29 November 2021, 10:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Simpang Empat ‒ Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, “Seni tidak boleh lagi berada dalam ruang lingkup atau kelompoknya sendiri, sebaliknya seni visual atau apa-apa juga genre seni dan budaya ini harus turun kepada masyarakat.”

Aktivis kini tidak harus mengasingkan diri dengan berkarya di dalam studio, galeri atau di premis yang tertutup sahaja tetapi turunlah mendampingi masyarakat atau komuniti setempat, berkarya sambil melakukan aktiviti kemasyarakatan.

Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin ketika berkenan berangkat merasmikan Program Seni Bersama Komuniti: Rural Art Experience Negeri Perlis Tahun 2020 ‒2021 yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Balai Seni Negara serta Persatuan Pelukis Negeri Perlis (PPNPs) di Nipah Klasik, Kampung Bunga Emas, Simpang Empat, semalam.

Keberangkatan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda sulung, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail disambut oleh Pengerusi PPNPs, Yaakob Abd Aziz.

Program yang berlangsung selama dua hari tersebut dihadiri oleh 50 orang pelukis dari dalam dan luar Perlis dengan pelbagai aktiviti seni lukis dan gotong-royong diadakan bersama-sama penduduk setempat.

“Program Seni dan Komuniti yang dilaksanakan seumpama ini merupakan inisiatif yang amat baik dan bertepatan dengan slogan ‘Seni untuk Masyarakat’,” titah DYTM Raja Muda Perlis yang turut berkenan merasmikan Telaga Puteri Bunga Emas dan juga melawat pameran lukisan yang disediakan.

Antara karya seni yang dipamerkan dalam Program Seni Bersama Komuniti: Rural Art Experience Negeri Perlis Tahun 2020 ‒2021.

Karya seni tidak boleh selama-lamanya sekadar dipamerkan di galeri yang gah dan terasing. Akan tetapi, pelukis dan karya wajar dibawa dan dipamerkan kepada masyarakat dalam ruang yang lebih terbuka dan mudah untuk didekati.

Dalam pada itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin mengharapkan suatu masa nanti Perlis bukan sahaja terkenal sebagai hab kepada ekopelangcongan, agropelancongan serta pelancongan sukan, malah hasil karya seni yang tercipta pada dinding, di lorong, di luar dan dalam premis serta yang sedia terpamer di galeri akan menyemarakkan dan mempercepat lagi usaha bagi menjadikan negeri ini hab kepada pelancongan seni.

Baginda turut berharap dan yakin, melalui inisiatif yang digerakkan oleh semua pihak ke arah menjadikan landskap negeri Perlis indah dan berwajah baharu akan berjaya menarik lebih banyak pelancong dan meningkatkan ekonomi negeri dan rakyatnya.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!