialah ketepatan masa.

Atiyah berkongsi pengalaman beliau yang pernah melihat sendiri pekerja yang tiba 30 minit atau satu jam lebih lewat dari waktu mesyuarat dimulakan. Berbeza dengan pekerja Jepun yang tiba selewat-lewatnya 15 minit lebih awal,  agenda yang dijadualkan boleh dimulakan lebih awal dan tamat sebelum waktu yang ditetapkan.

Satu dunia telah terkesan dengan pandemik COVID-19 dan Jepun semestinya tidak terkecuali. Pandemik ini telah memaksa kita untuk Bekerja dari Rumah (BDR) dan mengurangkan kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penyebaran. Aishah berpendapat bahawa BDR adalah sukar dan beliau lebih memilih untuk mengadakan perbincangan berkaitan dengan kerja secara bersemuka. Akan tetapi, bagi Tahir yang bekerja sebagai pensyarah sambilan di beberapa universiti, BDR membolehkan beliau untuk berkomunikasi dengan mereka yang berjauhan dengan efektif dan dapat menjimatkan masa. Pun begitu, beliau bersetuju bahawa suami isteri yang BDR dalam satu rumah boleh menimbulkan tekanan yang lebih tinggi berbanding di tempat kerja.

Rancangan tersebut diakhiri dengan persembahan khas oleh Tahir yang menyampaikan lagu Getaran Jiwa oleh Almarhum Tan Sri P. Ramlee.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.