Oleh Jamil Hashim
31 Disember 2021, 11:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Muzium Negara Malaysia di ibu negara mengadakan program Nostalgia Anak Kampung dari 22 November 2021 hingga 26 Disember 2021 bagi mengajak masyarakat mengimbau kenangan silam kehidupan kanak-kanak di desa dengan menampilkan pelbagai jenis permainan tradisional.

Permainan tradisional ini termasuk congkak, batu seremban, gasing, sepak raga, sepak bulu ayam, senapang kayu, gerek buluh dan baling selipar.

Selain mempamerkan pelbagai jenis permainan tradisional di ruangan galeri muzium, demonstrasi permainan tersebut turut diadakan yang membuka penyertaan kepada pengunjung.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, pameran itu diadakan lagi buat kali keempat sejak tahun 2018 bagi menonjolkan daya kreativiti anak-anak kampung sejak zaman silam yang meneruskan tradisi permainan tersebut daripada generasi terdahulu.

Pengunjung berpeluang bermain permainan tradisional di Muzium Negara.

Muzium Negara menyifatkan permainan tersebut sebagai unik dan perlu ditonjolkan terutama kepada generasi kanak-kanak di bandar yang kini lebih cenderung kepada permainan digital dalam peranti mudah alih termasuk telefon bimbit.

Bagi mengimbangi keadaan tersebut, pelbagai jenis permainan warisan itu perlu terus dipelihara kerana keunikan penciptaannya mampu menguji kecekapan dan pada masa yang sama menjalin silaturahim dalam kalangan kanak-kanak.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!