30 Disember 2021, 10:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seni ialah satu ekpresi apabila setiap artis meluahkan apa-apa yang dipendamkan dan kemudiannya diluahkan dalam pelbagai bentuk seperti seni catan, muzik, arca, tekstil dan banyak lagi.

Setiap hasil seni yang dihasilkan mempunyai maksudnya tersendiri, mungkin ada persamaan daripada pemilihan warna dan subjek, tetapi berbeza dari segi interpretasi dan pemahaman.

Demikian menurut pencinta seni dan juga pelukis, Syahidzul Hafiz Md Sukaimi. Beliau berpandangan bahawa semua orang boleh mengkritik dan memberikan pendapat masing-masing mengenai sesuatu karya yang dihasilkan, namun interpretasi yang sebenar hanya boleh diambil daripada artis itu sendiri.

Syahidzul Hafiz mula berkecimpung dalam dunia seni sejak zaman sekolah lagi. Pendedahan kepada pelbagai bentuk pertandingan di peringkat sekolah banyak memberikan semangat kepada beliau untuk terus berkarya.

“Ini merupakan titik permulaan bagi saya untuk berkecimpung dalam dunia seni dan diteruskan dengan menyambung pengajian saya dalam bidang seni daripada peringkat diploma dan diteruskan pada peringkat ijazah,” kata beliau.

Kenangan antara karya Syahidzul Hafiz, diinspirasikan dari alam semula jadi.

Dalam penghasilan karya seni, Syahidzul Hafiz mengambil inspirasi dari alam semula jadi dan suka pada warna-warna yang ada pada alam semula jadi. Menurut beliau, “Kebanyakan karya saya lebih kepada alam semula jadi kerana pada saya, alam semula jadi lebih dekat dengan diri saya dan membuatkan saya lebih selesa dalam penghasilan sesuatu karya.”

“Boleh dikatakan inspirasi saya datangnya dari alam sekeliling saya sendiri. Minat itu datang apabila saya melihat lukisan daripada para artis yang memaparkan karya mereka di pameran terbuka, Facebook, Instagram dan banyak lagi. Hal ini sedikit banyak menyuntik semangat untuk terus berkarya dan tidak jemu untuk berkongsi idea kepada orang ramai,” jelas beliau.

Raja Udara karya Syahidzul Hafiz.

Menurut Syahidzul Hafiz, sejak berkecimpung dalam dunia seni lukisan, hasrat utama yang ingin dicapai ialah beliau ingin memperlihatkan kepada dunia hasil semua lukisan beliau. “Saya mahu melihat reaksi dan komen daripada orang ramai terhadap karya saya kerana hal yang demikianlah yang dapat membantu saya melakukan penambahbaikan dalam penghasilan lukisan saya, selain dapat mengembangkan lagi hubungan antara artis dari luar negara,” jelas Syahidzul Hafiz.

Selain itu juga, beliau berharap agar setiap karya yang dihasilkan dapat dijadikan contoh bagi para pelajar di dalam dan juga di luar negara untuk mereka gunakan sebagai sumber rujukan dalam penghasilan karya seni.

Bagi penggiat seni seperti Syahidzul Hafiz, kebanyakan lukisan yang dihasilkan merupakan catan di atas canvas, dan beliau banyak menggunakan cat akrilik bagi penghasilan sesuatu karya. Hal ini dikatakan demikian kerana menurut beliau, cat akrilik lebih mudah digunakan kerana cepat kering dan mudah untuk beliau menyiapkan sesuatu karya itu sendiri.

Tambah beliau, “Faktor banyak lapisan juga mempengaruhi saya untuk memilih cat akrilik. Media cat akrilik boleh dicampur mengunakan topcoats atau varnis untuk kelihatan lebih berkilat dan hidup. Apabila sudah kering, cat akrilik tidak akan tertanggal daripada canvas walaupun pelarut media ini ialah air.”

Teknik yang beliau gunakan ialah teknik glaze apabila warna dicampurkan bagi mendapatkan hasil yang realistik dan cantik bersesuaian dengan mood lukisan itu sendiri. Cat akrilik juga sangat baik untuk memberikan kesan timbul pada lukisan, caranya adalah dengan melukis lapisan dasar berulang-ulang kali.

Light & Shadow karya Syahidzul Hafiz.

Sementara itu, genre lukisan yang diminati oleh Syahidzul Hafiz ialah lukisan realistik. Menurut beliau, “Lukisan realistik mengajar kita erti pengamatan yang tajam selain dapat membantu kita dari segi pemahaman warna dan objek yang dihasilkan. Bagi sesuatu lukisan realistik, lukisan ini tidak dapat dihasilkan jika kita kurang faham mengenai objek dan warna itu sendiri.”

Selain berkecimpung dalam dunia seni, Syahidzul Hafiz juga seorang pendidik yang telah berkhidmat dalam dunia pendidikan selama tempoh kira-kira tujuh tahun. Menurut beliau, pengalaman mengajar murid bidang seni ini tidak susah jika mereka mempunyai minat yang mendalam dalam bidang ini.

Namun begitu, tidak kurang juga terdapat murid yang kurang berminat pada seni. Justeru, di sinilah terletaknya tugas sebagai guru yang berperanan menarik minat golongan ini untuk mencintai bidang seni. Banyak usaha yang dijalankan bagi menarik minat murid terhadap subjek ini, antaranya adalah dengan memberikan mereka peluang menghasilkan sesuatu karya selain menunjukkan pelbagai teknik kepada mereka.

Hal ini akan membuatkan mereka lebih suka dan teruja setiap kali tiba waktu Seni di sekolah kerana selama ini mereka takut ingin mencuba disebabkan kurangnya pendedahan dan pengetahuan tentang sesuatu teknik dalam bidang seni itu sendiri.

Kelebihan saya mungkin boleh berkongsi karya saya bersama-sama mereka bagi memberikan keyakinan kepada mereka untuk mendapatkan hasil yang sama kerana saya telah membuktikan melalui karya yang saya hasilkan.

Memasuki era digital, ramai yang berpendapat bahawa peminat seni lukis menurun seiring dengan peningkatan penggunaan teknologi. Walau bagaimanapun, bagi Syahidzul Hafiz, peminat seni lukis tidak berkurangan disebabkan kebanyakan peminat seni banyak menggunakan platform digital untuk menghasilkan sesuatu karya.

Ini merupakan revolusi yang agak baik kerana platform digital menjadi satu pendekatan yang berbeza selain penghasilan karya secara konvensional, malah sudah banyak lukisan yang terjual dan mendapat sambutan daripada hasil digital ini.

Pada saya, pendekatan ini akan menambahkan lagi peminat seni lukis tidak kira yang minat ke arah digital ataupun konvensional.

Dalam pada itu, Syahidzul Hafiz berharap agar mereka yang baru berkecimpung dalam dunia seni tidak berputus asa untuk berkarya, terus berkarya dan tidak malu untuk bertanya kepada artis yang sudah lama menapak dalam bidang ini. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka lebih memahami dan mempunyai banyak pengalaman sebelum ini.

Pemikiran yang kreatif dan luas amat diperlukan bagi menghasilkan karya yang baik.

Kebangkitan.
Tujuan lukisan ini dihasilkan adalah untuk memberikan semangat kepada orang ramai untuk melihat lukisan ini. Oleh sebab itu, lukisan ini banyak menggunakan warna panas seperti merah, kuning, oren dan banyak lagi. Stroke lukisan ini juga agak kasar bagi menimbulkan semangat untuk terus bangkit daripada kejatuhan.

 

Cycle.
Lukisan ini dihasilkan berdasarkan teori Georgio Vasari, iaitu Biological Cycle apabila setiap kehidupan akan melalui beberapa proses, iaitu kehidupan, pembesaran atau penumbuhan, kematian dan terakhir ialah pereputan. Proses ini akan dilalui oleh semua benda yang hidup termasuklah manusia.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.