15 Disember 2021, 12:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Nancy Shukri merasmikan produk pelancongan baharu di Menara Kuala Lumpur (Menara KL), iaitu Tower Walk 100 dan sambutan ulang tahun jubli perak menara tersebut, semalam. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Puan Ainol Shaharina Sahar.

Sumber: Facebook rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Tower Walk 100 merupakan tarikan terbaharu yang di Menara KL yang memberikan peluang kepada pengunjung untuk berjalan mengelilingi pusingan 360 darjah di atas pelantar menara tersebut.  Terletak di tingkat T02 tiang menara, Tower Walk 100 telah dibuka kepada para pengunjung bermula pada 27 November 2021 yang lalu.

Tower Walk 100 menjadi tarikan pertama di Malaysia yang membolehkan pengunjung merasai pengalaman baharu dengan menikmati panorama pada ketinggian 100 kaki.

Para pengunjung akan dilengkapkan dengan sistem keselamatan sebelum memulakan perjalanan di atas pelantar tersebut dan harga istimewa ditawarkan kepada warganegara Malaysia, iaitu RM35 (dewasa) dan RM25 (kanak-kanak).

Pada majlis perasmian tersebut, YB Dato’ Sri Nancy berkata bahawa kehadiran para pengunjung merupakan cabaran besar yang perlu dihadapi dalam memulihkan ekonomi Malaysia khususnya dalam sektor pelancongan ketika negara masih dibelenggu COVID-19.

Walau bagaimanapun, beliau yakin hal yang demikian dapat ditempuhi dengan baik menerusi agenda transformasi industri pelancongan, seni dan budaya yang telah dirancang, pembangunan sektor pelancongan secara lestari dan inklusif serta kesediaan mendepani sebarang situasi berteraskan norma baharu dan kebiasaan baharu.

Tambah beliau, “Kita perlu yakinkan orang ramai bahawa tempat kita selamat untuk dikunjungi.”

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut menasihati orang ramai untuk terus memainkan peranan dalam memastikan kawasan tumpuan pelancongan selamat dikunjungi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pada majlis tersebut, YB Dato’ Sri Nancy turut mengambil peluang merasai cabaran berada di laluan Tower Walk 100.

Sumber: Facebook rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!