24 Januari 2022, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha untuk terus memperkenalkan budaya dan warisan negara kepada masyarakat terutamanya generasi muda, Muzium Negara menganjurkan Pameran Nostalgia Anak Kampung pada setiap tahun. Pada tahun 2021, pameran ini bertemakan permainan tradisional dan pengunjung boleh melayari secara dalam talian melalui laman web Pameran Maya Nostalgia Anak Kampung: Permainan Tradisional mulai 27 Disember 2021 hingga 14 Mac 2022. Pameran ini membawa pengunjung mengimbas kembali kemeriahan permainan tradisional yang semakin dilupakan masyarakat di negara kita.

Permainan tradisional di Malaysia walaupun kelihatan sama, tetapi sebenarnya mempunyai perbezaan nama, peraturan dan kaedah permainan antara satu negeri dengan negeri yang lain. Walau bagaimanapun, perbezaan tersebut dapat diterima oleh masyarakat dan mampu diseragamkan mengikut keadaan.

Umumnya, permainan tradisional mempunyai kaedah dan corak permainan yang lebih mudah, ringkas dan berilhamkan alam semula jadi seperti tarik upih, sepak bulu ayam dan lumba kaki tempurung. Permainan ini juga melibatkan banyak pergerakan fizikal yang mampu mencergaskan tubuh badan kanak-kanak sambil berseronok.

Kebanyakan permainan tradisonal di negara kita menggunakan gabungan bahan-bahan daripada alam semula jadi seperti buluh, biji benih, rotan dan kayu. Ada juga antara permainan tersebut yang menggunakan bahan-bahan terbuang seperti tin, tudung botol, selipar, getah, kulit kerang dan sebagainya. Penggunaan bahan-bahan ini menunjukkan kreativiti kanak-kanak pada zaman dahulu yang hanya menggunakan bahan-bahan sedia ada tanpa perlu mengeluarkan sebarang kos.

Permainan tradisional kanak-kanak mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri, iaitu diwarisi dan diperturunkan dari satu generasi ke generasi; dimiliki dan dikongsi bersama oleh seluruh masyarakat; mudah dimainkan di mana-mana sahaja; peralatan yang digunakan adalah berpatutan dan mudah diperoleh; bersifat menghibur dan menyeronokkan; mengandungi unsur-unsur kreativiti dan imaginasi; memerlukan kecekapan, ketangkasan dan kepantasan kaki, tangan atau anggota badan yang lain; dan sesuai dimainkan oleh kanak-kanak daripada segenap lapisan masyarakat.

Dalam pameran maya tersebut, terdapat pelbagai jenis permainan tradisional yang boleh ditonton oleh para pengunjung. Antaranya ialah batu seremban, tapak gajah, lempar getah, sepak manggis, xiangqi (catur cina), kipas biji getah, telefon tin, kerchang dan sepak bulu ayam. Menariknya, pengunjung bukan hanya diberikan penerangan bagi setiap permaianan yang dipamerkan semata-mata tetapi juga disertakan sekali video animasi tentang cara permainan tersebut dimainkan.

Dengan berlatarbelakangkan kicauan burung dan lagu-lagu tradisional, sudah tentu secara tidak langsung membawa pengunjung merasai suasana sebenar kampung. Jom bersama-sama kita mengunjungi Pameran Maya Nostalgia Anak Kampung: Permainan Tradisional untuk mengetahui dengan lebih lajut lagi tentang budaya dan warisan kita yang semakin hilang pada hari ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.